Friday, January 30, 2015
Relaksasi Dengan Aroma
Terapi aroma adalah satu perubatan alternatif menggunakan haruman yang diambil saripatinya daripada tumbuhan, kayu, damar dan haiwan (seperti kasturi daripada rusa jantan) untuk mempengaruhi emosi dan kesihatan manusia.Bau-bauan itu dipakai pada tubuh, pakaian, tempat (rumah, pejabat, kenderaan dll), juga diletakkan dalam minyak urutan atau dibakar untuk keharuman dan kesegaran tubuh. Ia juga digunakan dalam kosmetik.
UNTUK RELAKSASI SENAMAN PAGI, cari tempat terbuka seperti halaman rumah, tempat rekreasi, taman-taman yang dipenuhi bunga yang harum atau tempat yang mempunyai ciri mesra alam. 1) Berdiri sambil hadapkan wajah ke arah bunga-bunga yang harum agar dapat menyedut haruman kesegarannya. 2) Regangkan kedua kaki dengan jarak lebih kurang dua kaki. 3) Rendahkan badan dengan membengkokkan sedikit lutut. 4) Luruskan tangan ke hadapan dengan membuka kedua belah tapak tangan. 5) Mulakan dengan Basmallah, berniat ingin menyedut segala kebaikan dan penawar dari bunga-bunga dan tumbuhan yang ada. Sedut nafas perlahan-lahan melalui rongga hidung dan memenuhi dada serta perut sambil menarik kedua belah tangan ke belakang seolah-olah menarik sesuatu.6) Tahan nafas sebentar untuk asimilasikan tenaga dari aroma tersebut sambil membisikkan dalam hati, "Ya Allah! Ya Rahmn! Ya Rahim! Ya Shafi! Ya Kafi! Ya Haiyyu! Ya Qaiyum!" 7) Lepaskan nafas perlahan melalui rongga mulut sambil membayangkan keluar semua penyakit, stres dan segala tenaga negatif.Ulang lagi langkah-langkah ini sekurang-kurangnya lima kali. In sya Allah, kita pasti segar, sihat dan bersemangat.
Untuk RELAKSASI DI TEMPAT KERJA, ambil minyak wangi yang diminati, letakkan sedikit pada bahagian tengah dahi (kedudukan bersetentangan dengan kelenjar pineal), pada kedua bahagian cuping telinga dan pada urat nadi di pergelangan dua belah tangan. Duduk dengan santai dan tenang sama ada di atas kerusi, kusyen atau duduk iftirasy di lantai sambil membuka kedua-dua belah telapak tangan. Lakukan langkah dari 1)hingga 7). Ulang sebanyak lima kali.
Rasulullah s.a.w. sangat sukakan wangian. Oleh itu limpahkan aroma wangian di tempat kerja, rumah, bilik tidur, kenderaan dan paling utama diri kita. Ingatlah, wangian bersifat sementara dan akan hilang apabila mandi. Namun, WANGIAN DI MULUT DAN DI HATI HENDAKLAH KITA KEKALKAN, supaya ia berbekas di hati, tenang di fikiran dan disenangi insan! [ Q&A #7]
Monday, January 26, 2015
ROTAN
Ibu bapa yang hanya "menternak" anak tetapi tidak memberikan didikan sebaik mungkin adalah IBU BAPA DERHAKA. Derhaka kepada Allah kerana gagal melaksanakan tanggungjawab yang telah dipikulkan ke atas mereka, juga derhaka kepada anak bila dia tidak menjadi hamba Allah yang berguna kepada diri, agama, masyarakat dan negara. Rasulullah s.a.w telah menyarankan supaya anak-anak yang culas solat dirotan sebagai cara mendisiplin.
Sultan Mehmet Al Fateh menjadi pemerintah Islam ulung di Turki hasil didikan oleh syeikh yang telah diberi kepercayaan oleh ayahandanya Sultan Murad.Syeikh itu menggunakan ROTAN sebagai pendekatannya. Rotan yang hinggap di badan Al Fateh dimulakan dengan pendidikan akibat melanggar peraturan. Selepas dirotan ada tausiyah untuk diambil iktibar dan dinyatakan sebab dia dirotan. Dengan cara ini wujudlah kasih sayang. Itulah pendekatan yang diguna oleh ibu bapa dan juga guru-guru bagi memastikan anak-anak dididik menjadi manusia yang berdisiplin. ROTAN DI TANGAN IBU BAPA DAN GURU YANG BEREMOSI LAGI TIDAK WARAS ADALAH PENDERAAN KERANA TIDAK ADA TAUSIYAH SELEPAS DIROTAN.Bezakanlah antara penggunaan rotan untuk pendidikan dan rotan untuk penderaan. Oleh itu adalah diharap bahawa para wakil rakyat yang bakal membincangkan isu merotan anak satu kesalahan jenayah di Parlimen pada Julai nanti memikirkan juga cara pendisiplinan yang telah ditetapkan oleh Islam, jangan menggunakan akal semata-mata.
Sunday, January 25, 2015
Hidup 2 Kali Amal 1 Kali
Dari Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Nabi s.a.w. pernah bersabda, "Setiap manusia yang meninggal dunia pasti menyesal." Para sahabat bertanya, "Menyesal disebabkan apa, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab, " Jika dia orang baik, dia menyesal kerana tidak menambahkan kebaikannya. Jika dia orang jahat, dia menyesal kerana tidak berhenti daripada kejahatannya."
Setiap manusia HIDUP 2 KALI AMAL 1 KALI.Hidup PERTAMA DI DUNIA ialah untuk MENYEMAI AMAL SOLEH. Hidup KEDUA DI AKHIRAT pula untuk MENUAI HASILNYA. Ketika itu tidak perlu buat apa-apa lagi, hanya bersenang-lenang di syurga. Manusia hidup selama-lamanya, tidak ada lagi kematian kedua. Sebab itu orang yang mati tanpa beriman dan telah merasa azab neraka merayu-rayu memohon untuk dihidupkan kembali."Dan (sungguh ngeri) sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar (akan segala yang kami ingkari dahulu). Maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik. Sesungguhnya kami sekarang telah yakin." (Surah As Sajadah ayat 12).
Seperkara lagi, kalau sakaratul maut seseorang itu susah, belum tentu hidupnya di akhirat juga susah. Sedangkan Kekasih Allah sendiri pun merasa peritnya sakaratul maut.Saiditina Aisyah r.ha bercerita, "Aku melihat Nabi s.a.w. semasa Baginda hampir wafat, di sisinya ada sebuah bekas berisi air. Baginda memasukkan tangannya ke dalam bekas air itu dan kemudian menyapu mukanya. Lalu Baginda berdoa, " Ya Tuhanku, berilah aku pertolongan terhadap penderitaan maut (yang sedang aku hadapi ini)." (HR Ahmad, al Nasa'i dan Ibn Majah).
Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Yang menjamin kehidupan kedua yang lebih baik ialah amal soleh yang IKHLAS dan rahmat-Nya. Di situlah sumber ganjaran yang abadi. Wallahualam.
Saturday, January 24, 2015
Terowong Rahsia Di Bukit Nanas
Sebuah terowong dipercayai berusia ratusan tahun yang jaraknya dari Bukit Nanas hingga ke Sungai Klang telah ditemui. Terowong sepanjang 10 meter itu telah ditemui oleh seorang kontraktor yang diupah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur enam bulan lalu untuk membaikpulih cerun yang runtuh. Dikhabarkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ingin menjadikan tempat tersebut sebagai satu lagi pusat pelancongan.
Dipercayai terowong tersebut adalah sebahagian daripada jaringan terowong yang hilang ditelan masa dan pembangunan di kawasan berkenaan. Kaum Mendahiling atau lebih biasa disebut Mandailing menggunakan terowong sempit itu sebagai laluan rahsia ketika berlangsungnya Perang Saudara Selangor pada 1868 hingga 1871.
Masyarakat Mandailing mendiami bukit yang dahulunya dikenali sebagai Bukit Gombak pada pertengahan kurun ke-19. Dahulu di sinilah letaknya Bagas Godang (Rumah Besar) dan juga kubu pertahanan Raja Asal, pemimpin perang kaum tersebut.
Raja Asal dan orang-orangnya menanam pokok nanas di sekeliling kubu pertahanan tersebut. Tujuannya supaya pokok nanas menjadi penghalang kepada musuh kaum Mandailing yang berkaki ayam. Terowong itu pula digunakan sebagai tempat menyimpan senjata, makanan dan juga harta benda, selain menjadi pos strategik apabila kaum Mandailing melancarkan serangan mengejut dan juga sebagai laluan menyelamatkan diri.
Kelmarin, sekumpulan anak-anak Mandailing yang diterajui oleh Affifuddin Hassan dan adiknya, Abdullah telah menjelajah ke tempat bersejarah ini. Turut menyertai ialah petugas dari TV 9 Media Prima. Tujuan utama ialah untuk melihat dengan mata kepala sendiri tempat di mana nenek moyang mereka berjuang menentang British dan tali barut mereka, Tengku Kudin yang telah memperalatkan kesultanan Selangor ketika itu untuk kepentingan politik.
LATAR BELAKANG PEPERANGAN: ------Pada 25 Ogos 1857, pemerintah Selangor, Sultan Abdul Samad telah mengeluarkan suatu surat kuasa yang baginda berikan kepada menantunya, Tengku Kudin. Surat itu berbunyi: " Beta Sultan Abdul Samad. Yang diPertuan Negeri Selangor memberitahu kepada Tengku Sutan, Raja Layang, Tengku Raja, Raja Muhammad Yusuf, Raja Perempuan, Raja Budul, Sutan Maharaja Lela, Sutan Jenaga, Sutan Besar, Menteri Gedong, To' Maharaja, To' Setia, To' Maharaja Sudali, Haji Muhammad Saleh. Imam Perang Periok, Imam Perang Malim , bahawa kita telah mengurniakan surat ini kepada anak kita Tengku Kudin serta di cap dengan mohor kita ini dan dia telah menyanggup mengalahkan orang Mendahiling dan orang-orang yang menyebelah kepada orang-orang Mendahiling itu.
1 MAC 1873: Akibat dikepung hampir 4 bulan oleh 4,300 tentera bersekutu British, Cina, Bugis, Kedah, Melayu Batu Bara dan Rembau, para pejuang Mandailing telah kehabisan bekalan makanan. Saluran air di Bukit Nanas juga diletupkan oleh tentera bersekutu. Hampir setiap hari kubu kaum Mandailing itu dibedil menyebabkan ramai pejuang Mandailing dan orang-orang awam yang terdiri daripada orang-orang tua, kaum wanita dan kanak-kanak yang sedang kebuluran mati bergelimpangan di merata-rata. Wan Putih, isteri Raja Asal, sedih melihat keadaan itu.
Raja Asal bersama sekutunya, Sutan Puasa, juga kaum Cina yang dipimpin oleh Chong-Chong menyokong Raja Mahadi, seorang kerabat diraja Selangor. Pada akhir 1871, Sultan Puasa mengumpulkan orangnya di Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dan bersatu dengan pasukan orang Mandailing dari Hulu Slim, Perak yang dipimpin oleh Raja Berumun atau dikenali juga Datuk Imam Perang Jabarungun.
Mereka berkumpul untuk menyerang Kuala Lumpur yang dikuasai oleh Kapitan Yap Ah Loy yang disokong oleh Tengku Kudin dan Sultan Abdul Samad. Namun, sebelum pasukan Sutan Puasa dan Raja Berumun sempat menyerang Kuala Lumpur, mereka diserang dahulu oleh pasukan Yap Ah Loy seramai 200 orang dan dibantu oleh orang Melayu daripada pasukan Kapitan Syers yang berjumlah kira-kira 100 orang. Sutan Puasa melepaskan diri ke Klang dan menubuhkan satu lagi pasukan.
Namun Sutan Puasa telah ditangkap oleh pasukan Inggeris yang dipimpin oleh Residen Davidson, Residen British di Selangor dan dipenjarakan di Selangor. Kubu Raja Asal di Bukit Nanas ditembusi oleh pasukan bersekutu Yap Ah Loy, Tengku Kudin dan Inggeris. Raja Asal berundur ke Hulu Slim, Perak, tetapi isterinya, Wan Putih, adik kepada Bendahara Tun Mutahir Pahang, menyerah diri. Beliau kemudiannya dibebaskan. Raja Asal yang telah uzur kemudiannya berpindah ke Changkat Piatu di Kinta, Perak. Pada masa Inggeris sedang mencari Datuk Maharaja Lela dan Datuk Sagor yang terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch pada 1875, Inggeris di Perak meminta Raja Asal menolong mereka. Meskipun Raja Asal gagal dalam usahanya, Inggeris Perak melantik anak angkat yang juga anak saudaranya bernama Raja Bilah, menjadi Penghulu Mukim Belanja yang berpusat di Pekan Papan pada 1882-1909.Pada 1877, Raja Asal meninggal dunia dan dimakamkan di atas sebuah bukit di Changkat Piatu dekat Batu Gajah.
Syed Mashur , seorang lagi sekutu Raja Asal yang berkubu di Hulu Kelang juga dikalahkan oleh tentera bersekutu Inggeris. Syed Mashur lari ke Perak dan menolong tentera Inggeris mencari Datuk Mahareja Lela.Syed Mashur kemudiannya dilantik oleh kerajaan Selangor yang dikuasai oleh Inggeris menjadi Penghulu di Daerah Kerling. Sultan Puasa pula, selepas dibebaskan dari penjara Kelang menetap di Sungai Mulia, Gombak. Di situ, beliau memiliki sebuah rumah dan sebuah tasik kecil yang dikenali Tobek Sutan Puasa. Tasik itu terletak di belakang Masjid Sungai Mulia. Tobek Sutan Puasa masih wujud hingga ke hari ini.
Friday, January 23, 2015
Makbulnya Doa Si Kecil
Pada satu hari Saiyidina Umar al-Khattab yang sedang berjalan dengan beberapa orang sahabat mendekati seorang anak kecil. Lalu disapanya anak itu, "Assalamualaikum, wahai anakku. Tolong doakan kepada Allah supaya kita semua mendapat rahmat-Nya." Para sahabat yang terasa pelik dengan perbuatan itu lalu bertanya, "Mengapa tuan meminta doa dari anak kecil sedangkan tuan salah seorang dari 10 orang yang dijamin Syurga." Jawab Umar, " Aku buat begini kerana anak-anak kecil seperti ini bersih. Dosanya belum dituliskan lagi. Doa mereka mudah dikabulkan. Tidak seperti kita yang mempunyai catatan dosa yang begitu banyak." MORALNYA: Sayangi anak-anak kecil yang sangat berharga dan bersih. Apabila bertemu dengan mereka berikan salam dan curahkan ilmu yang baik-baik.
Thursday, January 22, 2015
Anggap Ini Hari Terakhir
Apabila bangun dari tidur, katakan pada diri, "Wahai diri, hari ini mungkin hari terakhir aku hidup di dunia. Oleh itu aku tidak akan menangguhkan ucapan kasih sayangku kepada semua yang rapat denganku. Aku tidak akan menangguhkan amal kebaikan yang telah lama aku berazam untuk melakukannya. Aku tidak akan menunggu lagi untuk meminta maaf dan memberi maaf kepada semua yang aku bersalah dengannya atau dia yang bersalah denganku. "
Betapa leganya jika meninggalkan dunia yang fana ini tanpa beban kerja yang belum dilangsaikan. Ketika itu tentu orang yang kita tinggalkan akan merelakan pemergian kita tanpa rasa terkilan di hati, walaupun mereka sedih dengan kehilangan kita. Mati adalah janakuasa yang menggerakkan amal bakti untuk bekalan hidup sesudah mati. Hati yang ingat mati adalah hati yang hidup, yang menggerakkan seluruh anggota supaya melakukan ketaatan dengan segera. Ia umpama "dateline" yang menjadi peringatan untuk menyiapkan tugasan. Rasulullah s.a.w. sering mengingatkan: "Solatlah seperti mana solat itu yang terakhir."
Jika tahu solat itu yang terakhir, tentu kita akan bersegera, bersungguh-sungguh melakukannya. Dalam hal ini mungkin pesalah yang dihukum gantung sampai mati sahaja yang boleh menjelaskan bagaimana perasaannya ketika mengerjakan solat terakhir! Tentu kita menyesal yang amat sangat sekiranya kita tinggalkan ahli keluarga dalam keadaan muka kita yang masam dengan kemarahan, padahal itulah pertemuan terakhir kita dengan mereka.Jangan lalai, maut akan datang menjemput kita tanpa mengira masa dan usia,sama ada tua ataupun muda. Tahukah kalian, mereka yang kini berada di alam Barzakh berasa sangat kesal dengan apa yang mereka lihat, dengar dan alami di sana?
Rasulullah s.a.w. berpesan, "Jika kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis. " Baginda juga berpesan lagi, "Cukuplah bagimu mati itu sebagai penasihat." Oleh itu apa ditunggu lagi? Ucaplah, buatlah dan bertindaklah atas segala kebaikan dan kebajikan yang masih kita tangguhkan. Jangan tinggalkan sebarang "hutang" dengan manusia ketika menghadap Tuhan Yang Maha Esa. [GEN Q #6]
Wednesday, January 21, 2015
Mati Itu Datang Tiba-tiba
ORANG YANG LUPA MATI - bencikan kematian, cuba melupakannya agar dapat terus bergembira. Soal dosa pahala merimaskannya. "Kalau ingat mati saja macam mana nak maju?" Itulah alasannya. Dia ingat mati bila ditimpa sakit tenat atau kemalangan. Itupun bukan dia bimbangkan nasib dirinya tetapi risaukan nasib keluarga yang dunia yang ditinggalkan.
ORANG YANG TAKUT MATI - fikirannya tidak tenteram, badannya lemah. Mengapa perlu mati? Alangkah baiknya kalau mati itu "mati"! Dia jadi murung dan tiada semangat untuk hidup dan bekerja. Sesungguhnya orang sakit yang takut mati akan MATI SEBELUM MATI. Bila diramalkan bahawa usianya tidak lama, dia tiada semangat untuk melakukan kebaikan bagi mengisi sisa-sisa hidupnya. Sebenarnya orang yang sedang sihat pun takut mati. Memang Si Pengecut mati beberapa kali sebelum mati.
ORANG YANG INGAT MATI - mempunyai akal berhikmah yang mengganggap kematian sebagai sesuatu yang aktif lagi produktif. Fokus hidupnya ialah memperbanyakkan bekalan amalan kerana mereka tahu itu akan menjadi seumpama RINGGIT yang menjanjikan kebahagiaan di alam abadi. Dia juga memohon rahmat Allah kerana tanpa itu, mungkin amalannya menjadi sia-sia. Nah, yang mana satu kita - INGAT mati, LUPA mati, atau TAKUT mati?
(Adaptasi Solusi#72)
Tuesday, January 20, 2015
Ceramah Da'i Farhan
3 Panggilan yang perlu disambut sepanjang hidup ialah panggilan AZAN, panggilan HAJI dan panggilan AJAL. Pandai macam mana pun kita dalam ilmu matematik, kita masih tidak dapat mengira jumlah DOSA dan PAHALA.Salah satu cara hendak khusyukkan hati dalam Islam ialah bila dengar AZAN, bisikkan dalam hati "ALLAH SEDANG MEMANGGIL AKU".
Salah satu cara hendak KHUSYUK dalam solat, haruslah khusyuk dahulu WUDUKNYA.Bila dilahirkan, kita diazankan tanpa solat. Bila dimatikan, kita disolatkan tanpa azan.Bila hidup tidak datang ke MASJID. Bila sudah mati baru hendak datang. Datang pun duduk depan Imam. Kalimah masjid disebut sebanyak 27 kali di dalam Al Quran, 15 daripadanya dikhususkan dengan menyebut nama masjidnya (masjidil haram). Rukun wuduk pula ada 6 ---- 2 kering dan 4 basah. Yang kering adalah NIAT dan TERTIB. Yang basah pula adalah muka, tangan, rambut dan kaki. Bila kita hendak buat panggilan telefon, tertinggal 1 digit, agak susah untuk kita membuat panggilan.
Begitu juga dengan SOLAT, bila kita tertinggal 1 FARDU, akan terputus panggilan kita dengan Allah S.W.T. Solat itu macam kita online di Facebook. Kita boleh luahkan rasa sedih dan DOA. Kalau hendak tahu keputusan perlawanan bolasepak, kita mestilah tengok minit ke 90, bukan minit pertama. Begitu juga dengan kehidupan seseorang.Kita haruslah tengok minit-minit TERAKHIR, bukan tengok minit-minit permulaan dan pertengahan.Waallahualam. Semoga bermanfaat. In sya Allah.
Monday, January 19, 2015
Maksiat Penyebab Bala
Bala terjadi disebabkan kemurkaan ALLAH iaitu apabila manusia melakukan maksiat. Maka dengan sebab itu akan turun bala daripada-Nya. Dari Ali bin Abi Thalib berkata, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Bilamana umatku telah mengerjakan 15 perkara, maka bala pasti akan turun menimpa mereka.” Sahabat bertanya, “Apakah 15 perkara itu, ya Rasulullah?” Rasulullah bersabda, “Bala akan datang bila -----
1. Harta Negara hanya beredar (dipegang) di kalangan orang-orang tertentu. 2. Apabila amanah telah dijadikan sumber keuntungan.3.Apabila zakat dijadikan hutang.4. Suami menurut telunjuk isteri.5. Anak derhaka terhadap ibunya. 6. Sedangkan dia berbuat baik kepada rakannya. 7. Anak menjauhkan diri dari ayahnya.8. Suara-suara ditinggikan di dalam masjid. 9. Pemimpin suatu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.Ramai pemimpin yang dipilih dari golongannya sendiri atas alasan menurut golongan mereka sendiri. 10. Seseorang itu dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
11. Minuman keras diminum di segenap tempat. 12. Sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki). 13. Para artis disanjung-sanjung. 14. Muzik banyak dimainkan. 15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat). Maka ketika itu hendaklah mereka menantikan angin merah atau gempa bumi ataupun mereka akan diubah menjadi makhluk lain (HR al Tirmizi)
Dalam al-Quran, ada kisah masyhur yang ALLAH ulang beberapa kali iaitu kisah kaum ‘Aad dan kaum Thamud. "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana ALLAH hendak mereka berasa sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah Ar-Ruum: 41). Dunia hari ini telah mengalami segala yang disabdakan oleh Rasulullah saw ini, hanya mungkin belum sampai ke tingkatan akhir.Walaupun nama bangsa kita berbeza, tetapi pada hakikatnya manusia tetap sama iaitu bertuhankan ALLAH. Jadi dengan itu, kita tidak terlepas kepada perkara seperti itu.
10 Bakal Pemberi Syafaat
Al QURAN – 1. “Bacalah Al Quran. Sesunguhnya pada hari kiamat Al Quran akan menjadi pemberi syafaat kepada teman-temannya.” (HR Muslim). 2. “Sesungguhnya ada satu surah Al Quran ayatnya 30 yang memohon syafaat buat seseorang hinggalah dia diampuni. Itulah surah Tabarakallazi biadilhilmulk – surah Al Mulk.” (HR al-Turmizi).
ULAMA – “Tiga golongan yang akan memberi syafaat pada hari kiamat nanti, para nabi, kemudian ulama kemudian syuhada.” (HR Ibnu Majah).
SYAHID – Orang syahid mendapat enam perkara keistimewaan di sisi Allah: Dia diampuni terus sebaik titisan darah pertamanya. Mendapat melihat tempatnya di dalam syurga. Dipelihara daripada terkena azab kubur. Aman daripada terlibat dalam kepanikan terdahsyat (mahsyar). Dipakaikan atas kepalanya mahkota ditatah delima yang lebih bernilai daripada dunia dan seisinya. Diperisterikan dengan 72 bidadari. Diperkenankan syafaatnya untuk 70 orang sanak saudaranya.” (HR al-Tirmizi).
PUASA – Puasa dan Al-Quran akan memohon syafaat untuk hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Ya Tuhan, aku menghalangnya daripada makanan dan syahwat pada siang hari, maka perkenankan syafaatku untuknya. ----- Al Quran pula berkata: “Aku menghalangnya daripad atidur pada malam hari, maka perkenankan syafaatku untuknya.”
ORANG SOLEH – “Sungguh akan ada yang masuk syurga dengan syafaat seorang sahaja yang bukan nabi pun, ramainya seperti dua perkampungan atau salah satu perkampungan suku Rabi’ah dan Mudhar.” (HR Ahmad).
KAUM MUSLIMIN – “Tidak ada satu jenazah yang disolatkan oleh kaum Muslimin seramai 100 orang yang semuanya memohon syafaat untuknya melainkan diperkenankan syafaat mereka untuknya.” (HR Muslim)
JIRAN – “Tiada seorang pun Muslim yang meninggal dunia lalu empat orang ahli keluarga jiran-jirannya yang terdekat mengakui kebaikannya melainkan Allah akan menyeru: “Aku terima kebaikannya yang kamu ketahui dan aku ampunkan keburukannya yang kamu tidak tahu.” (HR Muslim)
ANAK-ANAK – 1. Janin keguguran ----“Demi yang nyawaku di tangan-Nya, sesungguhnya janin akan mengheret ibunya dengan tali pusat memasuki syurga sekiranya si ibu terhalang.” (HR Ibn Majah) 2. Anak yang mati kecil ---Dahulu ada seorang sahabat yang sering menemui Nabi saw sambil membawa anak lelakinya. Tidak lama kemudian Nabi saw menyedariu ketiadaan budak itu. Baginda bertanya, “Apa cerita anak dia?” “Wahai Rasulullah, anaknya telah meninggal dunia.” Lantas Baginda bersabda kepada si ayah, “Adakah kamu suka nanti, tiada mana-mana pintu syurga yang kamu akan masuk melainkan kamu mendapatinya sedang menunggu kamu?” Seorang sahabat lain bertanya, “Adakah hal itu khusus untuknya saja, atau untuk kami jua?” “Bahkan untuk kamu semua!”
AMALAN MENOLONG ORANG – Dalam riwayat lain, pada hari kiamat kelak akan diaturkan ahli syurga dalam saf-saf. Lalu seorang ahli neraka terserempak dengan salah seorang ahli syurga tersebut. Ahli neraka itu pun berkata, “Wahai saudara, tidakkah aku ingat suatu hari kamu meminta air lalu aku memberikan miuman kepadamu?” Maka ahlisyurga itu pun memohon syafaat untuknya. Dalam situasi lain, ahli neraka berkata, “Wahai saudara, tidakkah kamu ingat dulu kamu pernah memohon sesuatu sekian daripadaku lalu aku bawakan untuk kamu?” Maka ahli syurga itu pun memohon syafaat untuknya. (HR Ibn Majah).
MALAIKAT – Rasulullah saw bersabda, “Maka Allah menyelamatkan sesiapa yang dikehendaki dengan rahmat-Nya. Kemudian diizinkan malaikat, para nabi dan syuhada untuk memohon syafaat lalu mereka memohon syafaat dan dikeluarkan (daripada neraka orang yang dimohonkan syafaat untuknya).” (HR Ahmad).
(Sumber: Solusi #73)
Sunday, January 18, 2015
Imam Nawawi
Selama lebih 4 tahun beliau makan roti kering dan minum air putih. Tidak ada waktu untuk makan yang sedap kerana sibuk belajar. Buah-buahan yang melambak di pasar-pasar Damsyik pun jarang beliau makan kerana bimbang yang beliau makan itu adalah buah-buahan hasil dari tanah wakaf milik umat Islam. Cerita tentang karamah beliau memenuhi buku-buku yang menceritakan tentang karamah Ulama. Antara lain disebut bahwa ketika menulis di malam hari, cahaya memancar dari hujung jari-jarinya sehingga menerangi tempat beliau menulis. Beliau meninggal dunia pada usia yang sangat muda,umur yang sangat produktif iaitu 45 tahun. Beliau adalah Imam Hafez Muhayeddin Abu Zakarya Yahya bin Syaraf Nawawi, yang lebih dikenal sebagai Imam Nawawi. Beliau mengambil nisbah kampung beliau iaitu Nawa, sebuah desa di Dar’a di selatan Damsyik. Beliau lahir di Nawa (1233 M). Beliau belajar, mengajar dan menulis karya-karyanya di Damsyik. Sebelum wafat beliau kembali ke kampungnya di Nawa dan mengakhiri usianya di kampung itu. Karyanya luar biasa. Hampir lebih dari 20 buah. Di antara yang termasyuhur adalah Syarh Sahih Muslim sekitar 12 jilid, Majmu Syarh Muhazzab 20 jilid, dan yang paling fenomenal menjadi Best Seller sepanjang masa adalah “Riyadhus Shalihin” yang diterjemahkan ke dalam puluhan bahasa dunia.
Meskipun sangat muda, di kalangan ulama sezamannya beliau sangat dihormati sebagai seorang Ulama teladan.Pernah suatu ketika, Sultan yang berkuasa di Damsyik sedang bersiap sedia hendak memerangi Tartar. Kerana ekonomi negara sudah menjunam, Sultan berusaha mengumpulkan dana membiayai perang dengan mengambil cukai dari rakyat. Para Ulama dikumpul untuk ditanyakan pendapat. Semua ulama setuju bahawa itu dibolehkan secara syariat. Ketika itu Imam Nawawi tidak hadir. Sultan pun memanggil Imam Nawawi dan menanyakan pendapat beliau.Beliau menjawab, "Saya setuju bila semua emas yang ada di istana dan seluruh perhiasan yang dipakai dayang-dayang Istana dikumpulkan, jika tidak mencukupi, baru boleh mengambil cukai dari rakyat”. Kebijakan Pemerintah harus menguntungkan masyarakat, harus memberi kemudahan kepada masyarakat, bukan untuk keuntungan peribadi, apalagi golongan asing."
Sungguh malang sekali apabila 7 Januari 2015 lalu, kubur beliau dihancurkan dengan bom yang ditanam di dalam kubur tersebut. Pada 2008, di atas kuburnya ada sebatang pohon yang sudah tua dan tidak berdaun. Pohon itu masih segar, dan kalau ditoreh batangnya terlihat seperti pohon yang masih hidup. Rahimallah Imam Nawawi, meskipun maqammu hancur namun Kitab Riyadus Sholihin masih utuh terjaga di hati para pelajar. Dari Abu Hurairah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,Allah Ta’ala berFirman:
إِنَّ اللَّهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِى وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ
"Barangsiapa memerangi wali (kekasih)-Ku, maka Aku akan memeranginya." Semoga Allah membalas kebiadaban perosak kedamaian. [Siti Nurbaya Osman]
Saturday, January 17, 2015
Jangan Membazir
Allah berFirman, "Sesungguhnya orang yang boros itu ialah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula ialah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Al Israk ayat 27).
Menurut Ibn Al Qayyum al-Jauziah, terdapat sembilan bentuk pembaziran yang dilakukan oleh manusia:
PEMBAZIRAN ILMU PENGETAHUAN---jika ilmu tidak diguna untuk jalan kebaikan. Sudah ada ilmu tetapi disampaikan ilmu itu dengan rasa riak dan ujub. Semuanya sia-sia kerana itu menghapuskan pahala.
PEMBAZIRAN AMALAN ---bilamana amalan tidak dilakukan dengan ikhlas kerana Allah.
PEMBAZIRAN HARTA ---yang dibelanjakan tidak memberi manfaat dan tidak diredhai Allah.
PEMBAZIRAN HATI ---bila ia terbiar kosong tanpa diisi dengan makanan rohani, justeru tiada rasa cinta pada Allah (dan rasul-Nya).
PEMBAZIRAN TUBUH BADAN ---bilamana badan yang sihat tidak diguna untuk beribadah kepada Allah.
PEMBAZIRAN CINTA ---bila cinta pada sesuatu atau seseorang melebihi cinta pada Allah.
PEMBAZIRAN MASA ---paling banyak dilakukan oleh manusia. Ia tidak diurus dengan sebaiknya ke atas perkara-perkara yang bermanfaat.
PEMBAZIRAN AKAL ---bila akal tidak diguna untuk memikirkan kebesaran Allah dan tidak memikirkan cara memajukan agama, diri, keluarga, masyarakat dan negara.
PEMBAZIRAN ZIKIR ---kerana zikir yang diucap tidak memberi kesan di hati.
[Sumber: Q&A #33]
Friday, January 16, 2015
Allah Maha Penghukum
Entah mengapa manusia mudah sangat menghukum tindakan orang lain. Serba tidak kena ---buat baik salah, buat jahat apatah lagi.Terkadang terasa sedih bila dizalimi tanpa usul periksa. Kepada siapa lagi hendak diadukan kecuali Dia Yang Maha Penghukum. Dia lebih mengetahui apa yang dilakukan oleh makhluk-Nya. Bab hukum menghukum bukan kerja kita. Serahkan segala-galanya pada Dia yang bakal membela ketika semua yang ada tunduk membisu. Jangan takut menegakkan kebenaran. Namun, andai suatu ketika kita pula berada di dalam situasi di mana kita yang menghakimi pihak tertentu yang lain, berusahalah sedaya upaya untuk menghakimi dengan cara paling adil. Ingat, Allah Maha Melihat!!!
Anak Suruh Bapa Buta Mengemis
Kisah ini diceritakan oleh Syafiq Yazid J.
Pada 10 Jan 2015, saya menghabiskan masa hujung minggu yang terluang bersama keluarga bersiar-siar diJalan Tuanku Abdul Rahman, KL. Tiba-tiba saya dikejutkan oleh anak lelaki saya. "Papa, look at that? Kenapa kita biarkan uncle tu? Pity him. Kenapa tak ada orang tolong uncle yang pakai jubah putih tu. Uncle tu hungry, Papa."
Saya hampiri lelaki tua itu dan bertanya bermacam-macam soalan.Lelaki tua itu berasal dari Johor Bharu dan menetap di Sentul. "Anak Pakcik yang hantar ke sini setiap hari untuk cari duit." YA ALLAH. Cari duit. Pakcik ini BUTA. Saya perhatikan makanan lelaki itu cuma nasi putih tanpa lauk. Saya menawarkan diri untuk membelikan hidangan lain tapi dia menolak kerana dia tidak mampu membayar. Saya kata saya ikhlas dan dia tidak perlu bayar apa-apa.
Saya belikan sebungkus nasi ayam dan suapkan ke mulutnya. "Anak, terima kasih. Pakcik tak mampu nak balas. Anak-anak Pakcik tak pernah suapkan makanan pada Pakcik. Sedih." Saya tidak mampu menahan air mata yang mengalir. Lelaki tua terus memeluk saya.
Subscribe to:
Posts (Atom)