serenemaklong.blogspot.com
SUATU hari seorang kanak-kanak
lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul di hadapan sebuah restoran Mamak.
"Nak beli kuih?" kata budak itu kepada
seorang lelaki yang baru keluar dari restoran tersebut. Dengan tersenyum tangan
budak itu menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.
"Baru lepas makan, dik, masih kenyang lagi
ni," kata lelaki tersebut sambil menepuk-nepuk perut.
Budak itu beredar, tetapi cuma setakat di kaki lima.
Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap orang yang
lalu lalang ditanya, "Tak nak beli kuih saya, bang, pak cik, kakak atau
makcik?"
Bagus sungguh budi bahasanya! Mamak restoran itu pun
tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil
memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati lelaki tersebut melihatkan
betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam
dirinya, sekalipun orang yang ditemui enggan membeli kuihnya.
Selepas membayar harga makanan dan minuman, lelaki itu terus
beredar ke kereta. Kanak-kanak itu berada agak jauh di deretan kedai yang sama.
Pintu kereta dibuka, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat enjin
dihidupkan, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah
senyuman. Lelaki itu menurunkan cermin, membalas senyumannya.
"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan
kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah
sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan
menyelak daun pisang penutupnya.
Lelaki itu merenung wajahnya, bersih dan bersahaja.
Terpantul perasaan kasihan di hati. Lantas dia membuka dompet, dan menghulurkan
kepadanya sekeping not merah RM10.
"Ambil ni, dik! Abang sedekah. Tak payah abang
beli kuih tu," Katanya ikhlas
kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang
tersebut, lantas mengucapkan terima kasih dan terus berjalan kembali ke kaki
lima deretan kedai. Lelaki itu gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta dihidupkan,
dia mengundur. Alangkah terperanjatnya dia bila melihat kanak-kanak itu
menghulurkan pula RM10 pemberiannya kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua
matanya.
Dia terkejut, lantas memberhentikan semula kereta dan
memanggil kanak-kanak itu.
"Kenapa? Abang nak beli kuihkah?" tanyanya.
"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis
tu? Duit tu abang bagi untuk adik!"
"Bang, saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah
kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak, saya mesti bekerja mencari nafkah
kerana Allah berikan saya tulang empat kerat. Kalau dia tahu saya bawa balik duit
sebanyak itu sedangkan jualan masih banyak, mak tentu marah. Kata mak, mengemis
kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat, bang!" katanya begitu
lancar.
Lelaki itu rasa sebak, sekaligus kagum dengan pegangan
hidupnya. Tanpa banyak soal dia terus bertanya harga semua kuih yang ada dalam
bakul.
"Abang nak beli semua?" Lelaki itu cuma
mengangguk, lidah kelu untuk berkata.
"RM25 saja, bang."
Selepas kuih dimasukkan satu persatu ke dalam plastik, wang
RM25 dihulurkan. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.
Lelaki itu memerhatikan dia sehingga hilang daripada
pandangan. Dalam perjalanan pulang, baru dia terfikir untuk bertanya statusnya.
Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya? Kuih yang
dibelinya itu bukan lagi atas dasar kasihan tetapi kerana rasa kagum dengan
sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya itu satu penghormatan.
Sikap kanak-kanak itu menyedarkan kita semua siapa kita
sebenarnya!
No comments:
Post a Comment