serenemaklong.blogspot.com
ALHAMDULILLAH kerana Allah SWT masih memanjangkan usia
kita supaya kita dapat mengejar redha-Nya. Marilah kita perbanyakkan amalan dan
ibadat kepada-Nya terutama pada malam Jumaat dan hari Jumaat. Jumaat adalah
hari yang Allah gandakan ganjaran amalan yang baik hamba-Nya yang soleh.
Rasulullah bersabda bermaksud:
“Barang siapa
secara mudah meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut,
Allah akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran.”
Di antara amalannya adalah:
Solat Subuh berjemaah
Dari Abu Ubaidah al-Jarrah r.a katanya:
“Rasulullah
s.a.w bersabda: (bermaksud) “Tidak ada daripada mana-mana sembahyang yang
paling afdhal daripada sembahyang Subuh pada hari Jumaat secara berjemaah dan
saya berpendapat bahawa tidak ada sesiapa yang menghadirinya di antara kamu
melainkan dia memperoleh keampunan” (At-thabarani)
Pahala sembahyang Subuh berjemaah adalah yang paling
besar di antara sembahyang berjemaah yang lain.
Membaca surah Al-Kahfi pada
siangnya
Dari Ibnu Umar r.a katanya:
“Rasulullah
s.a.w bersabda: (bermaksud) “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari
Jumaat, maka terbitlah cahaya dari bawah kakinya mencecah hingga ke langit
tinggi meneranginya pada hari kiamat dan dia akan diberi keampunan (terhadap
dosanya) di antara dua Jumaat”
Membaca surah Al-Kahfi pada
malamnya
Dari Abu Said Al-Khudri katanya (bermaksud)
“sesiapa
yang membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dia akan mendapat cahayanya
di antara tempatnya dengan Kaabah”
Memperbanyakkan sedekah
Ibnu Abu Syaibah didalam kitab Al-Mushannaf telah
mentakhrijkan daripada Ka,ab r.a, katanya: (bermaksud)
“Bersedekah
pada hari Jumaat digandakan ganjarannya”
Membaca surah Ad-Dukhaan
Dari Abu Hurairah r.a, katanya,
“Rasulullah
s.a.w bersabda: (maksudnya) “sesiapa yang membaca ‘Haa Miim, Ad-dukhaan’ pada
malam Jumaat, dia akan diberi keampunan” (Tarmizi).
Abu Umamah r.a, katanya “Rasulullah s.a.w bersabda:
(bermaksud)
“Sesiapa
yang membaca ‘Haa Miim, Ad-Dukhaan pada malam Jumaat atau hari Jumaat, Allah
membina sebuah rumah baginya di syurga” (At-Thabarani)
Membaca surah Yasiin pada
malam Jumaat
Abu Hurairah r.a, katanya:
Rasulullah
s.a.w bersabda: (bermaksud) “Sesiapa yang membaca pada malam Jumaat ‘Haa Miim
Addukhaan’ dan ‘yasiin’ jadilah dia pada pagi harinya dalam keadaan diampuni” (Al-Baihaqi)
Zikir memohon ampun sebelum
subuh hari Jumaat
Dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
(bermaksud)
“Sesiapa
yang membaca sebelum subuh hari jumaat sebanyak tiga kali ‘Astaghfirullah…….…wa
atu-bu-ilaih’ dosanya diampun walaupun lebih banyak daripada buih di lautan” (At-Tabarani)
Memperbanyakkan selawat
Abu Umamah r.a katanya:
“Rasulullah
s.a.w bersabda: (bermaksud) “Perbanyak oleh kamu selawat ke atasku pada setiap
Jumaat kerana sesungguhnya selawat umatku dibentangkan ke atasku setiap Jumaat,
maka sesiapa yang paling banyak berselawat ke atasku adalah tempatnya paling
dekat denganku” (Al-Baihaqi)
(KULIAH MAGHRIB DI SURAU
AN-NUR, BANGI OLEH TUAN GURU DATO DR HARON DIN AL-HAFIZ)
No comments:
Post a Comment