Monday, December 31, 2012

Mencari rezeki lebih baik dari mengemis



serenemaklong.blogspot.com




SUATU hari seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul di hadapan sebuah restoran Mamak.

"Nak beli kuih?" kata budak itu kepada seorang lelaki yang baru keluar dari restoran tersebut. Dengan tersenyum tangan budak itu menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.

"Baru lepas makan, dik, masih kenyang lagi ni," kata lelaki tersebut sambil menepuk-nepuk perut.

Budak itu beredar, tetapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap orang yang lalu lalang ditanya, "Tak nak beli kuih saya, bang, pak cik, kakak atau makcik?"

Bagus sungguh budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati lelaki tersebut melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemui enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, lelaki itu terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Pintu kereta dibuka, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat enjin dihidupkan, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Lelaki itu menurunkan cermin, membalas senyumannya.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Lelaki itu merenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kasihan di hati. Lantas dia membuka dompet, dan menghulurkan kepadanya sekeping not merah RM10.

"Ambil ni, dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Katanya  ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih dan terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Lelaki itu gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta dihidupkan, dia mengundur. Alangkah terperanjatnya dia bila melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberiannya kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Dia terkejut, lantas memberhentikan semula kereta dan memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa? Abang nak beli kuihkah?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi untuk adik!"

"Bang, saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak, saya mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan saya tulang empat kerat. Kalau dia tahu saya bawa balik duit sebanyak itu sedangkan jualan masih banyak, mak tentu marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat, bang!" katanya begitu lancar.

Lelaki itu rasa sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidupnya. Tanpa banyak soal dia terus bertanya harga semua kuih yang ada dalam bakul.

"Abang nak beli semua?" Lelaki itu cuma mengangguk, lidah kelu untuk berkata.

"RM25 saja, bang."

Selepas kuih dimasukkan satu persatu ke dalam plastik, wang RM25 dihulurkan. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Lelaki itu memerhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan pulang, baru dia terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya? Kuih yang dibelinya itu bukan lagi atas dasar kasihan tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya itu satu penghormatan.

Sikap kanak-kanak itu menyedarkan kita semua siapa kita sebenarnya!

Saturday, December 29, 2012

Kenapa Baca Kalau Tak Tahu Makna?




serenemaklong.blogspot.com



SEORANG lelaki tua tinggal di sebuah ladang bersama dengan cucunya. Setiap pagi, Si Datuk membaca Al-Quran di ruang dapur. Si cucu yang melihat, juga meniru perbuatan Datuknya itu.

Suatu hari Si Cucu bertanya kepada datuknya, “Atuk, saya baca Quran ini tapi tak fahamlah maksudnya. Kalau faham pun, saya akan lupa bila tutup Al-Quran. Jadi apa gunanya kita baca Al-Quran ini?”

Si Datuk berpaling sebentar dan mendapatkan sebuah bakul yang kotor kerana telah diisi arang sebelumnya.

“Nah, kau pergi ke sungai, bawa air dalam bakul ni.”

Si Cucu pun bergegas pergi ke sungai yang berhampiran dengan rumah mereka. Apabila pulang, air yang dibawanya habis belaka, tiada lagi sisa air yang tinggal.

“Kau lambat sangat, cuba lari laju-laju sikit,” tegur Si Datuk. Si cucu pun segera berlari ke sungai manakala Si Datuk memerhati sahaja dari jauh. Namun apabila tiba di hadapan datuknya, air yang Si Cucu bawa itu tiada juga yang tinggal.

“Tak bolehlah, Atuk. Tak ada gunaya,” bentak Si Cucu. 

Si Datuk pun berkata, “Jadi kau rasa tak bergunalah? Cuba kau tengok bakul tu”.
Si Cucu baru terperasan bakul yang kotor tadi kini sudah bersih.

Terus Si Datuk menyambung, “Macam itulah dengan membaca Al-Quran. Walaupun tidak faham maksudnya, tetapi ia tetap membersihkan si pembacanya. Itu semua dengan kehendak Allah. Kerja Allah.”

Moral : Bacalah Al-Quran walau tidak tahu maknanya, kerana ia kalam Allah yang boleh membersihkan hati kita. Wallahua’lam.



Friday, December 28, 2012

Solat - Anak Kunci Syurga



serenemaklong.blogspot.com



MENYONSONG tahun Miladiyah 2013 dengan membaiki ‘Kunci Syurga.’

Pernahkah anda membaiki kunci syurga anda? Bagaimana keadaan kunci syurga anda?

Manusia yang paling sayangkan anda. Dan sangat dekat di hati anda, Pembawa kerahmatan sejagat - Rasulullah (صلى الله عليه وسلم)  meninggalkan banyak wasiat dan pesan yang menarik. Antara lain ialah ungkapan baginda: مِفْتَاحُ الْجَنَّةِ الصَّلاَةُ “Anak kunci syurga adalah solat” (HR Imam Tirmizi, Ahmad, dan Tabarani).
 
Membaiki dan menaiktaraf kefahaman, perspektif, citra, pengamalan dan penghayatan solat, iqamat al-solah, dan solat berjemaah, itu bermakna membaiki ‘kunci syurga’. Fastabiqul khairat

http://www.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=37609

Thursday, December 27, 2012

Amalan Malam dan Hari Jumaat





serenemaklong.blogspot.com


 
ALHAMDULILLAH kerana Allah SWT masih memanjangkan usia kita supaya kita dapat mengejar redha-Nya. Marilah kita perbanyakkan amalan dan ibadat kepada-Nya terutama pada malam Jumaat dan hari Jumaat. Jumaat adalah hari yang Allah gandakan ganjaran amalan yang baik hamba-Nya yang soleh. 

Rasulullah bersabda bermaksud: 

Barang siapa secara mudah meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, Allah akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran.”

Di antara amalannya adalah:

Solat Subuh berjemaah

Dari Abu Ubaidah al-Jarrah r.a katanya: 

“Rasulullah s.a.w bersabda: (bermaksud) “Tidak ada daripada mana-mana sembahyang yang paling afdhal daripada sembahyang Subuh pada hari Jumaat secara berjemaah dan saya berpendapat bahawa tidak ada sesiapa yang menghadirinya di antara kamu melainkan dia memperoleh keampunan” (At-thabarani)

Pahala sembahyang Subuh berjemaah adalah yang paling besar di antara sembahyang berjemaah yang lain.

Membaca surah Al-Kahfi pada siangnya

Dari Ibnu Umar r.a katanya: 

“Rasulullah s.a.w bersabda: (bermaksud) “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka terbitlah cahaya dari bawah kakinya mencecah hingga ke langit tinggi meneranginya pada hari kiamat dan dia akan diberi keampunan (terhadap dosanya) di antara dua Jumaat”

Membaca surah Al-Kahfi pada malamnya

Dari Abu Said Al-Khudri katanya (bermaksud) 

“sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dia akan mendapat cahayanya di antara tempatnya dengan Kaabah”

Memperbanyakkan sedekah

Ibnu Abu Syaibah didalam kitab Al-Mushannaf telah mentakhrijkan daripada Ka,ab r.a, katanya: (bermaksud) 

“Bersedekah pada hari Jumaat digandakan ganjarannya”

Membaca surah Ad-Dukhaan

Dari Abu Hurairah r.a, katanya, 

“Rasulullah s.a.w bersabda: (maksudnya) “sesiapa yang membaca ‘Haa Miim, Ad-dukhaan’ pada malam Jumaat, dia akan diberi keampunan” (Tarmizi).

Abu Umamah r.a, katanya “Rasulullah s.a.w bersabda: (bermaksud) 

“Sesiapa yang membaca ‘Haa Miim, Ad-Dukhaan pada malam Jumaat atau hari Jumaat, Allah membina sebuah rumah baginya di syurga” (At-Thabarani)

Membaca surah Yasiin pada malam Jumaat

Abu Hurairah r.a, katanya: 

Rasulullah s.a.w bersabda: (bermaksud) “Sesiapa yang membaca pada malam Jumaat ‘Haa Miim Addukhaan’ dan ‘yasiin’ jadilah dia pada pagi harinya dalam keadaan diampuni” (Al-Baihaqi)

Zikir memohon ampun sebelum subuh hari Jumaat

Dari Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: (bermaksud) 

“Sesiapa yang membaca sebelum subuh hari jumaat sebanyak tiga kali ‘Astaghfirullah…….…wa atu-bu-ilaih’ dosanya diampun walaupun lebih banyak daripada buih di lautan” (At-Tabarani)

Memperbanyakkan selawat

Abu Umamah r.a katanya: 

“Rasulullah s.a.w bersabda: (bermaksud) “Perbanyak oleh kamu selawat ke atasku pada setiap Jumaat kerana sesungguhnya selawat umatku dibentangkan ke atasku setiap Jumaat, maka sesiapa yang paling banyak berselawat ke atasku adalah tempatnya paling dekat denganku” (Al-Baihaqi)

(KULIAH MAGHRIB DI SURAU AN-NUR, BANGI OLEH TUAN GURU DATO DR HARON DIN AL-HAFIZ)