Tuesday, April 1, 2014
Surat Mengharukan Dari Paris
KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap beliau dapat bertemu dengan remaja berusia 15 tahun, Victor Lopez, yang menulis surat kepadanya dari Perancis.
Beliau dalam tweetnya berkata: "Takkanlah saya (tidak menjawab surat itu), harap dapat jumpanya satu hari nanti."
Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, menerima surat daripada Lopez pada 14 Mac yang menyatakan kekagumannya terhadap personaliti dan tindakan Hishammuddin dalam meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Lopez di dalam suratnya bertarikh 8 Mac, juga meminta agar Hishammuddin menurunkan tandatangannya pada kad kecil yang disertakan bersama-sama surat itu sebagai kenang-kenangan.
Surat itu berbunyi: "Ke hadapan Encik Hishammuddin Hussein, saya berumur 15 tahun dan saya amat mengagumi Malaysia. Saya menulis surat kepada anda untuk menzahirkan kekaguman saya terhadap personaliti anda dan tindakan anda.
"Saya pasti berasa amat gembira sekiranya anda sudi menurunkan tandatangan anda pada kad kecil yang saya hantar kepada anda. Saya ucapkan terima kasih, Yang ikhlas, Victor Lopez."
Hishammuddin semalam membalas surat itu dan menyatakan bahawa ingatan dan kata-kata semangat daripada individu seperti Lopez memberikannya kekuatan untuk meneruskan operasi mencari pesawat yang hilang itu.
"Ke hadapan Victor, saya harap ini akan sampai kepada anda dengan selamat. Terima kasih kerana menulis kepada saya dari Paris. Ingatan dan kata-kata semangat daripada individu seperti anda memberikan kekuatan kepada saya untuk terus menerajui usaha mencari MH370.
"Terima kasih sekali lagi kepada anda dan diharapkan anda dapat melawat Malaysia 'Truly Asia' sekiranya ada peluang. Belajar rajin-rajin!," demikian isi kandungan surat itu.
Tidak cukup dengan kata-kata yang bertaip rapi di dalam surat rasmi itu, Hishammuddin turut menitipkan kata-kata dengan tulisan tangannya iaitu: "Surat anda benar-benar menyentuh hati saya. Akan paparkan dalam Twitter, @HishammuddinH20." - Bernama
EU Boikot Israel
BRUSSELS - BELGIUM. Parlimen Kesatuan Eropah (EU) bersepakat menyertai kempen antarabangsa yang semakin berkembang untuk memboikot Israel susulan peningkatan aktiviti di kawasan yang diduduki di wilayah Palestin.
Ketua Dasar Luar EU Catherine Ashton berkata, sebanyak 29 ahli Parlimen menyokong usul supaya menggesa firma-firma Eropah menggantung urusan perdagangan dengan firma Israel.
“Sebarang hubungan ekonomi dengan syarikat Israel yang terlibat dalam pembinaan penempatan haram adalah pencabulan hak asasi manusia dan melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya dalam laporan Al Ahram.
Menurutnya, EU juga menyekat semua geran dan pembiayaan kepada mana-mana entiti Israel yang berpangkalan di penempatan haram.
Pemulauan berleluasa sejak Mac lalu menyebabkan negara itu kerugian 30 juta dolar (RM 98 juta) setakat ini.
Sementara itu, ribuan rakyat Jordan menuntut penutupan kedutaan Israel di Amman susulan pembunuhan seorang hakim Jordan Raed Zaytar, 38, oleh tentera Israel di Tebing Barat.
Perdana Menteri Jordan Abdullah Ensour berkata, Israel benar-benar bertanggungjawab terhadap kematian itu.
Selain itu, penduduk Jordan juga menggesa Parlimen Jordan untuk membatalkan 994 perjanjian damai dengan Israel.
[Sinar Harian]
Subscribe to:
Posts (Atom)


