Monday, May 18, 2020
PERKONGSIAN DAI'E
KEHEBATAN manusia terletak pada kebaikannya. Maka beruntunglah pencinta kebaikan. ALLAH S.W.T berfirman:
مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya (Al-an'am ayat 160).
Kebaikan sentiasa ada di persekitaran selagi wujud sikap memberi dan menerima. Oleh itu kongsikanlah kebaikan walau sekecil apa pun.
Setiap muslim adalah daie. Daie bukan ustaz, jauh sekali ulama. Ustaz dan ulama punya platform untuk menyampaikan ilmu di masjid, surau, media cetak dan elektronik. Daie hanya berkongsi peringatan tentang ilmu dan kebaikan di media sosial. Apa yang dipaparkan bukan saja untuk memperingatkan orang lain, malah yang terpenting ialah untuk amalan daie itu sendiri. Meskipun mempunyai kekurangan dan kelemahan, daie tetap tegar berkongsi ilmu dan kebaikan yang dia tahu.
Ibarat kain buruk yang mengelap kotoran, memang kain buruk tetap juga buruk tetapi permukaan yang dilap akan bersih semuanya.
* Daie dapat ganjaran dari kebaikan yang dia sebarkan.
* Daie dapat ganjaran dari amalannya sendiri hasil dari kebaikan dia sebarkan.
* Daie dapat ganjaran bila ada orang yang amalkan kebaikan yang dia sebarkan.
Setiap makhluk Allah bakal dibicarakan di Mahkamah Agung. Semoga kebaikan-kebaikan yang dikongsi kerana Allah akan menjadi saksi buat diri Daie.
CARA SINGKAT BORONG PAHALA
Membaca Surah Al-Ikhlas
Di dalam masa satu minit, kita boleh membaca sekitar 10 kali Surah Al-Ikhlas. Ia adalah surah yang cukup mudah untuk dihafal dan ia adalah surah yang cukup popular untuk dibaca di dalam solat apabila kita mengejar masa.
Rasulullah ﷺ bersabda: "Siapa yang membaca qul huwallahu ahad sampai akhir (Surah Al-Ikhlas) sebanyak sepuluh kali, maka akan dibangunkan baginya rumah di syurga."* (Hadis Riwayat Ahmad)
Jadikan membaca surah al-Ikhlas sebagai amalan mengisi masa terluang, Insya ALLAH kita akan memperolehi rumah di Syurga!
Berselawat Kepada Rasulullah ﷺ
Kita memang dianjurkan untuk sentiasa berselawat kepada baginda Rasulullah kerana bagi setiap selawat, Tuhan akan memberi 10 kali salam kepada kita. Salam di sini bermaksud dirahmati kehidupan kita, dipermudahkan urusan kerja dan sebagainya.
"Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, niscaya ALLAH akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda"*. (Hadis Riwayat Muslim)
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Di dalam masa satu minit, kita boleh berselawat melebihi dari 30 kali atau jika kita melafazkan selawat pendek ia boleh mencecah sehingga 100 kali.
Beristighfar Memohon Keampunan
Setiap kali kita beristighfar, Tuhan akan memberikan kegembiraan, kelapangan dan memberi rezeki dari arah yang kita tidak sangka.
Seperti sebuah hadis baginda Nabi Muhammad ﷺ:
"Barangsiapa yang senantiasa beristighfar, maka ALLAH akan memberi kegembiraan dari setiap kesedihannya, kelapangan bagi setiap kesempitannya dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka."* (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Di dalam satu minit, kita boleh beristighfar sekitar 30 kali dengan penuh penghayatan atau sekadar menggunakan lafaz pendek.
(أستغفر الله العظيم)
“Astaghfirullah hal adzim”, boleh dilafazkan sekitar 100 kali.
Bertanya Khabar Keluarga
Dengan wujudnya perbagai kemudahan seperti media sosial pada hari ini, kita hanya perlukan satu minit untuk bertanyakan khabar ahli keluarga yang terdekat. Dengan satu pesanan SMS atau WA sahaja sudah boleh mengetahui keadaan ahli keluarga tersayang.
Itu juga sudah dikira sebagai menghubungkan silaturahim.
Sabda Nabi Muhammad ﷺ: "Barangsiapa yang suka diluaskan rezekinya dan ditangguhkan kematiannya, hendaklah ia menyambung silaturahim." (Hadis Riwayat Bukhari)
Lafaz Tasbih
Dua kalimah yang ringan di mulut, tetapi berat di timbangan, serta disukai oleh Allah Yang Maha Pengasih iaitu:
– سبحان الله و بحمده –
– سبحان الله العظيم –
"Subhanallah wa bihamdihi, subhanallah hil adzim." (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam masa satu minit, kita boleh melafazkan tasbih ini sekitar 40-50 kali.
Akui Semua Kejadian Adalah Kehendak ALLAH
Ayat kalimat ini sangat ringkas tetapi mempunyai manfaat yang luar biasa. Kita biasanya melafazkan ayat ini ketika mendengar guruh yang kuat di langit.
Tetapi Nabi Muhammad juga ada bersabda ﷺ:
"Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’, kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga."*
لا حول ولا قوة إلا بالله
Hadis Riwayat Bukhari)
Bayangkan dengan lafaz mudah ini, ia boleh menjadi satu simpanan pahala yang berharga di syurga. Di dalam satu minit, kita boleh melafazkan kalimat ini sekitar 30 kali.
Mendoakan Orang Lain
Dalam satu minit kita boleh berdoa untuk sesiapa sahaja, Insya Allah Tuhan juga akan memberikan doa yang sama buat kita.
Rasulullah bersabda ﷺ :
"Barangsiapa yang mendoakan mukmin lelaki ataupun perempuan, niscaya Allah akan memberi pahala kebaikan dari setiap mukmin lelaki dan perempuan yang didoakannya."* (Hadis Riwayat al-Thabarani)
Sebarkan Kebaikan
Di zaman dunia di hujung jari ini, cukup mudah untuk kita sebarkan kebaikan. Setiap kebaikan yang kita panjangkan kepada orang lain, mereka akan mendapat manfaatnya. Jika orang lain mempraktikkan apa sahaja kebaikan tersebut, kita juga akan mendapat pahalanya.
Seperti sabda Nabi Muhammad ﷺ:
"Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk, maka dia akan mendapat pahala orang yang mengikutinya, yang demikian itu tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun."* (Hadis Riwayat Muslim)
DEKATILAH orang SOLEH walaupun kita masih JAHAT.
DEKATILAH mereka sehingga kita MALU berbuat JAHAT.
DEKATILAH mereka sehingga kita tidak mahu lagi jadi JAHAT.
SEBAIK-BAIK SAHABAT adalah sahabat yang di dalamnya ada NASIHAT. Menolong di dunia menjadi syafaat di Akhirat.
SEBAIK-BAIK RUMAH adalah rumah yang di dalamnya ada RAHMAT. Malaikat hadir datang Mendekat.
SEBAIK-BAIK REZEKI adalah rezeki yang di dalamnya ada BERKAT. Setiap perkara terasa nikmat.
SEBAIK-BAIK ILMU adalah Ilmu yang di dalamnya ada MANFAAT.Berbahagia dan selamat Dunia Akhirat.
SEBAIK-BAIK HIDUP adalah hidup yang di dalamnya ada TAAT. Tidak menangis di Negeri Akhirat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment