Friday, September 2, 2011

Kualiti Usahawan


Ramai orang mempunyai kebolehan berniaga. Jika tidak masakan banyak gerai, terutama gerai makanan muncul di sana sini bak cendawan tumbuh selepas hujan. Namun, kebanyakan gerai tidak diperbesarkan menjadi restoran. Sebaliknya si peniaga kekal berniaga di gerai itu sepanjang hayatnya. Yang lebih malang ialah apabila perniagaan  ditutup terus dan gerai dibiarkan buruk sehingga merosakkan pemandangan kawasan sekitar, menjadi sarang sang nyamuk atau lebih teruk tempat penagih dadah "menumpang" tidur. 

Seseorang usahawan memerlukan kualiti tertentu yang mana tanpanya individu tersebut sukar meraih kejayaan:     

Mempunyai modal permulaan yang cukup dan pendapatan sokongan
Modal adalah duit untuk menghasilkan duit, walaupun untuk perniagaan kecil-kecilan di rumah.  Pastikan anda mempunyai aliran tunai yang cukup untuk menyediakan keperluan asas serta menetapkan pemasaran sebelum menceburkan diri dalam perniagaan.  Dapatkan maklumat daripada mereka yang sudah menjalankan perniagaan mengenai jangka masa untuk memperolehi pulangan perniagaan.  Ini dapat membantu anda mengatur starategi kewangan supaya anda lebih berhemah dalam urusan perbelanjaan seharian.
Sikap berdikari
Ini merupakan kualiti utama sebelum membuat keputusan menjadi usahawan. Jika anda seorang yang suka mengambil sikap tunggu dan lihat ataupun membuat sesuatu perkara atas arahan pihak atasan, anda sesuai untuk makan gaji sahaja. Sebaliknya, jika anda berupaya untuk berfikir secara kreatif dan juga memberikan satu kesan kepada orang lain atau pun masyarakat, anda  boleh dikategorikan sebagai seseorang yang boleh berjaya dalam perniagaan yang diceburi.
Boleh bekerja melangkaui had masa standard setiap hari
Jika anda bekerja dengan seseorang, anda terikat dengan jadual kerja yang ditetapkan oleh majikan.  Pada satu-satu masa, anda boleh melupakan masalah di tempat kerja dan menumpukan perhatian kepada keluarga serta berehat.
Tetapi usahawan mempunyai tanggungjawab sangat besar dan masa bekerja berbeza dengan mereka yang makan gaji.  Jika anda gemar dan suka kepada pulangan jangka panjang yang bakal diperolehi, kepayahan ini tidak menghalang anda bekerja ketika orang lain menikmati waktu rehat mereka.
Mempunyai sokongan KUAT daripada keluarga
Kadangkala anda mempunyai idea yang bernas untuk menjalankan perniagaan. Adalah lebih baik, sebelum anda memulakan langkah pertama dalam perniagaan, kongsikan idea tersebut bersama keluarga anda. Suami kepada isteri, isteri kepada suami, anak kepada ibu bapa...sangat elok dan berkesan untuk mendapat restu.
Seperti kata-kata yang disampaikan oleh Micheal Gerber,

"The entrepreneur in us sees opportunities everywhere we look, but many people see only problems everywhere they look. The entrepreneur in us is more concerned with discriminating between opportunities than he or she is with failing to see the opportunities".

Thursday, September 1, 2011

Adab Bergurau


serenemaklong.blogspot.com

Bergurau sebenarnya dibolehkan dalam agama tetapi dengan niat yang betul. Berikut diperturunkan adab bergurau yang perlu diberi perhatian.
·        Dibolehkan bergurau dengan niat menghilangkan rasa penat, bosan, lesu serta bagi menyegarkan jiwa supaya memperoleh semangat baru bagi meneruskan tugasan sebagai hamba dan khalifah.
·        Tidak berlebih-lebihan. Islam menuntut agar bersederhana dalam setiap perkara. Terlalu kerap bergurau boleh menjatuhkan kewibawaan seseorang.
·        Elakkan bergurau dengan orang yang tidak suka bergurau kerana mereka selalu menganggap serius setiap ucapan dan perbuatan walaupun sekadar gurauan.
·        Tidak bergurau dalam perkara-perkara yang serius seperti talaq, kahwin, rujuk, semasa menjadi saksi dan sebagainya.
·        Tidak menakut-nakutkan atau membuat seorang muslim bimbang. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang Muslin membuat takut seorang Muslim yang lain.” (HR Abu Daud)
·        Berkata benar walaupun sedang bergurau. Ini sunnah Rasulullah saw: sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya aku juga bergurau senda namun aku tidak mengatakan kecuali yang benar.” (HR al-Tabrani)
·        Jangan memperlekehkan individu atau kelompok tertentu dengan tujuan untuk bergurau.
·        Menjauhi bergurau dengan tangan dan kata-kata yang buruk. Allah berfirman dengan maksud: ”Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka.“ (al-Isra’ 17:53).
Firman Allah ini wajib dipatuhi kerana beberapa tahun lalu, dalam satu kerja kenduri, pernah berlaku gurauan yang berakhir dengan kematian.
·        Tidak banyak tertawa. Rasulullah saw mengingatkan umatnya melalui sabdanya bermaksud: “Jangan kalian banyak tertawa. Sesungguhnya banyak tertawa dapat mematikan hati.” (HR Ibn Majah)
·        Bergurau dengan orang yang sesuai seperti kanak-kanak sebagaimana gurauan Rasulullah saw dengan Anas bin Malik dan Abu Umair.