Friday, January 21, 2011

Penjagaan Tayar

serenemaklong.blogspot.com

Tayar adalah antara komponen terpenting bagi kereta anda, tetapi masih ramai mengabaikan aspek ini sedangkan kedegilan serta kecuaian dalam penjagaan tayar boleh mengundang masalah di jalan raya.

Penjagaan tayar tidak boleh dipandang mudah dan mesti menjadi sebahagian aktiviti pemandu kenderaan. Memilih tayar paling sesuai dengan kegunaan juga sama penting kerana tayar adalah bahan sentuhan tunggal di antara kenderaan dengan jalan.

Tayar memainkan peranan penting ketika membrek dan mesti tahan lasak untuk menangani tekanan itu serta permukaan jalan yang adakalanya tidak rata.

Tayar juga mesti memberi keselesaan ketika mengambil selekoh dan kawalan stereng dalam apa juga keadaan.

Berikut adalah antara beberapa panduan berguna.

Jangan gunakan tayar yang bunganya sudah haus. Tayar begini mudah tergelincir, terjejas akibat kesan membrek dan kurang sensitif dari segi cengkaman. Dalam keadaan jalan basah, kenderaan mungkin berbabas atau melompat dari air ketika membrek dan menyukarkan kawalan pemandu.


Pemilihan tayar tepat penting untuk keselamatan, keselesaan, kawalan dan ekonomi. Pastikan dalam tayar sentiasa sesuai. Tekanan rendah akan menjejaskan wibawa tayar manakala tekanan terlalu tinggi boleh menyebabkan sesuatu di luar dugaan dalam kawalan atau pergerakan. Membrek dengan mengejut boleh menyebabkan tayar tergelincir. Periksa tekanan tayar sekurang-kurangnya dua kali sebulan, ketika tayar dalam keadaan sejuk. Pengeluar tayar juga menekankan keutamaaan mengekalkan tekanan tayar.


Jangan memandu dalam keadaan tayar rosak. Tukar atau perbaikinya secepat mungkin.


Segera baiki tayar tidak normal. Biasakan memeriksa tekanan, penjajaran dan pusingan tayar. Elakkan tabiat buruk ketika memandu seperti memandu terlalu laju, membrek secara mengejut dan mengambil selekoh secara berbahaya.


Pastikan tayar gantian sentiasa dalam keadaan baik dan boleh digunakan serta memiliki tekanan angin mencukupi.


Jangan gabungkan tayar dengan jejari dan tayar tanpa jejari.Pada kelajuan tinggi, keadaan itu menyebabkan gangguan kestabilan kenderaan yang mengakibatkan hilang kawalan serta kecederaan serius.


Sentiasa pastikan skru tayar dipasang dengan betul dan tidak terlalu ketat. Mustahil dapat membuka skru tayar dengan pembuka tayar biasa sekiranya ia terlalu diketatkan dengan mesin pembuka tayar udara. Juga, bukan lucu sekiranya tayar kenderaan anda tercabut dan berpusing melintasi anda, menyebabkan kenderaan hanya tinggal tiga roda.


Jangan biarkan tayar lebih muatan. Carta berat dan tekanan angin biasanya terpapar di tempat mengisi angin di mana-mana stesen minyak. Tayar hanya mampu menampung muatan maksimum jika ia memiliki tekanan angin maksimum.


Jangan pasang tayar yang sudah digunakan sesuka hati melainkan anda tahu sejarahnya. Ini bermakna, anda bertuah sekirannya kakak atau abang menghadiahkan anda satu set tayar kerana dia ingin membeli tayar baru. Tetapi, belum tentu tayar itu masih baik sekiranya saranan itu diajukan kepada penjual tayar.

Monday, January 17, 2011

Sembahlah Allah S.W.T.

Sesungguhnya Allah s.w.t mengusap belakang (sulbi) Adam a.s. dan menciptakan daripadanya keturunan yang Dia simpan di dalam (tulang sulbinya)nya. Benih keturunan (zuriat) itu akan lahir ke  dunia hingga tiba hari kiamat. Allah berkata kepada anak-anak Adam: “Bukankah Aku ini Tuhanmu. Mereka menjawab:”Ya, Engkaulah Tuhan kami dan Maha Suci Engkau, ya Allah.”
                                                                                           Imam Ibnu Kathir


Kehidupan di dunia terdiri daripada yang boleh dilihat dan yang ghaib. Semua yang ghaib itu berasal dari Allah s.w.t. Manusia wajib beriman kepada Allah s.w.t., Tuhan Maha Pencipta dan Maha Berkuasa. Kehidupan di dunia adalah perantaraan menuju akhirat, juga sebagai tempat Allah s.w.t.menguji setiap hamba-Nya, siapakah di antara mereka yang lebih baik amalannya. Di akhirat kelak mereka akan menerima balasan mengikut tahap amalan masing-masing.


Bagaimanakah manusia boleh memberi kesaksian kepada Allah s.w.t? Manusia menggunakan akal yang dikurniakan Allah s.w.t untuk memahami hal-hal yang ghaib. Sebagai contoh, ketika ini manusia berbondong-bondong pergi menunaikan ibadah haji di Baitullah, pada hal tidak ada seorang pun daripada mereka itu yang mendengar atau melihat Nabi Ibrahim menyeru supaya ibadah tersebut ditunaikan. Seruan Ibrahim telah disampaikan kepada seluruh manusia dengan kekuasaan Allah s.w.t. walaupun ketika itu mereka belum pun dilahirkan lagi.


Setiap manusia mempunyai bahagian waktu (umur) yang berbeza-beza. Selagi ada umur, manusia boleh memilih untuk membuat apa sahaja yang dia suka, namun manusia tiada pilihan bila ajal tiba. Ketika seseorang kembali mengadap Allah s.w.t. dia datang dengan kain kafan yang membaluti sekujur tubuh dan bekalan amalannya. Harta yang dikumpul dengan susah payah terpaksa ditinggalkan di dunia dan bakal menjadi rebutan para pewaris. Amalan yang dibawanya itulah yang menentukan tempat tujuannya yang abadi, sama ada syurga atau neraka.


Ada kalangan manusia menganggap bahawa kehidupan cuma ada di dunia sahaja, tiada kehidupan lain selepas itu. Kerana itu mereka bekerja keras untuk mendapatkan apa yang dikehendaki tanpa mempedulikan ketetapan Allah s.w.t. Mereka lupa bahawa kehidupan di dunia hanya sementara. Semua nikmat yang mereka rasai boleh dicabut oleh Allah s.w.t. bila-bila sahaja.


Firman Allah s.w.t. dalam Surah Toha 123-126

Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara.


Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpun dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?” Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.”    
   

Allah s.w.t telah menjanjikan bahawa “tidak akan sesat dan tidak akan hidup sengsara”  sama ada di dunia ataupun akhirat bagi orang yang menerima petunjuk-Nya. Mereka yang gagal mentaati perintah Allah s.w.t. ketika di dunia, memang layak menerima kesinambungan hukuman itu di akhirat. Diri sendiri patut dipersalahkan kerana penderitaan yang dialami.


Walau apapun hujah yang dikemukakan oleh sesetengah orang, setiap manusia harus kembali kepada asas (back to basics) iaitu Sembahlah Allah S.W.T.


Firman-Nya dalam Surah Adz Dzariyat ayat 56

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.