Tuesday, May 19, 2020

AMALAN HARIAN MUSLIM SEJATI

AMALKAN SEDIKIT DEMI SEDIKIT MANA YANG TERMAMPU.

Solat Tahajud di ¾ malam sekurang-kurangnya 2 rakaat dan solat sunat Witir sekurang-kurangnya 1 rakaat sebelum masuk waktu Subuh.

Selepas Subuh, zikir 300 pagi (100x tasbih, tahmid dan takbir), 100x selawat dan 100x istighfar. 

Semasa kedatangan DAJJAL, hanya orang yang jaga zikir sahaja mempunyai sumber makanan dan minuman. Yang lain akan mengikut DAJJAL untuk mendapatkan makanan dan minuman.

Kemudian baca surah Yasin.

Allah berjanji segala hajat pada hari itu akan dipenuhi.

Selepas 26 minit naik matahari, solat sunat Isyraq 4 rakaat.

Allah berjanji akan menolong sempurnakan segala urusan pada hari itu.

Kemudian solat sunat Dhuha. 

Ia boleh dilakukan bermula 20 minit selapas Isyraq (di antara jam 8 pagi -12 tengah hari). 

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa mengerjakan solat Dhuha 2 rakaat, dia tidak akan tergolong di dalam golongan yang lalai dan lupa.” 

Solat Dhuha juga memudahkan urusan rezeki.

Selepas solat Zohor, bacalah surah Ar-Rahman.

Nabi SAW bersabda: “Segala sesuatu itu mempunyai mempelai, dan mempelai bagi Al-Quran adalah surah Ar-Rahman.” 

Surah Ar-Rahman menanam sifat syukur di dalam hati atas nikmat-nikmat Allah. Amalan membaca Surah Ar-Rahman sangat baik untuk meningkatkan kecerdasan otak.

Selepas solat fardhu Asar, zikir 300 petang, (100x tasbih,tahmid dan takbir), 100x selawat dan 100x istighfar.

Kemudian baca Surah An-Naba’.

Nabi SAW bersabda: “Jika kamu tahu fadhilat dan besarnya pahala membaca surah An-Naba’, maka kamu akan berhenti daripada tugas-tugas kamu, lalu mempelajari surah tersebut dan mendekatkan diri kepada Allah dengan membacanya. Sesungguhnya Allah akan mengampunkan dosa mereka yang mengamalkan membacanya selain dosa syirik.”

Selepas solat Maghrib, solat sunat Auwabin. 

Allah berjanji akan memberi keampunan terhadap dosa-dosa melainkan dosa syirik kepada-Nya.

Kemudian baca surah Al-Waqiah.

Allah berjanji sesiapa yang istiqamah mengamalkannya pada setiap malam, kebuluran dan kemiskinan tidak akan menemuinya.

Selepas Isya’ baca surah Al-Mulk.

Allah berjanji akan memelihara dari azab kubur. 

Nabi SAW tidak akan tidur selagi tidak membaca surah Al-Mulk dan surah As-Sajdah.

Setiap malam baca Ayatul Kursi dan “Amanar-Rasul” hingga selesai.

Sangat penting untuk melindung diri dari pengaruh syaitan dan kejahatan.

Sebelum tidur, solat sunat Taubat dan tidur beradab seperti mana Nabi SAW tunjuk ajar.

Setiap malam apabila hendak tidur, Muhasabah diri, pohon keampunan kepada Allah di atas dosa-dosa dan bagi setiap amalan yang baik, nyatakan kesyukuran kepada Allah.

Sebelum tidur fikirkan dan renunglah (muqarabah) mengenai mati dan peristiwa-peristiwa selepas maut. Muqarabah perlu untuk membentuk sifat Taqwa.

Setiap hari baca al-Quran walaupun sedikit.

Hati yang tidak ada al-Quran seumpama hati yang mati. Al-Quran perlu dikhatamkan dua kali setiap tahun.

Setiap pagi Jumaat baca  surah Al-Kahfi.

Kalau tak mampu dihabiskan seluruh surah, bacalah seberapa banyak yang boleh. Allah berjanji ‘cahaya’ di hari kiamat dan diampunkan di antara dua Jumaat. 

Nabi SAW bersabda: ‘Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit.’

Sibukkan hati dan lidah dengan berzikir di dalam apa jua kegiatan sama ada berjalan, duduk atau bekerja. Berzikirlah ‘Lailahailallah’ sebagai amalan tetap dan berkekalan.

Puasa sunat Isnin dan Khamis, juga puasa sunat pada hari-hari yang digalakkan dalam Islam. 

Kaum isteri yang hendak berpuasa sunat, mintalah keizinan dari suami. 

Cubalah sedaya-upaya berada dalam keadaan berwudhu’

Wanita yang sedang haid teruskanlah dengan zikrullah. Meninggalkannya akan menyebabkan hati menjadi keras dan melemahkan cahaya rohaniah.

Lawan nafsu dengan menjaga mata, telinga, lidah dan hati dari melakukan perkara yang boleh menghapuskan pahala.

SEMOGA BERMANFAAT. SELAMAT BERAMAL 





DAI'E BERKONGSI

DOA Qiyamullail 10 malam terakhir bulan Ramadhan

Bahagian 1 – Pengampunan Dosa

1. Minta ampun ke atas dosa diri sendiri

2. Minta ampun ke atas dosa ibu bapa 

3. Minta ampun ke atas dosa pasangan 

4. Minta ampun ke atas dosa anak-anak 

5. Minta ampun ke atas dosa keluarga (sanak saudara adik beradik) 

6. Minta ampun ke atas dosa guru/ustaz/ustazah 

7. Minta ampun ke atas dosa muslimin dan muslimat (sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia) 

 

Bahagian 2 –  Keperluan Masa Kehidupan

1. Dimurahkan rezeki 

2. Diberi sakinah (ketenangan) dalam keluarga 

3. Anak-anak diperlihara oleh Allah 

4. Minta rezeki diberkati 

5. Dijauhkan dari musibah, bala bencana, penyakit 

6. Dijauhkan dari ujian yang tidak mampu kita tanggung

7. Minta hati anak-anak kita tidak berpecah belah 

8. Minta orang lain kasih kepada keluarga dan diri kita 

9. Dijauhkan dari orang lain dengki khianat, iri hati, cemburu kepada kita 

 

Bahagian 3 – Urusan Ketika Kematian

1. Mohon Mati dalam husnul khatimah 

2. Mohon Mati dijauhkan dari fitnah 

3. Mohon Dapat mengucap syahadah *“Laa ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah” 

4. Minta mati dalam keadaan sedang dalam beribadah 

 

Bahagian 4 – Alam Barzakh

1. Jadikanlah kuburku nanti dari taman-taman syurga

2. Jangan jadikan kuburku dari lubang api neraka 

3. Terangilah kuburku. Aku takut gelap. 

4. Perluaskanlah kuburku. 

5. Lapangkanlah kuburku sejauh mata memandang 

6. Berikanlah rezekiku di dalam kubur nanti 

7. Bukakanlah satu pintu supaya aku nampak tempat dudukku di dalam syurga 


Bahagian 5 – Ketika di Padang Mahsyar

1.  Ya Allah, selamatkanlah aku di padang mahsyar 

2.  Jadikanlah aku duduk di maqam mahmudah (kedudukan yang terpuji) 

3.  Jadikanlah aku orang yang duduk di bawah perlindungan arasy-MU 

4.  Ya Allah, jangan Engkau seksa aku di padang mahsyar 

5.  Berikanlah suratan amalku dari tangan kanan 

6.  Padamkanlah dosa-dosaku di dalam kitab amal 

7.  Jangan Engkau tunjuk/tayang dosa-dosa yang aku lakukan dulu di tayangan amal 

8.  Tutupkanlah dan lindungilah aibku, dosaku dan kesilapanku yang dulu 

9.  Beratkanlah timbangan amal di sebelah kananku 

10. Masukkanlah aku ke dalam golongan yang masuk syurga tanpa hisab 

 

Bahagian 6 – Lintasan Titian Sirat

1. Permudahkanlah aku melintasi titian sirat 

2. Jangan jatuhkan aku ke dalam lubang neraka ketika melintas titian sirat 

3. Ya Allah tolonglah aku ketika melintas titian sirat 

4. Ya Allah percepatkanlah aku melintas titian sirat sepantas kilat.

 

Bahagian 7 – Masuk Syurga Allah

1. Ya Allah, kurniakan aku syurga Firdaus 

2. Bangkitkan aku bersama Nabi Muhammad SAW di syurga Firdaus 

3. Berilah aku dapat berganding, berdamping dengan Nabi Muhammad SAW 

4. Ya Allah, jauhkanlah aku dari azab api neraka.

(Perkongsian dari FB Muhammad Zaidi Zainuddin) 


Monday, May 18, 2020

KELEBIHAN SURAH AL MULK


SURAH AL MULK (bahasa Arab:الملك ) adalah surah ke 67 dalam Al-Qur’an. Surah ini tergolong surah ‘makkiyah’ yang terdiri daripada 30 ayat. Dinamakan Al Mulk kerana kata Al Mulk yang terdapat pada ayat pertama surah ini. yang bererti ‘Kerajaan’. Surat ini disebut juga dengan ‘At Tabaarak’ yang bererti Maha Suci.

Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia akan menjadi penyelamat dan pendinding dari seksa kubur kepada pembacanya. Surah Mulk hendaklah dibaca secara istiqamah dengan menjadikan membacanya amalan kehidupan seharian.

“Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak akan tidur melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.”

Di antara kelebihan Surah ini ialah:
1. Surah ini akan menjadi penyelamat.
2. Menahan pembacanya dari seksa kubur.
3. Berada di bawah naungan sayap malaikat (mendapat rahmat Allah).
4. Di hari kiamat rupanya akan dicerahkan seperti wajah Nabi Yusuf (cantik).

Fadhilat Dari Hadis
Terdapat banyak hadis tentang fadhilat yang terkandung dalam Surah Al Mulk, iaitu:

1. Mendapat Syafaat
Daripada Abu Hurairah r.a dari Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam al_Quran ada 30 ayat memberi syafaat kepada pembacanya sehingga diberi keampunan untuknya iaitu surah al-Mulk.”

2.  Menyelamatkan daripada seksa kubur
Di dalam kubur orang yang telah mati para malaikat azab datang pada sisi kakinya untuk memberi  hukuman.  Kakinya berkata; “kamu tidak dapat hampir dari sisi kakiku kerana orang ini pernah berdiri dalam solat dan membaca Surah Al-Mulk”. Kemudian mereka datang dari sisi dada (hati) dan perut, dan mereka juga terhalang. Kemudian mereka datang dari sisi kepala.

3. Hati Beriman
Rasulullah SAW bersabda: “Hatiku ingin supaya Surah Al-Mulk berada di dalam hati setiap orang yang beriman.” (iaitu setiap muslim hendaklah mempelajarinya dan membacanya dengan istiqamah).

Rasulullah SAW bersabda: “Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”

4.  Mendapat Keistimewaan
Saiyidina ‘Ali berkata: “Sesiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti Nabi Yusuf.”

Semoga dapat diamalkan secara istiqamah.

KAEDAH FIQH DALAM MENANGANI WABAK


BILA masyarakat berdepan bahaya yang berkebarangkalian tinggi, Pemerintah boleh bertindak melarang sesuatu ketaatan. 


Contoh:

Berniaga mencari rezeki adalah kemaslahatan umum. Datang wabak seperti COVID 19, pakar mengatakan keberangkalian bahaya dan kematian adalah tinggi dan ia adalah kemudaratan umum.


Bagaimana Pemerintah hendak buat keputusan antara membenarkan perniagaan atau menutup perniagaan?


Di sini, ulama menggariskan kaedah keseimbangan iaitu elakkan kemudaratan dahulu, berbanding mengejar kemaslahatan atau faedah umum. 

Maka ditutup perniagaan kerana mengelak kemudaratan itu lebih penting.


Ini seperti kaedah fiqh: 

دفع المفسدة مقدم على جلب المصلحة

"Menolak kemudaratan lebih didahulukan berbanding mengejar kemaslahatan"


Demikian juga isu mendirikan solat Jumaat, berbanding meninggalkannya. Mendirikan solat Jumaat ialah mengejar manfaat. Manakala mafsadahnya ialah wabak. Maka didahulukan mengelak wabak  berbanding mencari kemaslahatan dengan solat Jumaat.


Semoga membantu untuk faham.


Kemudian ditanya lagi, kenapa dibenarkan "perniagaan penting" sedangkan ada mudarat kesihatan. Maka di sini dibincangkan dua kemudaratan iaitu:

1. Mudarat wabak membawa binasa.

2. Mudarat tanpa keperluan makanan asas membawa kelaparan bahkan kebuluran.


Di sini dipertimbangkan antara dua kemudaratan mana yang lebih berat. Di sini Pemerintah melihat memberi peluang ketua keluarga membeli keperluan asas (lebih kurang kemudaratannya) berbanding membiarkan mereka berlapar. Ya, memang ada darar wabak, tetapi tidaklah sepasti kelaparan yang akan pasti menimpa jika tidak dipastikan mereka mendapat bekalan makanan. Maka mereka memilih: أخف الضررين

Ertinya: Darar yang lebih ringan..


Boleh juga diguna kaedah: يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام

Ertinya: Dipikulkan darar khas (kemudaratan terhadap orang orang tertentu yang menjalankan perniagaan penting) untuk menolak darar umum (penularan wabak bila semua perniagaan terus dibuka). Allahu al-musta'an.


(Dari FaceBook Ustaz Firdaus Md Zain) 



PERKONGSIAN DAI'E


KEHEBATAN manusia terletak pada kebaikannya. Maka beruntunglah pencinta kebaikan. ALLAH S.W.T berfirman:

مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya (Al-an'am  ayat 160).
Kebaikan sentiasa ada di persekitaran selagi wujud sikap memberi dan menerima. Oleh itu kongsikanlah kebaikan walau sekecil apa pun.

Setiap muslim adalah daie. Daie bukan ustaz, jauh sekali ulama. Ustaz dan ulama punya platform untuk menyampaikan ilmu di masjid, surau, media cetak dan elektronik. Daie hanya berkongsi peringatan tentang ilmu dan  kebaikan di media sosial. Apa yang dipaparkan bukan saja untuk memperingatkan orang lain, malah yang terpenting ialah untuk amalan daie itu sendiri. Meskipun mempunyai kekurangan dan kelemahan, daie tetap tegar berkongsi  ilmu dan kebaikan yang dia tahu.
Ibarat kain buruk yang mengelap kotoran, memang kain buruk tetap juga buruk tetapi permukaan yang dilap akan bersih semuanya.
* Daie dapat ganjaran dari kebaikan yang dia sebarkan.
* Daie dapat ganjaran dari amalannya sendiri hasil dari kebaikan dia sebarkan.
* Daie dapat ganjaran bila ada orang yang amalkan kebaikan yang dia sebarkan.

Setiap makhluk Allah bakal dibicarakan di Mahkamah Agung. Semoga kebaikan-kebaikan yang dikongsi kerana Allah akan menjadi saksi buat diri Daie.


CARA SINGKAT BORONG PAHALA

Membaca Surah Al-Ikhlas
Di dalam masa satu minit, kita boleh membaca sekitar 10 kali Surah Al-Ikhlas. Ia adalah surah yang cukup mudah untuk dihafal dan ia adalah surah yang cukup popular untuk dibaca di dalam solat apabila kita mengejar masa.
Rasulullah  ﷺ bersabda: "Siapa yang membaca qul huwallahu ahad sampai akhir (Surah Al-Ikhlas) sebanyak sepuluh kali, maka akan dibangunkan baginya rumah di syurga."* (Hadis Riwayat Ahmad)
Jadikan membaca surah al-Ikhlas sebagai amalan mengisi masa terluang, Insya ALLAH kita akan memperolehi rumah di Syurga!

Berselawat Kepada Rasulullah ﷺ
Kita memang dianjurkan untuk sentiasa berselawat kepada baginda Rasulullah kerana bagi setiap selawat, Tuhan akan memberi 10 kali salam kepada kita. Salam di sini bermaksud dirahmati kehidupan kita, dipermudahkan urusan kerja dan sebagainya.
"Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, niscaya ALLAH akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda"*. (Hadis Riwayat Muslim)
‎اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Di dalam masa satu minit, kita boleh berselawat melebihi dari 30 kali atau jika kita melafazkan selawat pendek ia boleh mencecah sehingga 100 kali.

Beristighfar Memohon Keampunan
Setiap kali kita beristighfar, Tuhan akan memberikan kegembiraan, kelapangan dan memberi rezeki dari arah yang kita tidak sangka.
Seperti sebuah hadis baginda Nabi Muhammad ﷺ:
"Barangsiapa yang senantiasa beristighfar, maka ALLAH akan memberi kegembiraan dari setiap kesedihannya, kelapangan bagi setiap kesempitannya dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka."* (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Di dalam satu minit, kita boleh beristighfar sekitar 30 kali dengan penuh penghayatan atau sekadar menggunakan lafaz pendek.
‎(أستغفر الله العظيم)
“Astaghfirullah hal adzim”, boleh dilafazkan sekitar 100 kali.

Bertanya Khabar Keluarga
Dengan wujudnya perbagai kemudahan seperti media sosial pada hari ini, kita hanya perlukan satu minit untuk bertanyakan khabar ahli keluarga yang terdekat. Dengan satu pesanan SMS atau WA sahaja sudah boleh mengetahui keadaan ahli keluarga tersayang.
Itu juga sudah dikira sebagai menghubungkan silaturahim.
Sabda Nabi Muhammad ﷺ: "Barangsiapa yang suka diluaskan rezekinya dan ditangguhkan kematiannya, hendaklah ia menyambung silaturahim." (Hadis Riwayat Bukhari)

Lafaz Tasbih
Dua kalimah yang ringan di mulut, tetapi berat di timbangan, serta disukai oleh Allah Yang Maha Pengasih iaitu:
‎– سبحان الله و بحمده –
‎– سبحان الله العظيم –
"Subhanallah wa bihamdihi, subhanallah hil adzim." (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam masa satu minit, kita boleh melafazkan tasbih ini sekitar 40-50 kali.

Akui Semua Kejadian Adalah Kehendak ALLAH
Ayat kalimat ini sangat ringkas tetapi mempunyai manfaat yang luar biasa. Kita biasanya melafazkan ayat ini ketika mendengar guruh yang kuat di langit.
Tetapi Nabi Muhammad  juga ada bersabda ﷺ:
"Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’, kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga."*
‎لا حول ولا قوة إلا بالله
Hadis Riwayat Bukhari)
Bayangkan dengan lafaz mudah ini, ia boleh menjadi satu simpanan pahala yang berharga di syurga. Di dalam satu minit, kita boleh melafazkan kalimat ini sekitar 30 kali.

Mendoakan Orang Lain
Dalam satu minit kita boleh berdoa untuk sesiapa sahaja, Insya Allah Tuhan juga akan memberikan doa yang sama buat kita.
Rasulullah bersabda ﷺ :
"Barangsiapa yang mendoakan mukmin lelaki ataupun perempuan, niscaya Allah akan memberi pahala kebaikan dari setiap mukmin lelaki dan perempuan yang didoakannya."* (Hadis Riwayat al-Thabarani)

Sebarkan Kebaikan
Di zaman dunia di hujung jari ini, cukup mudah untuk kita sebarkan kebaikan. Setiap kebaikan yang kita panjangkan kepada orang lain, mereka akan mendapat manfaatnya. Jika orang lain mempraktikkan apa sahaja kebaikan tersebut, kita juga akan mendapat pahalanya.
Seperti sabda  Nabi Muhammad ﷺ:
"Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk, maka dia akan mendapat pahala orang yang mengikutinya, yang demikian itu tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun."* (Hadis Riwayat Muslim)



DEKATILAH orang SOLEH walaupun kita masih JAHAT.
DEKATILAH mereka sehingga kita MALU berbuat JAHAT.
DEKATILAH mereka sehingga kita tidak mahu lagi jadi JAHAT.

SEBAIK-BAIK SAHABAT adalah sahabat yang di dalamnya ada NASIHAT. Menolong di dunia menjadi syafaat di Akhirat.
SEBAIK-BAIK RUMAH adalah rumah yang di dalamnya ada RAHMAT. Malaikat hadir datang Mendekat.
SEBAIK-BAIK REZEKI adalah rezeki yang di dalamnya ada BERKAT. Setiap perkara terasa nikmat.
SEBAIK-BAIK ILMU adalah Ilmu yang di dalamnya ada MANFAAT.Berbahagia dan selamat Dunia Akhirat.
SEBAIK-BAIK HIDUP adalah hidup yang di dalamnya ada TAAT. Tidak menangis di Negeri Akhirat


Tuesday, May 12, 2020

BULAN MULIA SERIBU BULAN



RENUNGAN RAMADHAN

"Jangan biarkan sehari pun Ramadhan berlalu dan kamu tidak meminta pengampunan dari ALLAH سبحانه وتعالی, hiasilah setiap hari kamu dengan permohonan/doa sehingga meningkatkan kecintaan ALLAH سبحانه وتعالی padamu.

Ramadhan adalah kesempatan untuk kamu meningkatkan kedekatan kepada ALLAH سبحانه وتعالی  kerana rahmat ALLAH سبحانه وتعالی  banyak turun di bulan suci ini, yang datang mengetuk hati setiap orang untuk membuka/membaca kitab-NYA juga dari Rahmat-NYA lah banyak dari hamba-NYA yang ingin meluangkan waktu untuk berdiri dan bersujud memuji keagungan-NYA serta memohon pengampunan-NYA.....

[Habib Ali Abdurrahman Al-Jufri Hafizhahullah]
  


ORANG YANG CELAKA DI BULAN RAMADHAN

Tidak semua orang mendapatkan rahmat dan ampunan di bulan Ramadhan. Ada pula orang yang celaka, iaitu mereka yang tidak memanfatkan Ramadhan sebagai momen untuk kembali kepada ALLAH dan bertaubat dari semua dosa dan kesalahan.

Malaikat yang paling mulia telah diperintahkan untuk berdoa agar mereka celaka, dan doa ini diaminkan oleh makhluk yang paling mulia.

Inilah doa Malaikat Jibril 'alaihissalaam yang diaminkan oleh Nabi Muhammad shallallahu'alaihi wa sallam,

شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ رَمَضَانَ فَانْسَلَخَ مِنْهُ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ

“Celakalah seorang hamba yang mendapati bulan Ramadhan, tetapi sampai Ramadhan berakhir, ia belum juga diampuni.” [HR. Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrod dari Jabir radhiyallahu’anhu, Shahih Al-Adabil Mufrod: 501]

Al-Hafizh Al-Munawi rahimahullah berkata,

أي رغم أنف من علم أنه لو كفَّ نفسه عن الشهوات شهرا في كل سنة، وأتى بما وظف له فيه من صيام وقيام، غفر له ما سلف من الذنوب، فقصَّر ولم يفعل حتى انسلخ الشهر ومضى، فمن وجد فرصة عظيمة بأن قام فيه إيمانا واحتسابا عظمه الله ومن لم يعظمه حقره الله وأهانه

"Makna hadits yang mulia ini adalah seorang hamba yang mengetahui bahawa seandainya dia mengekang syahwatnya dalam sebulan (Ramadhan) di setiap tahun dan melakukan amalan khusus yang disyari'atkan baginya di bulan ini, iaitu puasa dan solat tarawih, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu, namun ia mensia-siakan dan tidak mengerjakannya sampai Ramadhan berakhir, maka ia menjadi hamba yang celaka.

Oleh kerana itu, barangsiapa yang mendapatkan kesempatan besar berjumpa dengan bulan Ramadhan, kemudian ia melakukan amalan yang disyari'atkan atas dasar iman dan mengharap pahala dari ALLAH maka ALLAH akan memuliakannya. Dan siapa yang tidak ALLAH muliakan maka DIA akan merendahkan dan menghinakannya." [Faidhul Qodir, 4/34]




BUDAYA MENYANTUNI FAQIR MISKIN



TERDAPAT suatu budaya indah yang diamalkan di beberapa tempat di Turki. 

Di sebuah warung roti, Pembeli Pertama, Fulan A membayar harga 8 buku roti, tetapi mengambil hanya 4 buku sahaja. 4 buku roti lagi Fulan A amanahkannya kepada Penjual roti untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan. Penjual roti lalu mengasingkan 4 buku roti itu di sebuah keranjang roti yang khas.  

Tidak lama kemudian, Pembeli Kedua, Fulan B datang untuk membeli 4 buku roti.  Penjual roti menyerahkan 4 buku roti yang diamanahkan kepadanya oleh Pembeli Pertama, Fulan A.  Fulan B membayar harga 4 buku roti tetapi hanya mengambil 2 buku roti sahaja sekadar keperluannya. 2 buku roti lagi dipulangkan kepada Penjual Roti dengan niat untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan. Beliau tidak mahu mengambil hak fakir miskin yang lain. Fulan B tidak kaya seperti Pembeli Pertama, Fulan A tetapi dia kaya budi pekerti.  

Betapa santunnya pergaulan antara Penjual Roti yang amanah dengan Pembeli Kedua, Fulan B yang membayar harga 4 buku roti tetapi mengambil 2 buku roti sahaja. Baki 2 buku roti lagi diniatkan sedekah buat si fakir miskin yang memerlukan. Dia tidak sekaya Pembeli pertama, Fulan A yang mampu membayar banyak, tapi sumbangannya sama separuh. Kebaikan hati itu sifat rohaniah, bukan pada jumlah harta benda.

Nabi s.a.w. bersabda:
"Tidak sempurna iman seseorang yang berada dalam kekenyangan sedangkan jirannya dalam keadaan lapar."

Pengajaran Indah: Si kaya tidak kedekut, si miskin tidak tamak, si penjual tidak khianat.

Ya ALLAH, peliharalah umat ini, Amin!

Monday, May 11, 2020

KONSEP IBADAH



KONSEP ini terdiri daripada:

IBADAH ASAS seperti solat, puasa, zakat, haji dan rukun Islam yang lain.
IBADAH SUNAT ada banyak yang mana di antaranya ialah zikir, wirid, selawat, membaca al-Quran, solat sunat dan puasa sunat.
IBADAH UMUM berupa seluruh aktiviti hidup (selain daripada ibadah asas dan ibadah sunat). Contoh berniaga, bekerja, berhibur, bermesyuarat, berinteraksi sesama insan, haiwan, dan lain-lain.

Kesemua konsep ibadah ini adalah demi HABLUMINALLAH (hubungan dengan Allah) dan HABLUMINNAS (hubungan dengan manusia). Ibadah yang sempurna  akan membangunkan roh jihad sejati. 

DAKWAH DAN ISLAH

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (3:110).

Kita dituntut beramal soleh dan menjaga hubungan baik sesama manusia. Dalam pada itu kita mesti menyebarkan ajaran agama ini menerusi Dakwah (yang dilakukan oleh para ilmuan Islam), dan Islah (yang disampaikan oleh Muslim biasa seperti kita). Tidak boleh tunggu sehingga ilmu cukup di dada baru mahu menyebarkan. Sampaikanlah apa saja yang kita benar-benar faham dan amalkan. Para pedagang Arab dan India yang tiba di Semenanjung pada zaman dahulu, walaupun sifat mereka adalah peniaga namun tetap juga menyampaikan ilmu agama yang mereka anuti di kalangan penduduk tempatan. Jika tidak kerana mereka, mungkin tidak ramai di kalangan kita yang muslim sekarang.   

Seperkara lagi, sebagai umat Islam hendaklah kita berakhlak dengan akhlak yang diperintahkan Allah S..W.T. menerusi al-Quran. Tidak cantik jadinya kalau dalam Facebook kita menulis yang baik-baik sedangkan kita sendiri tidak amalkan. Cuba selarikan perbuatan kita dengan akhlak. Yakinlah, tidak akan ada sesiapa yang boleh menempelak kita dengan berkata, “Cakap tidak serupa bikin.” Bila iman kuat di dalam dada, dan akhlak pula cantik, kita tidak akan terpengaruh dengan apa-apa dakyah lain yang disebarkan oleh mana-mana pihak pun. 

Alangkah baiknya kita praktikkan dan perkukuhkan iman di kalangan ahli-ahli keluarga kita sendiri. Kita buangkan tabiat menuding jari kepada orang lain. Kita cermin-cerminkan diri kita sendiri dahulu. Ini ada satu analogi yang dikongsi dari FB Malaysia Reverted Muslim: 

“Analogi sebagaimana bila dalam satu syarikat : ada pekerja A dan B. Pekerja A sentiasa kerja dengan bersungguh-sungguh, manakala pekerja B pula curi tulang banyak dan sentiasa complain pasal A kepada bosnya. Rasa-rasanya kita ini pekerja A ataupun B ? Fikir-fikirkanlah sendiri berapa banyak orang yang sudah kita sampaikan tentang Islam.” 

Wahai umat Muhammad, sudahkah kita menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan? 

Peringatan untuk diri sendiri dan juga para sahabat.