Saturday, December 2, 2017

I Kuan Tao - Agama Buddha Baru





I Kuan Tao atau Yiguandao adalah sebuah agama baru yang bermula dari China dan sekarang berkembang pesat di Taiwan, Korea Selatan dan Jepun. Malah mereka juga sudah bertapak di Malaysia dan Indonesia. Dari sudut populasi mereka juga ada peningkatan. 

Perkataan I Kuan Tao memberi maksud Kesatuan Jalan Ketuhanan. Aliran dan konsep kepercayaan agama ini, dibina oleh Guru Wang Jueyi (1821-1884) di China. Ia dikenali sebagai aliran Maitreya. Mereka mendakwa Buddha akhir zaman (Maitreya) itu muncul di dalam aliran dan kepercayaan mereka ini.

Di Indonesia mereka mengaku sebagai penganut Buddha kerana itu salah satu cara untuk mereka dapat mengamalkan agama mereka. Walaupun terdapat krisis dan perdebatan yang besar di kalangan Buddhis sendiri.  

Sejarah

I Kuan Tao adalah sebuah agama baru yang diasaskan oleh beberapa tokoh keagamaan antaranya adalah Wang Jueyi, Lu Chong, dan Chang Tianran. Di dalam kepercayaan I Kuan Tao mereka beriman kepada Dewi Ibu yang dikenali sebagai Lao Mu. Lao Mu dikatakan telah mengutuskan 10 orang Buddha ke dunia ini untuk menyelamatkan manusia. Tujuh orang Buddha yang terawal telah diutuskan sejak bermulanya tamadun manusia, manakala tiga Buddha terakhir pula diutuskan untuk tugas penyelamatan.

Mereka membahagikan tiga zaman untuk tiga Buddha terakhir ini iaitu : Zaman cahaya Hijau, cahaya Merah, dan cahaya Putih. Pada Zaman cahaya Hijau, Dewi  Lao Mu telah mengutuskan Buddha Dipankara iaitu dianggar sekitar 3000 SM. Buddha Dipankara adalah Buddha kuno yang datang membawa ajaran untuk menyelamatkan manusia dari sengsara dan duka. 

Setelah Buddha Dipankara, lahirnya pula Buddha seterusnya yang bernama Siddharta Gautama pada tahun 567 SM. Siddharta Gautama adalah Buddha yang paling terkenal yang diikuti sampai sekarang. Ia dikenali sebagai zaman cahaya Merah, zaman cahaya Merah ini akan berakhir sehingga zaman lahirnya Buddha Maitreya.  Pada zaman Buddha Maitreya inilah ia dikenali sebagai zaman cahaya Putih atau zaman terakhir. [1]

Buddha Maitreya dikatakan Buddha akhir zaman. Ia disebut di dalam kitab suci Buddha iaitu dalam Sutta Pitaka, bahagian Digha Nikaya V, buku Cakkavati Sihanada Sutta.[2] I Kuan Tao mempercayai Buddha Maitreya itu sudah diutuskan ke dunia ini, iaitu pemimpin mereka bernama Lu Zhong I yang lahir pada tahun 1849 M. 

Akan tetapi ajaran I Kuan Tao sudah diasaskan sebelum beliau lagi iaitu dimulakan oleh Guru Wang Jueyi (1821-1884) dan beliau mengasaskan I Kuan Tao pada tahun 1877 M. Setelah Wang Jueyi mengasaskan agama ini lalu ia digantikan oleh Lu Zhong I dan pada tahun 1905 dan beliau mendakwa beliau adalah Buddha Maitreya yang diutuskan pada akhir zaman. Dari sinilah doktrin yang dikatakan “Jalan Buddha Terakhir” atau cahaya Putih itu mula mula disusun dan dikembangkan secara meluas oleh pemimpin I Kuan Tao yang seterusnya yang bernama Zhang Tianran (1889-1947). 
 
Zhang Tianran dilahirkan di kawasan Shandong, China. Beliau sangat terkenal dan individu yang mengembangkan ajaran I Kuan Tao ke beberapa buah negara. Beliau dikenali sebagai jelmaan semula (inkarnasi) Jigong yang dikenali sebagai Crazy Monk yang merupakan salah seorang sami besar pada suatu ketika dahulu.   
 
Kepercayaan

Agama I Kuan Tao juga merupakan sinkretisme (campuran) dari fahaman Konfusianisme, Taoisme, Xiantiandao, Buddhisme dan agama traditional Cina. Asas kepada sumber doktrin agama mereka tidak jauh beza dengan bentuk-bentuk kepercayaan cina khususnya gabungan dari ajaran Buddhisme, Taoisme dan Konfusianisme. Akan tetapi mereka mendakwa mengikut ajaran I Kuan Tao dengan penambahan doktrin baru iaitu mempercayai Lu Zhong I adalah Buddha Maitreya yang lahir akhir zaman.

Selain ibu dewi Lou Mu, mereka juga menyembah dewa-dewi dalam Daoisme dan juga mengangkat beberapa individu selain Buddha seperti Lao Tze, Kong Fu Tze, Jesus, dan nabi Muhammad.  Mereka juga memiliki doktrin seperti agama Buddha iaitu lingkaran hidup (samsara) dan juga nirvana. 

Mereka juga memiliki ibadat mereka tersendiri dengan beberapa kod rahsia di bahagian tangan. Malah terkenal ibadat rahsia yang mereka lakukan di dalam sebuah bilik gelap dan dipasang lilin, mereka akan berbicara soal agama dan membaca ajaran mereka disusuli dengan syarat yang ketat iaitu setelah lilin itu terpadam, apa yang dibicarakan di dalam bilik itu tidak boleh dibawa keluar atau disampaikan kepada orang lain.

Kesimpulan

I Kuan Tao mendakwa mereka adalah aliran pengikut Buddha Maitreya yang diramalkan oleh Siddharta Gautama Buddha dahulu. 

Hasil dari kepercayaan kewujudan Buddha akhir zaman inilah lahirnya ramai orang yang mendakwa diri mereka adalah Buddha Maitreya. Selain dari Lu Zhong I masih terdapat ramai orang yang mengaku sebagai Buddha Maitreya terutama di China. Antara yang terkenal adalah seorang perempuan yang bernama Wu Zetian.[3] Masing-masing akan membawa pengaruh yang tersendiri. Akan tetapi hal ini dibantah keras oleh penganut Buddha yang lain. Ini kerana mereka percaya Buddha Maitreya belum lagi datang manakala orang yang telah mengaku sebagai Buddha Maitreya sebelum ini dituduh sebagai pendusta.  

Walau bagaimanapun, ajaran ini begitu cepat berkembang. Antara faktornya adalan, pertama ajaran ini memperkenalkan secara mendalam mengenai penciptaan alam semesta yang tidak dibincangkan di dalam agama cina yang lain. Kedua, mereka sinkretis (mencampurkan ajaran dan budaya) agama cina yang lain ke dalam agama mereka sehingga memiliki pakej yang dilihat lengkap. Ketiga, ajarannya sangat tradisional dan sangat serasi dengan idea orang cina.[4] Antara faktor inilah mereka melebarkan sayap penyebaran ajaran mereka ke seluruh Asia.  

Nota kaki
___________

[1] Lihat- (2004). Encylopedia of New Religons, jurnalis Edward Irons, A Lion Book, England, hlm 245-246
[2] Lihat Sutta Pitaka, bahagian Digha Nikaya V, buku Cakkavati Sihanada Sutta, ayat 25
[3] Lihat Tansen Sen. Buddhism, (2016). Diplomacy, and Trade: The Realignment of India–China Relations 600-1400, Rowman & Littlefield Publishers, USA, hlm 93-96
[4] Lihat Aleksey A. Maslov (). Xiantiandao and Yiguandao Sects, National Research University Higher School of Economics- https://es.coursera.org/learn/religions-society-china/lecture/xefE5/xiantiandao-and-yiguandao-sects

[R&D Team Multiracial Reverted Muslims]

No comments:

Post a Comment