Wednesday, December 27, 2017

Berkabung Atas Kematian Bukan Islam




Soalan

Bolehkah orang Islam berkabung atas kematian artis bukan Islam dengan doa, candle light vigil dan nyanyian?

Jawapan:

Kematian adalah fitrah bagi manusia dan semua makhluk yang bernyawa, pasti akan merasai mati. Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.

(Ali Imran:185)

Berhubung dengan persoalan di atas, kami membahagian kepada tiga poin besar iaitu hukum berkabung, mengucapkan takziah dan mengadakan candlelight vigil.  

Berkabung

Secara asasnya, hukum berkabung atas pemergian orang bukan Islam, apatah lagi jika ahli keluarga dan saudara terdekat adalah harus dan dibolehkan. Asas terhadap keharusan tersebut diambil daripada perbuatan Rasulullah SAW yang bangun menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan Baginda atas dasar kemanusiaan. Begitu juga dengan kisah seorang sahabat Nabi bernama Qays Bin Syamas yang pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menghadiri majlis kematian ibunya yang beragama Nasrani, Nabi membenarkan dan menyuruhnya berjalan di hadapan jenazah sebagai tanda hormat. (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/434).

Walaubagaimanapun, acara berkabung yang diisi dengan ratapan dan tangisan yang berlebihan adalah diharamkan dengan kesepakatan para fuqaha’. (Lihat al-Majmu’ 5/307; Al-Qawanin al-Fiqhiyyah, 95). Ini berdasarkan hadis:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ ضَرَبَ الْخُدُودَ أَوْ شَقَّ الْجُيُوبَ أَوْ دَعَا بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya: “Bukan termasuk golongan kami siapa sahaja yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak baju, dan menyeru dengan seruan Jahiliyyah (meratap)”

(Riwayat al-Bukhari, no. 1294)

Kami juga amat khuatir, majlis berkenaan termasuk dalam perbuatan al-marathi yang diharamkan dalam Islam sebagaimana hadith daripada Ibn Abi Aufa:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن المراثي

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang al-marathi.”

(Riwayat Ibn Majah, no. 1592)

Al-ritha’ adalah ratapan atau pujian terhadap si mati setelah dikuburkan. Ia juga boleh difahami dengan kesedihan terhadap si mati akibat sesuatu yang menimpanya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 14/309) Begitu juga sebarang bentuk nyanyian bagi memperingati orang yang meninggal, bukanlah sesuatu yang dianjurkan dalam Islam. Justeru, lebih baik ditinggalkan malah tidak ada kerugian jika tidak melakukannya.

Ucapan Takziah

Antara lafaz takziah yang diajarkan oleh Islam untuk ucapan takziah kepada bukan Islam, seperti yang terdapat di dalam al-Hawi al-Kabir, al-Majmu’ dan al-Mughni adalah seperti berikut:

أَخْلَفَ اللَّهُ عَلَيْك، وَلَا نَقَصَ عَدَدَك

Maksudnya: “Semoga Allah menggantikan kamu (dengan yang lebih baik) dan tidak mengurangkan bilangan kamu”.

أَعْطَاك اللَّهُ عَلَى مُصِيبَتِك أَفْضَلَ مَا أَعْطَى أَحَدًا مِنْ أَهْلِ دِينِك

Maksudnya: “Semoga Allah memberikan (yang terbaik ganjaran) ke atas musibah (yang menimpa kamu) yang tidak diberikan kepada seorangpun dari kalangan ahli agamamu.”

Pun begitu dalam isu yang berlaku baru-baru ini, kami berpandangan bahawa tidak ada keperluan mengucapkan takziah kerana tidak ada ahli keluarga, sahabat handai, mahupun saudara-mara artis berkenaan untuk menerima ucapan tersebut. Ucapan kepada si mati itu sendiri (seolah-olah bertutur kepada si mati) adalah hal yang tidak bermanfaat dan bukan budaya Islam.

CANDLELIGHT VIGIL

Berkenaan bagi hukum mengadakan candle light vigil, kami senada dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Muzakarah kali Ke-88 itu yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Penglibatan Orang Islam Dalam Aktiviti Candlelight Vigil. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Islam melarang umatnya daripada terlibat dalam apa jua amalan yang bersifat ritual atau upacara agama bukan Islam.
Umat Islam dilarang menyertai aktiviti Candlelight Vigil kerana ia mengandungi unsur-unsur tasyabbuh dengan agama bukan Islam yang akan menjejaskan akidah umat Islam.

KESIMPULAN

Sebagai umat Islam, kita tidak perlu terikut-ikut dengan budaya luar dalam berkabung. Islam meletakkan garis panduan dan adab yang terperinci dalam etika berkabung. Umat Islam perlu ada jati diri dan tidak mudah terikut-ikut dengan budaya bukan Islam dalam hal ini. 

Dalam masa yang sama, minat terhadap seseorang artis tidaklah memerlukan kita untuk terlalu obses sehingga meninggalkan prinsip-prinsip seorang Muslim.

Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, beliau bersabda,

مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ

Maksudnya: “Di antara kebaikan islam seseorang adalah meninggalkan hal yang tidak bermanfaat”
(Riwayat al-Tirmizi no. 2317)

Antara maksud hadis ini adalah antara kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan hal yang tidak bermanfaat baik berupa perkataan atau perbuatan. (Lihat Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, 1/288) Sesuatu yang tidak bermanfaat bagi seorang Muslim, boleh sahaja berbentuk perkataan atau perbuatan. 

Oleh itu, setiap perkataan dan perbuatan yang tidak ada manfaatnya samada untuk kepentingan ukhrawi seorang Muslim ataupun untuk kepentingan duniawinya, sewajarnya ditinggalkan agar sikap beragamanya menjadi lebih baik. Semoga kita sama-sama menginsafi akan dekatnya kematian itu tanpa mengira masa dan usia dan memperbanyakkan amal kita untuk bersedia menghadapinya.

Pautan ke laman web PMWP:

No comments:

Post a Comment