Tuesday, November 6, 2012

Mengenal Jati Diri Mukmin (1)






DENGAN cuba menyemak pertukaran fikiran antara Umar bin Khatab dengan seorang lelaki, boleh tersingkap jati diri mukmin mengikut pandangan Islam. Cuba ikuti kisah berikut:

Umar bin Khatab pernah didatangi seorang lelaki yang ingin menjadi saksi bagi seorang lelaki lain. Umar cuba menyiasat saksi tersebut.

‘Adakah kamu mengenali lelaki yang kamu akan jadi saksinya itu?

Lelaki (saksi) ini menjawab ‘Ya’. 

Umar seterusnya bertanya ‘Pernahkan kamu menjadi temannya dalam safar (berpergian) lalu sudah teruji ketinggian akhlaknya?’

Jelas si lelaki ‘Belum pernah’. 

Umar bertanya lagi, ‘Pernahkan kamu bermuamalah wang Dinar dan Dirham dengannya, yang mana dengan cara ini kamu akan mengenal kesucian (sifat wara’) dan kejujurannya?’

Jelas lelaki itu ‘Belum pernah’.

‘Adakah kamu ini jirannya yang terdekat, lantas kamu dapat mengenal gerak langkah dan perjalanannya?’

Jelas lelaki itu ‘Tidak’.

Lalu Umar berkata, ‘Barangkali kamu hanya sering melihatnya banyak menunaikan solat dalam masjid’.

Jelas lelaki itu ‘Ya, benar’. 

Umar membuat kesimpulan, ‘Bermakna kamu belum mengenalinya’.


Kesimpulan perbincangan di antara Umar dan lelaki menunjukkan bahawa untuk mengukur jati diri seseorang tidak hanya dilihat kepada ibadat solatnya sahaja (meskipun solat tiang agama). Perlu juga dilihat beberapa perkara yang merupakan kesan dan pengaruh solat dalam realiti kehidupan mukmin.

Hal ini merangkumi tiga perkara asas:

Perihal dan akhlak seseorang semasa ‘musafir’. Ada orang yang semasa berada di negeri atau kampungnya sendiri kelihatan alim dan taat. Namun ketika musafir terlihatlah watak yang sebenar. Ada yang berani mengabaikan solat, tidak tutup aurat, berpakaian ketat, subhanallah! Sungguh bijak dan bernas buah fikiran Umar (Radihallahu ‘anhu).

Keadaan seseorang semasa ‘bermuamalah’ wang dan harta benda. Muslim yang baik bersifat jujur dalam hal hutang-piutang, tidak suka berbohong, tidak khianat, bersifat amanah, berusaha menyenangkan hati rakan kongsinya dalam hal muamalah. Demikianlah mengikut pandangan Umar bin Khattab.

Akhlak dan etika dengan jiran juga termasuk kayu ukur yang dijadikan panduan dalam mengenal jati diri muslim. Mukmin yang baik hanya akan dikenal dan diketahui oleh jiran. Dia peka menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia (hablun minallah wa hablun minannas).

Daripada kisah Umar dan si lelaki ini, wajarlah Mukmin bermuhasabah: bagaimana keadaannya semasa musafir, semasa berhutang-piutang, dan semasa hidup berjiran. Wallahul muwaffiq!

(Terjemahan oleh Al Ustaz Ahmad Asri Lubis daripada
http://forum.kooora.com/f.aspx?t=30344640)


No comments:

Post a Comment