Sunday, November 11, 2012

Adab Bersukan Dalam Islam




ISLAM membenarkan apa sahaja yang baik dan bermanfaat kepada manusia. Islam menggalakkan umatnya menjadi kuat dan minda yang cerdas. Rasulullah saw bersabda, mafhumnya:
Ajarlah anak-anak menunggang kuda – HR Bukhari dan Muslim.

Baginda saw juga bersabda, mafhumnya:
Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada yang lemah – HR Muslim.

Fizikal yang kuat mampu menunaikan tugas agama dan duniawi. Islam tidak menerima apa-apa yang mendorong kepada pengabaian tugas itu kecuali dalam beberapa kes yang mana beberapa kelonggaran diberikan supaya memudahkan penganutnya.

Adab bersukan dalam Islam

  • Jangan lalai apabila bersukan sehingga meninggalkan tugas-tugas ibadah yang utama.
  • Tidak boleh bersikap menimbulkan kecederaan kepada lawan mahupun penyokong dan penonton. Bersukan di atas jalan yang sesak misalnya, boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.
  • Ajaran Islam menyeru kepada perpaduan dan kasih sayang. Oleh itu perasaan fanatik membabi buta dalam menyokong atau menentang sesuatu pasukan bukan daripada akhlak Islam.
  • Tidak boleh mengejek, bermegah-megah dan menghina pihak lawan. Rasulullah saw bersabda, mafhumnya: Allah telah menetapkan tiada apa-apa yang kekal menang.  
  • Pertandingan atau permainan tidak melibatkan kedua-dua jantina kerana boleh membuka jalan hawa nafsu, syahwat dan keruntuhan akhlak.
  • Islam menolak semua permainan atau sukan yang mendorong rangsangan seksual serta menggalakkan kejatuhan moral seperti pakaian mendedahkan aurat, aksi yang mengghairahkan dan pergaulan bebas antara jantina yang berlainan.
Kaum lelaki hendaklah mengamalkan sukan yang sesuai dengan sifat mereka. Islam tidak membenarkan wanita mengamalkan sukan yang dikhaskan untuk kaum lelaki seperti bina badan, ragbi, gusti dan sebagainya.

Sukan hendaklah diamalkan mengikut syariat Islam bagi mengelakkan kemudaratan. Apa-apa perbuatan yang melampaui batas adalah dilarang.

Allah berfirman dalam Surah al Maidah ayat 87:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas."

No comments:

Post a Comment