Friday, February 10, 2012

Solat Berjemaah


serenemaklong.blogspot.com

SOLAT adalah amalan utama yang sangat penting dan menjadi pokok ajaran Islam. Di akhirat nanti solat merupakan amalan pertama yang diadili oleh Hakim Yang Maha Agung. 

Solat fardu berjemaah pula adalah syiar Islam terbesar dan semulia-mulia ibadat. Ia  merupakan asas kekuatan peribadi, masyarakat dan ummah. Jika  ingin bangkit daripada kelemahan, kita mesti beriltizam dan istiqamah dengan solat berjemaah.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat seseorang dengan berjemaah itu digandakan 25 kali ganda berbanding solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar. Demikian itu, kerana apabila seseorang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian pergi ke masjid dengan tujuan khusus untuk solat, maka setiap kali ia melangkah kaki, diangkat satu darjat dan dihapuskan satu dosa. Dan bila ia mengerjakan solat, maka malaikat sentiasa memohon rahmat kepadanya selama ia berada di tempat solat selagi ia tidak berhadas (doanya iaitu): "Ya Allah, ampunilah dia ya Allah kasihanilah ia. Dan (para malaikat sentiasa mendoakan) selama ia menanti solat. (Riwayat Muslim)

Begitu juga diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya solat berjemaah dua 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian (riwayat Muslim).

Dalam surah al-Nisaa' ayat 102 menunjukkan bahawa semasa dalam medan perang sekalipun, kita diperintah oleh Allah SWT untuk bersolat secara berjemaah. 

Kalau disoroti sirah Rasulullah SAW, didapati bahawa baginda mendirikan solat secara berjemaah selepas berhijrah ke Madinah. 

Selama 13 tahun baginda tinggal di Mekah, solat berjemaah tidak dapat dilaksanakan secara aman kerana umat Islam pada ketika itu sentiasa diancam oleh pihak kafir Quraisy.

Maka pada masa itu solat hanya dilaksanakan secara bersembunyi atau bersendirian. Bagaimanapun perpindahan atau penghijrahan ke Madinah membolehkan solat berjemaah dilakukan secara terang-terangan.

Umumnya, umat Islam hari ini tidak menolak kepentingan solat berjemaah. Cuma pertembungan antara tuntutan duniawi dengan ukhrawi membuatkan umat Islam kini  semakin payah melaksanakan solat berjemaah sama ada di masjid mahupun surau di kejiranan tempat tinggal mereka.

Menyedari hukum solat jemaah itu adalah fardu kifayah, tidak kurang juga yang mengambil mudah mengenainya.

Ramai yang berfikir bahawa solat fardu berjemaah bersama keluarga adalah lebih baik. Sedangkan itu tidak ditunjukkan oleh Rasulullah. Jika ada pun, hanyalah dengan solat-solat sunat.

Janganlah umat Islam memandang sepi ke atas kepentingan solat berjemaah, bersikap acuh tidak acuh dan menganggapnya ibadah remeh-temeh. Andai mereka tahu betapa besarnya ganjaran yang menanti, pasti mereka akan datang merangkak!   

No comments:

Post a Comment