Sunday, February 5, 2012

Mencari Ketenangan Hati


serenemaklong.blogspot.com

Setiap hari ketawa. Setiap hari berjumpa kawan. Setiap hari mendapat apa yang diinginkan. Tetapi, mengapa hati tidak gembira?

Solat setiap hari, berdoa selalu pada Allah, memohon bersungguh-sungguh. Tetapi, mengapa doa sukar dimakbulkan sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada-Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"

Apa masalahnya?

Hati tidak gembira sebab manusia tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada, tidak pernah menghargai setiap nikmat yang diperoleh. Yang asyik difikirkan hanyalah benda yang tidak ada, sehingga lupa melihat nikmat yang wujud di sekeliling.

Berdoa tetapi mengapa Allah masih belum memakbulkan?

Sebab manusia asyik meminta tetapi tidak pernah memohon ampun kepada Allah sedangkan dosa banyak bagai buih di lautan. 

Sungguh manusia ini tidak malu - merintih, merayu agar Allah memakbulkan doa, namun selepas mendapat kesenangan lupa pula untuk bersyukur kepada-Nya. Bila datang kesusahan, baru hendak ingat semula. Baru hendak menangis, merintih, memohon supaya Allah memandang kembali. Kalau begitu, mana mungkin Allah memakbulkan doa?

Cuba renung diri sendiri.
Cuba hitung, berapa kali kalimah syukur disebut dalam satu hari? Tidak perlu seminggu, cukup sehari sahaja. Pernah bangun malam, solat tahajud, solat taubat?

Setiap hari berbuat baik kepada orang lain, bersedekah dan sebagainya. Tetapi mengapa tidak dapat dirasai kemanisan setiap perbuatan baik itu? 

Sebab hati tidak ikhlas. Mulut cakap ikhlas sedangkan hati berniat lain, mengharapkan balasan, pujian, nama. Bersifat riak dengan setiap kebaikan yang dibuat. Mana mungkin hati menjadi tenang? Bila mendapat kejayaan, berasa bangga pula dengan pencapaian itu, menunjuk-nunjuk pada orang sehingga lupa siapa yang mengurniakan kejayaan itu.

Allah menciptakan manusia sebagai khalifah di bumi ini. Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah sehingga semua makhluk sujud kepada bapa kita, Adam a.s kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah memuliakan kejadian manusia.

Tetapi manusia sendiri tidak memelihara diri, lupa tanggungjawab sebagai hamba, lupa kepada Maha Pencipta, alpa dengan nikmat yang diberi-Nya. 

Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Begitu sayang Rasulullah kepada umatnya. Tetapi umatnya melupakan Baginda. Lidah sukar berselawat ke atasnya. Bagaimana hati hendak tenang?

Lembutkanlah hati itu. Tundukkan diri kepada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang dipinjamkan-Nya, yang tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh menarik balik semua itu. Ikhlaskan hati dalam setiap perkara yang dibuat.

Sesungguhnya, hanya Allah yang berkuasa menilai keikhlasan hati. InsyaAllah,  kelazatan halawatul iman itu dapat dirasai. Tenanglah dikau wahai hati..

No comments:

Post a Comment