Sunday, November 21, 2010

Membuang Lemak Badan


Bolehkah pembuangan lemak badan dilakukan menerusi pengawalan diet? Perlukah ia disertai  gerak senaman? Apakah gerak senaman kardio paling efektif? Berapa lama saya patut melakukannya? Ini adalah soalan yang sering diajukan oleh mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Menurunkan berat badan secara berdiet sahaja akan gagal kerana angka yang ditunjukkan oleh alat penimbang bukan pembuangan lemak yang sebenar. Yang susut hanya air dalam badan. Sebaik sahaja tempoh diet itu tamat, badan akan menjadi lebih gemuk berbanding  sebelumnya.

Gerak senaman kardio yang efektif bergantung pada jantung dan kadar degupan. Tidak kira apa jenis senaman kardio yang dilakukan sama ada bermain sukan lasak, menari aerobik, berjoging atau berjalan pantas, yang penting ialah meningkatkan kadar pembakaran kalori menerusi peningkatan kadar degupan jantung. Ini bererti lebih keras intensiti senaman, lebih pantas degupan jantung, lebih banyak pula kalori yang dibakar. Pastikan gerak kerja fizikal itu cukup berat untuk mendapatkan kesan yang diharapkan.  

Gerak senaman adalah satu susunan aktiviti yang boleh diukur dan dicatatkan. Sama ada hendak menurunkan berat badan atau mencergaskan diri bagi sesuatu kejohanan, program gerak senaman yang berstruktur mempunyai sasaran tetap yang perlu dilakukan hingga selesai dan diperbaiki. Inilah cara untuk mengukur kemajuan.

Jika berbadan gemuk dan ingin membuang lemak menerusi permainan futsal atau bola jaring, matlamat yang dihajati tidak akan dapat dicapai kerana penglibatan fizikal yang diperlukan tidak cukup berat. Seseorang yang tidak berdaya mengejar bola tidak akan kerap menerima tendangan dan lemparan bola daripada rakan sepasukan. Keadaan ini menyukarkan usaha individu yang hendak meningkatkan kadar degupan jantung dengan intensiti yang berat serta kerap bagi membakar kalori.

Bertinju, berdayung, mendaki tembok / dinding batu, berbasikal, bermain tenis, badminton atau skuasy adalah jenis sukan yang sangat interaktif dan mencabar diri. Tempoh aksi keras dalam sukan jenis begini sudah cukup untuk mendorong pembuangan lemak, dengan syarat seseorang itu melibatkan diri sepenuhnya.

Jika seseorang itu mempunyai masa yang terhad untuk ditumpukan ke atas gerak senaman,  intensiti gerak kerja mesti ditingkatkan dengan cepat ke zon 60% hingga 80% kadar degupan jantung maksimum. Dalam julat kadar degupan ini, kalori yang paling banyak dibakar untuk mendapatkan tenaga adalah dari simpanan lemak tubuh. Bagi seseorang yang baru mula bersenam, jika degupan jantungnya naik turun secara tidak menentu, ini adalah kerana jantungnya masih belum mempunyai disiplin yang dimiliki oleh seseorang pelari marathon. Perkara ini tidak perlu dikhuatiri kerana dengan senaman berterusan, lambat laun degupan jantung yang betul boleh dicapai.

Salah satu kaedah dalam program penurunan berat badan yang biasa digunakan ialah latihan interval. Ia membabitkan pecutan pantas kardio yang singkat disusuli oleh gerak kerja  berintensiti rendah. Kedua-duanya dilakukan secara berselang-seli sebanyak beberapa pusingan. Ia boleh diguna untuk larian, mengayuh basikal atau apa sahaja yang menaikkan paras degupan jantung.

Satu contoh ialah berjalan pantas / berlari pecut selama lima minit, diikuti berjalan perlahan / berlari-lari anak selama lima minit pula. Ini dilakukan berulang-ulang selama 45 minit hingga  satu jam. Penyelidikan yang dijalankan oleh Kolej Sukan Perubatan Amerika mendapati bahawa lebih banyak kalori dapat dibakar bila melakukan gerak pecut dalam tempoh singkat berbanding latihan ketahanan (endurance) yang panjang.

Latihan interval bukan satu-satunya jalan penyelesaian untuk menurunkan berat badan dan  mungkin juga tidak sesuai untuk semua orang. Terutama jika individu itu mengalami kecederaan atau ketidakupayaan fizikal. Nasihat doktor hendaklah diperolehi sebelum memulakan apa-apa rutin gerak senaman.

Apapun, program pengambilan makanan yang berkhasiat lagi terkawal patut seiring dengan gerak senaman. Pencapaian berat badan unggul memerlukan masa dan perubahan gaya hidup. Tubuh yang sasa dan cantik boleh menjadi milik anda jika terus konsisten dengan apa yang dilakukan.          

No comments:

Post a Comment