(Serene_Maklong.blogspot.com)
Malaysia ialah sebuah negara masyarakat majmuk. Rakyatnya terdiri daripada berbagai kaum, bahasa, agama dan adat resam. Di Semenanjung, penduduk asal negara ini adalah kaum pribumi yang dikenali sebagai Orang Asli. Penduduk lain berhijrah dari negara jiran seperti Indonesia, India, China, Thailand dan Filipina.
Salah satunya, kaum Mandailing berasal dari Munda, sebuah daerah di tengah Benua India. Mereka hidup berpindah randah kerana tidak mampu menahan serangan orang Aryan dari Timur Tengah pada kurun ke 6. Mereka bermukim di Mandalay, ibu negara Burma Purba. Namun mereka berpindah lagi apabila tercetus pergolakan di antara suku-suku kaum negara itu.
Selepas merentas Selat Melaka mereka menubuhkan kerajaan di Batang Pane, Portibi, Sumatra. Perluasan Kerajaan Munda Holing dicemburui oleh Maharaja Rajenderacola, pemerintah sebuah kerajaan di Sumatra. Pada akhir kurun ke 9, Raja Odap-Odap gagal mempertahankan Munda Holing daripada jatuh ke tangan Maharaja Rajenderacola.
Kerajaan kedua dibina di Pidoli Dolok, Sumatra dan dikenali dengan nama Mandala Holing (bererti kawasan orang Keling). Ketika itu mereka masih beragama Hindu.
Pada kurun ke 13, Kerajaan Majapahit di Pulau Jawa pula menguasai Mandala Holing menyebabkan penduduk yang tidak ditawan lari ke hutan dan bergaul dengan penduduk asli. Lalu terbentuklah Marga Pulungan yang bererti “di kutip-kutip”. Mereka membina Kerajaan Pagar Ruyung, namun kerajaan itu hanya merupakan kerajaan kampung.
Pemerintah Pagar Ruyung mempunyai tiga orang anak iaitu Betara Sinomba, Puteri Langgoni dan Betara Gorga Pinanyungan. Bagaimanapun, Betara Sinomba dihalau oleh ayahnya kerana berbuat sumbang mahram dengan adiknya. Betara Sinomba dan Puteri Langgoni keluar merantau hingga ke Kota Pinang.
Sejarah buruk berulang bila Betara Gorga Pinanyungan pula berzina dengan adik sepupu sebelah ibunya, Puteri Rumandang Bulan. Disebabkan ketiadaan pewaris takhta, puteri itu ditunangkan dengan Raja Gayo. Ketika dihantar ke Gayo, Puteri Rumandang Bulan membawa setandan pinang masak. Sebiji pinang ditanamkannya setiap kali rombongan itu berhenti rehat, hingga tiba ke tebing sungai bernama Aek Batang Gadis.
Di tebing sungai itu dia melahirkan seorang putera. Bayi itu ditinggalkan di bawah pokok tempat dia dilahirkan kerana kata seorang Datu, dia bakal menjadi raja yang besar di situ suatu hari kelak. Bayi itu kemudiannya ditemui dan dibawa pulang oleh rombongan Sultan Pulungan yang kebetulan lalu di situ.
Anak yang dibesarkan di dalam kandang di bawah rumah itu digelar Sibaroar. Apabila dewasa, dia melarikan diri lalu membina sebuah kerajaan lain di Penyabungan. Dia kemudiannya datang menyerang dan mengalahkan Sultan Pulungan. Sibaroar yang kini bergelar Sutan Diaru menjadi raja sebuah kerajaan yang besar dan namanya masyhur. Kerana dia kehilangan ibu, rakyat menggelar kerajaannya "MANDE NAN HILANG", atau dipendekkan menjadi Mandailing. Sibaroar juga merupakan pengasas Marga Nasution.
Dalam pada itu, Betara Gorga Pinanyungan yang kini memerintah Pagar Ruyung terkenangkan Puteri Rumandang Bulan yang hamil dan dibawa ke Gayo. Dia berangkat menyusuri pokok-pokok pinang yang ditanam oleh bekas kekasihnya hingga sampai ke tebing sungai Aek Batang Gadis. Kemudian dia dibawa mengadap Sutan Diaru di Penyabungan.
Sisauwa, seorang pengasuh menunjukkan kain sutera yang membalut Sutan Diaru sewaktu dijumpai di Aik Batang Gadis beserta kalung ibunya. Kini Yang Di Pertuan Pagar Ruyung tahu bahawa Raja Penyabungan itu anaknya.
Ketika Sutan Diaru ditabalkan sebagai Raja Penyabungan, utusan dari Kota Pinang datang ke Penyabungan untuk mengundang Yang Di Pertuan Pagar Ruyung ke negerinya. Pada hari itu, Kota Pinang digelar sebagai Tanah Abang, dan Penyabungan pula Tanah Adik, sempena peristiwa Betara Sinomba mengundang adiknya, Betara Gorga Pinanyungan datang ke Kota Pinang. Penyabungan berkembang luas hingga ke seluruh Mandailing Godang.
Tahun 1816, tentera paderi di bawah pimpinan Tuanku Imam Bonjol mengutuskan Raja Gadumbang Porang supaya menakluk Penyabungan dan mengislamkan seluruh penduduk Tanah Mandailing.
Serangan Raja Gadumbang Porang atau lebih dikenali sebagai Tuanku Mandailing tidak begitu menekan, namun apabila seorang raja bernama Tuanku Lelo bertubi-tubi menyerang Penyabungan dan memburu Di Pertuan Huta Siantar, pembunuhan beramai-ramai di sana memaksa sebahagian besar penduduk Mandailing lari ke Semenanjung.
Beberapa raja Mandailing seperti Patuan Maga dan Baginda Sidursat menyertai Tuanku Mandailing dan bertindak balas. Akhirnya Tuanku Lelo tewas di Padang Sidempuan.
Pada 1835, tentera Belanda pula memasuki Mandailing menyebabkan ramai raja Mandailing bangkit melawan. Namun mereka terpaksa berundur dan menyeberang Selat Melaka lalu terus menetap di Semenanjung.
Anak Patuan Maga bernama Jahurlang, bergelar Tuanku Bosi diamanahkan oleh Tuanku Imam Bonjol supaya menjaga Bentang Bonjol. Bagaimanapun, ia jatuh ke tangan Belanda dan Tuanku Bosi lalu berundur ke Benteng Dalu Dalu.
Tuanku Tambusai, pemerintah Benteng Dalu Dalu menyerahkan daerahnya kepada Tuanku Bosi kerana ingin berundur dengan Tuanku Raja Asal dan Abdullah Zawawi, anak Tuanku Bosi. Mereka mendarat di Melaka dan pergi ke Lukut untuk mencari tempat tinggal. Pada 1838, Benteng Dalu Dalu juga jatuh ke tangan Belanda dan Tuanku Bosi terkorban.
Anaknya, Abdullah Zawawi kembali ke Sumatra untuk mencari saki baki tentera paderi bagi menyerang balas terhadap Belanda. Dia berulang alik antara Sumatra dan Tanah Melayu sambil menyerang kapal-kapal dagang Belanda, Inggeris, Cina dan India yang melintasi Selat Melaka. Kerana itu dia digelar Raja Laut.
Pada 1843, terdapat kekecohan di Lukut, lalu Tuanku Tambusai berpindah dan menetap di Jelebu, Negeri Sembilan sementara Raja Asal pula membuka lombong bijih timah di Klang.
Pada 1850, Raja Asal berhijrah ke Pahang dan mengusahakan lombong bijih timah serta berjual beli bijih timah di sana. Dia yang mulanya bersahabat baik dengan Tun Mutahir, Bendahara Pahang akhirnya menjadi menantu dan berkahwin dengan anak Tun Mutahir, Wan Putih atau dalam bahasa Mandailing dipanggil Siputeh.
Apabila perang saudara berlaku di Pahang pada tahun 1857 hingga 1863, Raja Asal turut terlibat disebabkan hubungan perkahwinannya dengan keluarga Tun Mutahir. Perang saudara itu dimenangi oleh Wan Ahmad, adik Tun Mutahir.
Dalam keadaan luka parah, Tun Mutahir berundur bersama anak-anaknya, Wa Da, Wan Aman serta Raja Asal bersama isterinya Wan Putih ke sempadan Selangor. Turut serta ialah hamba Raja Asal yang setia bernama Si Puntung.
Di Selangor, Raja Asal kembali mengusahakan jual beli bijih timah. Dana Paderi yang diamanahkan kepadanya juga dilaburkan bagi membiayai saki-baki tentera paderi yang menjadi pengikut Raja Laut di Sumatra. Tuanku Tambusai yang sudah uzur tidak lagi memainkan peranan penting dalam memulihkan kekuatan tentera paderi di Sumatra.
Dalam perang saudara di Selangor pada 1866, Raja Asal mengambil keputusan untuk menyokong Raja Mahadi dan meminta bantuan Raja Laut serta tentera paderi. Akhirnya Klang diikuti Kuala Lumpur jatuh ke tangan orang Mandailing. Raja Asal memerintahkan Si Puntung membunuh Dato' Bandar Yassih yang berketurunan Bugis kerana banyak menindas dan menyeksa orang Mandailing.
Bagaimanapun campurtangan Tengku Kudin, seorang anak raja Kedah yang menjadi wakil Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad mulai 26 Jun 1868, telah mengubah suasana politik. Tengku Kudin mendapat bantuan dan sokongan orang Inggeris.
Pada mulanya Raja Asal, Sutan Naposo dan Kapitan Yap Ah Loy bersahabat baik. Tetapi pada 1871 mereka berselisih faham dengan Yap Ah Loy atas urusan perniagaan bijih timah. Pada Mei 1872, Raja Asal bersama Raja Laut menyerang Kuala Lumpur. Mereka berkubu di Petaling Batu (Jalan Cheras sekarang), bersama 2,000 orang bekas tentera paderi dari Sumatra. Kapitan Yap Ah Loy yang dibantu oleh Kapten Van Hagen dan Kapten Cavalier mengalami kekalahan teruk.
Kejayaan Raja Asal dan Raja Laut merebut Kuala Lumpur dari Kapitan Yap Ah Loy memaksa Tengku Kudin meminta bantuan tentera dari Pahang dan Pulau Pinang. Bagaimanapun, pada akhir 1872 tentera Pahang yang dipimpin oleh Imam Perang Raja Rosu (Tok Gajah) ditewaskan oleh tentera Raja Asal yang dipimpin oleh Panglima Mandailing bernama Jabarumun yang berkubu di Ulu Kelang. Sementara itu, isteri Raja Asal, Wan Putih (Siputeh), bersama orang-orang Telu mempertahankan satu lagi kubu Raja Asal yang kini dikenali sebagai Siputeh, sempena nama beliau.
Pada Mac 1873, sekali lagi Raja Rosu menyerang Ulu Kelang dengan kelengkapan lebih hebat. Tentera Raja Laut gagal mendarat di Kelang bagi membantu tentera Raja Asal. Lalu kubu Raja Asal jatuh ke tangan tentera Pahang. Raja Laut yang mendarat di Teluk Mak Intan bersama 1,000 orang Batak yang baru diIslamkan menuju ke kawasan yang kini di kenali sebagai Batak Rabit. Nama itu muncul kerana telinga dan hidung mereka menggunakan subang yang besar. Raja Laut kemudiannya menyeberang Sungai Batang Padang.
Ketika di Ulu Selangor, Raja Laut menerima berita kekalahan tentera Raja Asal di Bukit Nenas dan sedang dalam perjalanan menuju ke Perak. Lalu orang Raja Laut berkhemah di Ulu Bernam/Slim dan membuat persetujuan untuk menghantar Jabarumun mendapatkan Sutan Na Poso (Sutan Puasa) yang berkubu di Ulu Langat bagi mengatur serangan balas ke atas Tengku Kudin dan Raja Rosu. Namun Sutan Na Poso tidak yakin kerana Raja Asal tidak menyertai pasukan perang yang hanya dipimpin oleh Jabarumun. Pasukan perang Jabarumun kemudiannya pulang tetapi sempat juga menyerang orang-orang Cina di Pudu dan juga Ulu Kelang. Kedai mereka dibakar dan pembunuhan berlaku di kedua-dua kawasan tersebut.
Raja Laut tidak mengikut Raja Asal ke Changkat Piatu. Dia ke Air Kuning dan Banir di negeri Perak. Di Air Kuning itu, dia meninggalkan anak sulungnya, Basir Nasution yang lebih dikenali sebagai guru agama Syeh Basir. Raja Laut kembali kepada cara hidup lamanya berulang alik di Selat Melaka sehinggalah dia terkorban dalam satu pertempuran dengan angkatan laut Belanda di Labuahan Bilik. Syeh Basir Nasution kembali ke Sumatra dan mengumpulkan semula kaum keluarganya tetapi dia tidak lagi kembali ke Air Kuning. Anaknya yang tua, Ja Akob pula tinggal di Banir dan Air Kuning.
Raja Asal di terima mengadap Raja Idris yang berkuasa di kawasan Teja dan diberikan satu kawasan melombong yang luas di Changkat Piatu. Dia telah mendapat kuasa mengutip cukai bijih timah di muara pertemuan Sungai Pinji dan Sungai Kinta. Raja Asal kemudiannya membina sebuah pengkalan mengutip cukai yang teguh. Pengkalan itu disebut sebagai Pengkalan Pegoh. Raja Asal juga membina kampung orang Mandailing di Changkat Piatu. Sementara itu orang-orang Rawa telah ditempatkan di Gopeng, di bawah pimpinan Panglima Jabarumun.
Isteri Raja Asal, Si Puteh yang kalah di Bukit Nenas telah berjalan kaki mencari suaminya hingga ke sebuah tempat berhampiran Pusing. Dia dan pengikutnya berkampung di sana sementara menanti utusan Raja Asal menjemput mereka. Kampung tersebut sehingga hari ini dikenali sebagai Siputeh. Itulah sebabnya terdapat dua tempat yang dinamakan Siputeh, masing-masing di Selangor dan di Perak.
Ketika Perjanjian Pangkor dimeterai pada 1874, ramai pembesar negeri Perak yang tidak berpuas hati. Memandangkan Raja Asal mempunyai banyak pengalaman dalam peperangan, mereka meminta campurtangannya untuk mengusir orang Inggeris dari negeri Perak. Raja Asal menolak permintaan itu kerana dirinya yang telah uzur.
Raja Asal tidak menyertai pakatan membunuh J.W.W Birch. Sebaliknya dia meminjamkan hambanya, Si Puntung sebagai tanda penyertaannya untuk membersihkan bumi Perak dari campurtangan orang kafir yang ditentangnya sejak memeluk agama Islam. Ketika itu yang menjadi penghulu Mukim Belanja ialah anak saudara Raja Asal bernama Raja Bilah.
Ketika J.W.W . Birch dibunuh pada 1875, Raja Asal sudah mula sakit dan tidak mampu lagi mengendalikan urusan melombong, ataupun mengutip cukai bagi pihak Raja Idris (Sultan Perak). Akibatnya dia terhutang $3,000.00 kepada pihak berkuasa. Sepanjang masa itu Raja Bilah yang mengendalikan semua urusannya. Raja Bilah meminta Raja Asal menyerahkan kuasa penuh kepadanya supaya dia dapat melangsaikan semua hutang tersebut. Hutang piutang itu selesai enam bulan kemudian. Raja Asal meninggal dunia pada 1878 dan dikebumikan di sebuah kawasan yang terletak di antara pertemuan Sungai Pinji dengan Sungai Kinta. Makam itu masih lagi wujud hingga ke hari ini di Changkat Piatu.