Sunday, October 28, 2018

Wanita Dan Wang


Sifat berjaga-jaga dan berhati-hati ini merupakan asset yang amat berharga untuk golongan wanita lebih mendalami segala ilmu pelaburan sebelum membuat sebarang keputusan.

TIDAK seperti dulu, wanita hari ini mempunyai kuasa dan potensi menjana pendapatan yang lebih. Memang ramai wanita yang bergelar graduan setiap tahun, serta ramai juga yang memanjat tangga korporat dalam setiap industri. Kebanyakan keputusan belian untuk isi rumah juga dilakukan oleh wanita, dan kerana itu majoriti wanita menguruskan pembayaran bil keluarga.

Namun terdapat kajian mengatakan wanita masih kurang melibatkan diri dalam membina kekayaan, melabur dan merancang kewangan jangka panjang. Mengapa ini berlaku?

Sifat wanita berhati-hati membuatkan golongan ini sukar  mengambil risiko kewangan. Memang sifat ini baik terutamanya dalam meminimumkan kerugian kewangan. Sering dilihat bahawa lebih ramai golongan lelaki yang terjerumus dalam skim pelaburan yang hanya meleburkan wang mereka sahaja. 

Oleh kerana golongan wanita merupakan pembuat keputusan belian dalam isirumah seperti membeli pakaian keluarga, isi dapur dan pengurusan bil dan lain-lain, membuatkan mereka melihat transaksi kewangan jangka pendek sahaja dan kurang mengambil masa melihat pengurusan kewangan jangka panjang.

Satu lagi sebab yang mungkin membuatkan golongan Hawa kurang mencapai matlamat kewangan jangka panjang adalah sifat kasih sayang wanita yang sering mengutamakan anak dan keluarga dalam jangka masa pendek, sanggup berkorban apa sahaja termasuk kewangan demi kepentingan keluarga.

Sifat-sifat wanita yang disebutkan ini sememangnya merupakan satu anugerah yang tidak ternilai. Namun, ia juga boleh menjadi penghalang dari segi kewangan. Di zaman ini, mudah mendapatkan infomasi di hujung jari sahaja.

Golongan wanita zaman ini lebih ramai  yang bergelar graduan, usahawan, ahli korporat dan juga surirumah yang amat peka dengan selok belok kewangan. Dalam memperkayakan diri dan keluarga dari segi kewangan, kita perlu perkayakan diri dengan ilmu kewangan!  


Tulisan oleh Irfan Khairi

No comments:

Post a Comment