Akhir zaman ini, manusia tertipu dengan 'siapa betul siapa salah', maka
kita semua pakat berbalah sesama sendiri.
Sehinggakan tinggal sedikit sahaja golongan yang ambil 'tanggungjawab agama' untuk menyeru, memberi peringatan dengan hikmah dan kasih sayang, bukan
kutukan, hinaan dan menyebarkan kebencian.
Ibu-bapa yang giat bergaduh di laman sosial, up post kebencian, menarik
orang ramai untuk kutuk-mengutuk, (termasuklah saya dulu), saya lupa, saya
sedang membesarkan seorang khalifah yang akan mentadbir bumi dengan agama.
Ini bukan kerja mudah, tapi ramai ambil mudah.
Jika ibu-bapa pun punah, sibuk bergaduh, kata-mengata, kutuk-mengutuk,
jika ibu-bapa pun tidak berakhlak dengan akhlak Nabi saw, kita boleh lihat,
anak-anak generasi kita yang akan datang, berganda-ganda lebih punah-ranah.
Kerana "produk" dihasilkan oleh "kilang" yang tidak
berkualiti, maka produk yang terhasil juga adalah produk yang tidak berkualiti.
(merujuk kejahilan diri sendiri)
Selagi kita ibu-bapa tak 'mengislah diri', selagi itu kita akan lahirkan
generasi yang rosak.
Nampak kecil, tapi dari sekecil-kecil keruntuhan akhlak ini akan membawa
impak yang besar pada jati diri dan pembentukan sahsiah anak-anak akan datang.
Dulu saya juga tertipu dengan 'permainan dunia' bahawa 'aku betul, kau
salah', giat berlawan hujah di media sosial, ingin tegakkan kebenaran.
Rupanya saya 'ditipu' oleh dunia, bila kita faham akhirat adalah
matlamat, segala percanggahan dunia tidak penting, kerana dunia bukan tempat
yang diadili oleh Yang Maha Adil.
Dunia di tadbir oleh manusia-manusia yang membelakangkan wahyu dan
hadis, apa yang penting, bagaimana kita menguruskan dunia untuk capai akhirat.
Bagaimana kita berusaha mendapatkan keadilan dunia dengan membangunkan
generasi yang berpandukan wahyu, yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai
landasan berfikir mereka.
Kerana generasi inilah yang akan menjadi pelapis mentadbir bumi dengan
iman dan taqwa satu hari nanti.
Tak penting siapa betul, siapa salah, dua-dua pihak rugi berbalah, yang
penting teruskan khidmat pada masyarakat, jadi faedah insan, menghina sesama
sendiri, menyebarkan kebencian sesama ummat, ternyata bukan ini yang Baginda
saw mahukan dari ummatnya.
Baginda tinggalkan Al-Quran dan Sunnah untuk kita ambil pelajaran, untuk
kita faham, amal dan sampaikan sesama manusia, untuk kita bawa rahmat dan kasih
sayang Allah ke seluruh alam.
Ini tugas hakiki seorang khalifah, bukan menyebarkan kebencian dan
memporak-perandakan dunia. Maka, tertipu lagi dengan dunia, dan sayalah orang
yang paling rugi atas dunia ini yang sedang belajar dari kesilapan lalu.
Al-Alaq ayat 6 Allah berfirman, "ingatlah, sesungguhnya jenis manusia
tetap melampaui batas"
Al-Maidah ayat 87 Allah berfirman, "... dan janganlah kamu melampaui
batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas"
No comments:
Post a Comment