Tuesday, June 19, 2018

Jangan Mengaku Beriman Jika Berakhlak Buruk



Hati adalah tempat jatuhnya keinginan dan nafsu. Nafsu selalu mendorong kepada perkara maksiat. Untuk melawan nafsu, hati hendaklah dibersihkan dari sifat-sifat mazmummah (buruk) seperti marah, hasad, riak, ujub, takabbur, cintakan dunia, bakhil, cemburu dan sebagainya. Setelah hati itu bersih hendaklah hati itu dihias dengan sifat-sifat terpuji seperti taubat, raja' dan khauf, zuhud, sabar, syukur, ikhlas dan tawakal.

Adalah mustahil orang yang mempunyai hati yang dipenuhi dengan sifat-sifat buruk akan mempunyai akhlak yang baik. Akhlak yang baik adalah dari hati yang baik dan akhlak yang buruk adalah dari hati yang buruk juga. Maka adalah wajib atas setiap mukallaf untuk membersihkan hatinya dari segala sifat-sifat keji yang akan merosakkan amal dan iman.

Hati adalah tempat pandangan ALLAH swt. Tariklah perhatian ALLAH dengan hati yang bersih dan yang cantik dihias. Apabila ALLAH telah tertarik dengan hati kita, Insya-ALLAH akan dianugerahi dengan kurnia atau nikmat yang besar iaitu ketenangan hati. Hati yang tenang akan mendatangkan perkara-perkara ini:-

            * senang menghadapi ujian hidup.
            * senang resap ilmu.
            * senang khusyuk dalam sembahyang.
            * senang memaafkan orang.



Hati yang tenang juga dapat menjauhi masalah emosi seperti kemurungan, tekanan (stress), rasa putus asa dan penyakit mental yang lain. Inilah kurnia ALLAH yang tidak dapat dibeli dengan wang atau harta bagi mereka yang membersihkan hati dari segala sifat-sifat buruk (maksiat hati).

Banyak mendengar nasihat

Setelah membersihkan zahir dan batin dari maksiat, banyakkanlah mendengar kata-kata nasihat. Manusia itu sentiasa lalai dan leka serta lekas lupa. Jika tidak sentiasa diingatkan, ditegur serta dinasihatkan, ditakuti manusia itu akan terus leka dengan kekurangan yang ada pada dirinya dan menyangka dirinya sudah cukup sempurna dan baik. Orang yang menyangka dirinya sudah sempurna dan baik adalah orang yang sombong. Sombong adalah sifat Syaitan. Jauhkan diri dari menjadi sombong dengan selalu mendengar kata-kata nasihat dan mendengar hadith-hadith Rasulullah saw dalam bab akhlak.

Namun tidak semua orang senang mendengar nasihat atau merasa senang hati apabila dinasihati. Mengapakah begitu? Salah satu sebab hati manusia tidak senang mendengar nasihat ialah kerana hati itu dipenuhi dengan ran. Ran adalah titik-titik hitam yang menutup hati apabila manusia itu melakukan maksiat dan tidak bertaubat dan menyesal dengannya. Semakin banyak maksiat yang dilakukan semakin banyaklah ran itu menutupi hati. Hati yang ditutupi dengan ran akan menjadi gelap. Hati yang gelap tidak boleh menerima nur (cahaya ALLAH) yang datang melalui ilmu dan nasihat.

Sangat rugilah orang yang tidak mendengar nasihat kerana dia akan terus leka dan lalai dalam kehidupan dunia yang singkat dan sementara sahaja ini.

[FB Ahmad Ezry]

No comments:

Post a Comment