Bila kita suka seseorang untuk
dijadikan pasangan, kita suka fantasikan yang indah-indah. Fantasi itu akan
jadi berlipat kali ganda apabila orang yang kita suka itu, pun suka pada kita.
Mulalah kita membayangkan, yang kita
akan berbahagia bersama pasangan itu, merentasi kehidupan penuh bunga dan
pelangi, kekal lah hubungan tersebut hingga ke syurga Ilahi.
Tetapi nasihat saya hendaklah kita
bertenang. Pijaklah bumi yang nyata. Hiruplah udara untuk merasai realiti dan
lihatlah sekeliling.
Alangkan yang sudah berkahwin pun ada
yang bercerai, ada yang berbahagia pun dipisahkan tragedi bencana kematian, ada
yang terputus kerana salah faham atau ada aib besar yang baru tersingkap.
Realitinya, tiada jaminan kekal
terhadap hubungan antara dua manusia.
Bila kita tahu kita suka sama suka,
boleh aja rasa suka itu hilang dan terpadam atas sebab tertentu.
Bila kita sudah bertunang, boleh
sahaja hubungan itu terputus atas sebab tertentu.
Bila kita sudah berkahwin sekali pun,
kita boleh bercerai atau dipisahkan oleh sebab dan tragedi tertentu.
Bahkan, ada pasangan hidup bahagia
hingga ke hujung hayat, tetapi di akhirat mereka dipisahkan oleh Allah SWT,
seorang di neraka, seorang di syurga dek kerana berbezanya pendirian dalam
ketaatan mereka kepada Allah SWT.
Sebagai manusia, kita kerdilkan diri
menerima realiti ini. Supaya kecewa tidak memeluk kita terlalu erat apabila
perpisahan terjadi. Supaya sangka baik kita kepada Allah, yang mengaturkan
pertemuan, yang menyuntik rasa suka, yang mentakdirkan penyatuan.
Adalah hikmahNya Allah aturkan itu
semua, dan berakhirnya dengan perpisahan.
Mungkin untuk menyelamatkan kita dari
sesuatu, mungkin atas balasan sikap dan dosa-dosa kita, mungkin juga kerana
hendak menguji lantas mempertingkatkan keimanan diri. Kita tidak tahu, hanya
mampu bermuhasabah, bersangka baik, kemudian selepas memberikan masa untuk
bersedih dan sejenak melayan perasaan, kita bangkit kembali meneruskan
kehidupan.
Sebab itu hidup ni, kena rapatkan
diri dengan Allah. Gantungkan harapan kepadaNya. Banyakkan berdoa, dan
pulangkan segala kelebihan, anugerah, kepadaNya. Jangan sesekali rasa bongkak,
rasa lebih, rasa terpilih dan istimewa, dengan apa kita ada kerana hakikatnya
apa yang kita ada ialah Allah punya.
Allah boleh beri, Allah boleh tarik
semula. Termasuklah hubungan kita dan pasangan.
Itulah hakikatnya kita sebagai insan.
Kerdil dan tidak berkuasa hatta ke atas orang yang tersangat kita cintai.
Kerana itu Allah SWT apabila menyebut
perihal pemberian hidayah, Allah SWT menyebut:
"Sesungguhnya engkau tidak akan
mampu memberikan hidayah kepada orang yang amat engkau cintai. Tetapi Allah SWT
mampu memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki." Surah
Al-Qasas ayat 56.
Sama-sama kita bermuhasabah,
kerdilkan diri. Pandang orang yang kita cintai, mengetahui hubungan itu tidak
ada jaminan kekal.
Tetapi kita berusaha untuk ianya
kekal ke syurga sana. Dengan usaha menjadi pasangan yang baik, yang soleh &
solehah, dengan doa dan pergantungan kepada Allah, dengan cinta dan kasih
sayang yang ikhlas kerana mahu mendapatkan keredhaanNya.
Moga-moga diizinkanlah kita kekal
bersama hingga ke syurga sana.
Jika tidak kekal sekalipun,
sesungguhnya kita telah berusaha, dan usaha kita pasti ada ganjaran di sisiNya.
Sesungguhnya Allah SWT tidak akan
sesekali menzalimi hamba-hambaNya yang berusaha bersungguh-sungguh penuh
ikhlas.
Muhasabah.
[Hilal Asyraf]
No comments:
Post a Comment