Saturday, May 20, 2017

Ujian Harta

Suatu pagi di sebuah restoran di Kuantan:

Alias:
Bagus juga makanan di sini. Rasa sedap, harga berpatutan, layanan pantas. Pandai kau pilih tempat.

Basir:
Tengok kakilah....Eh, kau nampak tak keluarga yang duduk kat sudut kanan pintu masuk tu? Aku rasa lelaki tu pemilik Syarikat XYZ. Nampak mesra sangat. Macam BAPA MITHALI...

Alias:
Alah, jangan asyik tengok orang lain yang bahagia. Kau tu bila nak kahwin?

Basir:
Bila jumpa calon sesuai, aku kahwinlah.



Lewat petang di lobi sebuah hotel di Kuantan:

Alias:
Selesai satu bab kerja kita. Dah dekat maghrib ni. Jom naik ke bilik dan berkemas. Lepas solat kita keluar makan. Esok kena bertolak balik ke KL awal pagi.

Basir:
(Tiba-tiba mendengus) ...Main wayang! Kesian anak isteri dia.

(Alias mengekori pandangan Basir dan terkedu melihat "Bapa Mithali" melintas di hadapan mereka sambil berkepit kiri kanan dengan dua wanita pakai baju tak cukup kain!!!).

$$$$$$$

Sabda Nabi s.a.w:

"Sesungguhnya setiap umat memiliki ujian, dan ujian umatku adalah harta." (Sunan at-Tirmidzi, Musnad Ahmad dan Ibnu Hibban).

Ujian harta sangat berat, boleh menimpa sesiapa jua, Islam atau belum Islam, miskin mahupun kaya. Kerana harta, orang sanggup menggadai maruah, membelakangkan agama, memutus silaturahim, menzalimi golongan lemah, berbohong, menipu, memperdaya malah membunuh.

Yang benar-benar beriman dan beramal soleh sedar bahawa harta adalah pinjaman untuk dijadikan modal berniaga dengan Allah. Penyata untung ruginya bakal dibentangkan di Mahsyar nanti.

Orang bijak memaksimumkan masa dan harta untuk meraih laba terbesar di akhirat sana. ITULAH ORANG-ORANG YANG BERUNTUNG.

No comments:

Post a Comment