Tuesday, May 23, 2017

Fitnah Itu Membunuh


Suatu masa dahulu di Tanah Arab:

Isteri saudagar:
Saya rasa sunyi setiap kali abang keluar berdagang. Abang carikanlah seorang jariyah yang boleh menemankan saya masa abang tak ada dan tolong saya buat kerja-kerja rumah.

Saudagar:
Baiklah sayang, sekejap lagi abang ke pasar.

Suasana pasar riuh rendah. Saudagar kaya berjalan pantas ke tempat hamba abdi sedang dilelong.

Pelelong:
Lelong, lelong, mari, mari....Sila pilih. Hitam, putih, kuning, lelaki, perempuan, semua ada.

Saudagar:
Saya nak beli seorang jariyah. Saya pilih yang di hujung sana.

Pelelong:
Boleh, boleh. Dia rajin kerja. Dia dilelong di sini sebab tuan dia yang dulu tak tahan dengan perangai dia yang suka pok pek pok pek.

Saudagar:
Tak apa. Tu perkara kecik. Yang penting, dia rajin.

Kepulangan saudagar kaya bersama jariyah disambut gembira oleh isterinya.

Hari demi hari jariyah semakin rapat dengan isteri saudagar. Dia memang pandai mereka-reka cerita yang menghiburkan hati. Pada suatu hari:....

Jariyah:
Puan, saya dengar orang cakap tuan nak kahwin lagi.

Isteri saudagar:
(Rasa terkejut) Betul ke ni?

Jariyah:
Tak tahulah. Mungkin betul kot. Tapi puan jangan risau. Puan boleh gagalkan perkahwinan tu dengan ubat guna-guna. Puan ambil beberapa helai bulu roma di leher tuan masa dia tidur. Kena gunakan pisau paling tajam supaya tuan tak rasa sakit.

Tanpa berfikir secara rasional, isteri saudagar setuju dengan rancangan si jariyah.

Pada hujung minggu saudagar kaya pulang dari berdagang. Belum sempat saudagar menjejakkan kaki ke pintu, jariyah segera mendapatkannya.

Jariyah:
Tuan kena hati-hati. Puan dah gila. Dia nak sembelih tuan masa tuan tidur. Kalau tak percaya tuan pura-pura tidur dan tengoklah sendiri.

Kepulangan saudagar disambut oleh isterinya. Saudagar membalas dengan senyuman kelat.

Saudagar:
Saya letih, nak berehat di bilik tidur sekejap.

Benarlah seperti kata jariyah. Isteri saudagar masuk ke bilik dengan pisau tajam. Ketika terasa lehernya dipegang, saudagar itu bingkas bangun lalu merampas pisau dan membunuh isterinya.

Keesokan harinya, terjadi lebih banyak pembunuhan apabila keluarga si mati datang menuntut bela.

PENGAJARAN:

Benarlah Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 191:
"...dan (ingatlah bahawa angkara) FITNAH itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan...:

Rasululullah s.a.w. juga bersabda:
"Akan muncul suatu zaman yang ilmu Islam dihapuskan, muncul berbagai-bagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut, dan banyak berlaku jenayah." (HR Muslim).

Membunuh hanya melibatkan orang tertentu, namun implikasi fitnah jauh lebih besar, boleh menjatuhkan maruah, kredibiliti dan seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan serta kemusnahan harta juga nyawa dalam jangka masa panjang dan sukar disekat.

Begitulah akibatnya apabila kesopanan, kesantunan dan ikatan persaudaraan sesuatu kelompok manusia mulai longgar dan identitinya berubah. Lalu pelbagai amalan negatif menular dan berleluasa "from top to bottom."

Subhanallah!...Astaghfirullah!....Semoga kita dan generasi kita yang akan datang dipelihara dan dilindungi oleh Allah SWT dari bahaya dahsyat ini. Aamiin.


No comments:

Post a Comment