Wednesday, May 10, 2017

Jangan Kikir - Bersedekahlah



Allah berfirman dalam surah al Lail ayat 4-12. Maksudnya:

Ayat 4: Sesungguhnya, usahamu (di dunia) beraneka macam.
Ayat 5: Maka sesiapa yang sentiasa memberi sedekah, dialah orang yang bertaqwa.
Ayat 6: Dan dia mengakui segala kebaikan (al Quran).
Ayat 7: Maka akan kami mudahkannya jalan kebahagiaan.
Ayat 8: Maka sesiapa yang kedekut (kikir dengan apa yang diterima), dan merasa dirinya sudah cukup, tidak perlu lagi pertolongan.
Ayat 9: Mendustakan dan menafikan rezeki Allah kepadanya.
Ayat 10: Maka Kami (Allah) akan memudahkan menjadi susah (miskin) hina.
Ayat 11: Dan hartanya tidak lagi boleh digunakan, apabila sudah kembali susah.
Ayat 12: Kerana, Kamilah (Allah) yang memberikan mereka petunjuk/jalan yang benar dan salah).

Pengajaran:

Bersedekah jariah tidak akan menyebabkan seseorang hamba jatuh miskin. Sebaliknya ia adalah pintu kebahagiaan, keberkatan, kesihatan dan perlindungan dari segala musibah.

Lebih banyak kita memberi, semakin banyak pula yang kita dapat. Sebab, apa yang kita beri itu akan kembali kepada diri kita sendiri.

Tidak perlu infak banyak. Boleh mula dengan jumlah yang kecil. RM1 yang disumbang ke tabung masjid setiap kali kaki melangkah masuk ke rumah Allah itu lama kelamaan akan melimpah-mewahkan saham akhirat kita nanti. InsyaAllah.




Buruk benar jika digelar bakhil. Tetapi boleh jadi orang melabel kita bakhil sedangkan hakikatnya tidak. Allah Maha Mengetahui. Namun malang jika Allah sendiri yang menggelar kita bakhil tetapi kita tetap menafikannya.

Betulkah kita bukan orang bakhil? Sama-sama kita jujur mengukur diri sebelum Allah mengukur kita setepat-tepatnya.

Orang bakhil ialah orang yang...

1. Buat tidak endah apabila nama Nabi disebut

“Orang bakhil ialah sesiapa yang mendengar namaku disebut tetapi tidak berselawat untukku!” (Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad)

2. Berat mulut memberi salam

“Selemah-lemah manusia ialah sesiapa yang lemah untuk berdoa. Dan sebakhil-bakhil manusia ialah yang bakhil untuk memberi salam!” (Riwayat al-Tabarani)

3. Liat untuk berzakat dan sedekah

“Tiadapun seorang yang memiliki harta tetapi tidak menunaikan hak hartanya melainkan dikalungkan ke tengkoknya seekor kala jengking. Lalu berusaha melarikan diri daripada jengking itu tetapi ia tetap bersamanya.”

Kemudian Baginda membaca firman Allah ayat 180, surah Ali ‘Imran. (Riwayat Ibn Majah dan al-Nasa’i)
Hak harta sama ada dalam bentuk zakat, atau bersedekah daripada lebihan pendapatan kepada orang yang memerlukan.

4. Hanya sudi bersedekah dalam bentuk nazar

“Nazar itu tidak mendatangkan apa-apa yang tidak ditakdirkan buat seseorang anak Adam. Sebaliknya nazar itu membawanya kepada perkara yang telah ditetapkan ke atasnya. Maka Allah mengeluarkan daripada si bakhil, lalu diapun bersedekah sesuatu yang tidak pernah disedekahkan sebelum itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ada orang yang hendak sedekah 10 ringgit sebulanpun sangat berkira. Namun dia sanggup bernazar sedekah 10,000 ringgit serta merta demi hasratnya dinaikkan pangkat, mendapat projek itu dan sebagainya.

Inspirasi daripada buku "Ini Pun Allah Suka".

[Muhammad Luqman Makhtar]

No comments:

Post a Comment