Monday, May 22, 2017

Ugutan Si Pengutip Hutang


Coretan Peguam HASIF HASAN (Siri 166).
Pada satu hari:
'Peguam Ali":
Hello nama saya Ali. Saya seorang peguam. Saya dari pejabat peguam ABC dan boleh saya bercakap dengan Encik Ramli (bukan nama sebenar)
Ramli: 
Ya saya. Ada apa encik?
'Peguam Ali": 
Encik ada hutang dengan syarikat XYZ dan berdasarkan rekod kami, encik berhutang sebanyak RMXXX.
Bila encik mahu bayar?

Encik Ramli akan memberi apa sahaja alasan sama ada;
-tidak pernah berhutang,
-hutang sudah habis dibayar
-tidak mampu membayar hutang
-atau nama beliau telah digunakan oleh orang lain untuk membuat pinjaman
Namun apa jua alasan Encik Ramli, 'Peguam Ali" tidak berminat dengan jawapan yang diberikan. Dia hanya mahu penghutang membayar hutang.

"Peguam Ali":
Encik Ramli mesti bayar hutang sebanyak RMXXX dalam masa XX hari. Selepas encik membuat bayaran ke dalam akaun Bank EFG dengan nombor akaun XXXXXXX, encik kena telefon pihak kami. Jika encik gagal bayar maka kami akan/telah mendapat perintah untuk;
-menyita rumah encik,
-melelong harta di dalamnya,
-menyenaraihitam nama encik
-encik tidak boleh ke luar negara
-macam macam lagi kami akan buat supaya encik membayar hutang.

Lagi teruk ada kes, 'peguam' akan mengugut untuk penghutang membayar hutang pada hari yang sama atau keesokkan harinya, jika tidak, rumah akan disita dan harta dilelong, seolah olah sudah ada penghakiman dari mahkamah. 
Encik Ramli akan 'sakit kepala' dan cuba mendapatkan wang bagi membayar hutang tersebut.
Hakikatnya jika Encik Ramli masih gagal membayar hutang, 'Peguam Ali' akan menelefon beliau lagi tidak kira waktu, siang malam pagi atau petang. Beliau tidak segan silu akan memarahi Encik Ramli dan memberi amaran supaya membayar hutang. Beliau juga akan marah jika Encik Ramli bertanyakan hal identiti beliau sebagai 'Peguam Ali'.
Mungkin Ramli akan membayar hutang kerana tidak tahan dengan gangguan 'peguam' yang sangat kejam. 'Peguam Ali' tersenyum lebar jika hutang dibayar.
Misi berjaya.
________
Ramai yang pernah mengalami mimpi ngeri begini, diganggu 'peguam palsu'.
Apabila rakan saya mengadu diganggu 'peguam' maka saya merasakan saya perlu menulis supaya masyarakat faham bagaimana tugas kami peguam mengendalikan kes hutang. Peguam bukan gengster.
Apabila kami dilantik oleh anakguam iaitu Pemiutang (pihak yang memberi hutang) maka satu 'warrant to act' atau kuasa untuk bertindak bagi anakguam akan dikeluarkan yang ditandatangani oleh anakguam.
Kelazimannya Peguam akan mengeluarkan satu notis tuntutan atau 'letter of demand' supaya penghutang (pihak yang berhutang) membayar hutang/tuntutan dalam satu tempoh yang dipersetujui anakguam seperti contoh 14 hari.
Apabila berakhir tempoh tersebut maka peguam perlu mendapatkan arahan lanjut dari Pemiutang (anakguam) sama ada ingin meneruskan kes di mahkamah (jika penghutang enggan/gagal membayar hutang tersebut) atau,
berhenti setakat ini sahaja terutama jika penghutang telah membayar hutang sebagaimana surat tuntutan.
__________
Di sini perlu dijelaskan bahawa:
-Peguam tidak akan menelefon penghutang supaya membayar hutang.
-Peguam tidak akan menganggu penghutang sama ada mengunakan telefon atau surat menyurat yang berbau ugutan.
-Peguam tidak akan menakut nakutkan penghutang dengan cara ugutan.
-Peguam tidak akan mendapat sebarang komission atau saguhati dari jumlah tuntutan sekiranya penghutang membayar tuntutan tersebut.
-Peguam hanya akan dibayar kos penyediaan surat tuntutan sahaja.
Kerana itu saya menegaskan bahawa peguam tidak perlu bersusah payah menelefon penghutang kerana kami hanya menjalankan tugas menghantar surat tuntutan dan sama ada penghutang membayar atau tidak jumlah tuntutan, peguam tetap akan mendapat kos penyediaan surat tuntutan tersebut.
Peguam mempunyai etika dan code of conduct yang perlu diikuti.
__________
Mungkin cara akan berbeza jika syarikat pengutip hutang yang mengendalikan kes ini kerana mungkin mereka akan mendapat bayaran atau komisyen berdasarkan jumlah hutang yang dipungut.
Justeru itu tidak keterlaluan ada pengutip hutang mengaku sebagai 'peguam' atau 'kakitangan mahkamah' dan akan mengugut dan memaki hamun penghutang sekiranya gagal membayar hutang sebagaimana yang dikehendaki.
Secara tidak langsung nama dan profesion peguam akan sedikit sebanyak tercalar dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab mereka ini.
____________
Tindakan peguam;
Pemiutang atau Pemberi hutang seperti Bank, Koperasi, Syarikat atau individu akan melantik atau mengarahkan peguam bagi menyediakan dan memfailkan WRIT SAMAN.
(Writ disediakan setelah penghutang gagal membuat bayaran sebagaimana dinyatakan di dalam surat tuntutan atau letter of demand)
Setelah Writ Saman dikeluarkan oleh Mahkamah, peguam dikehendaki menyerahkan Writ tersebut kepada penghutang (Defendan) secara serahan tangan atau secara pos berdaftar ke alamat terakhir yang diketahui pemiutang.
Kerana itu penting bagi penghutang sentiasa mengemaskini alamat terkini kepada pemiutang.
Sekiranya Writ gagal diserahkan kepada defendan maka Plaintif boleh memohon kepada Mahkamah untuk melaksanakan menyerahkan saman secara penyampaian ganti.
Ini bermaksud plaintif akan mengiklankan di dalam akhbar tempatan.
(plaintif bermaksud penuntut manakala defendan bermaksud yang dituntut)
Plaintif juga akan menampalkan Writ di papan notis mahkamah dan juga di alamat terakhir Defendan.
Apabila writ telah diserahkan samada secara kediri, melalui pos atau penyampaian ganti maka Defendan hendaklah memfailkan MEMORANDUM KEHADIRAN di Mahkamah.
Memorandum Kehadiran hendaklah diserahkan salinannya kepada Plaintif dalam masa 14 hari dari tarikh Writ diterima.
Sekiranya defendan gagal untuk memfailkan Memorandum Kehadiran, Plaintif boleh merekodkan PENGHAKIMAN INGKAR KEHADIRAN.
Sekiranya Penghakiman Ingkar Kehadiran tidak dicabar dan segala tuntutan Plaintif tidak dibantah maka ianya boleh dianggap bahawa tuntutan tersebut telah diakui oleh defendan dan Plaintif berhak mendapatkan tuntutan tersebut.
Seterusnya setelah mendapat penghakiman ingkar maka plantif boleh melaksanakan penghakiman tersebut.
Pemiutang boleh memilih kaedah perlaksanaan (execution) penghakiman dan yang lazim dilakukan ialah membuat permohonan bagi membankrupkan defendan, menyita harta defendan atau apa tindakan yang difikirkan wajar oleh plaintif.
Perlu sekali lagi ditegaskan bahawa plaintif apabila sudah mendapat penghakiman barulah boleh membankrapkan atau menyita harta benda seseorang.
____________
SEBAB KHIDMAT PENGUTIP HUTANG DIKEHENDAKI
Mungkin terdapat sebab yang munasabah bagi pemuitang membuat demikian antaranya;
-jumlah hutang yang sedikit yang berkemungkinan kos guaman lebih banyak dari tuntutan.
-mengelakkan kos guaman ditanggung pemuitang dan mungkin pengutip hutang akan mendapat komisyen dari hutang yang berjaya dituntut. Kerana itu tidak keterlaluan ada pengutip akan berkerja 24 jam menelefon penghutang demi mengejar komisyen tersebut.
-kos guaman peguam lebih mahal dari agen pengutip hutang.
-mungkin kesilapan pemuitang yang 'terlepas pandang' di mana tiada tindakan telah dibuat bagi mendapatkan hutang selepas berakhirnya tempoh 6 tahun dari tarikh yang dijanjikan penghutang bagi membayar hutang ( 'cause of action accrued' )
-mungkin dokumen perjanjian atau suratcara pemuitang tidak dibuat atau hilang yang menyebabkan bukti tidak dapat dikemukakan di mahkamah kelak.
SITAAN BARANG WALAUPUN TIADA ARAHAN MAHKAMAH
Sebenarnya mereka hanya "mengugut" supaya penghutang takut harta beliau disita lalu membuat bayaran hutang walaupun tiada sebarang penghakiman atau arahan dari mahkamah telah diperolehi.
KESIMPULAN
Tidak ganjil bagi seorang agen pengutip hutang akan terus menelefon memperkenalkan diri sebagai "peguam" atau "kakitangan" mahkamah dan mengugut penghutang.
Sekali lagi ditegaskan bahawa peguam atau kakitangan mahkamah tidak pernah menggunakan pendekatan ala gangster atau mafia bagi mendapatkan hutang yang tertunggak.
Ingin saya tegaskan ialah jika kita berhutang, sememangnya hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut namun cara agen pengutip hutang yang melakukan kerja yang tidak professional atau menyamar sebagai pihak lain yang tidak wajar dilakukan.
Nasihat saya jika masih diganggu oleh panggilan sebegini, maklumkan kepada pihak pemanggil bahawa jika mereka masih berterusan mengganggu maka penghutang akan membuat laporan polis kerana bukan cara 'gangster atau mafia' untuk mana mana pihak mengutip hutang kerana kita ada undang undang dan mahkamah bagi keadilan bagi pemuitang (plaintif) dan penghutang (defendan).
Mana mana pihak juga boleh membuat pengesahan mengenai 'kewujudan seseorang peguam' dengan melayari laman sesawang Majlis Peguam Malaysia.
Terdapat maklumat kesemua peguam yang beramal di Malaysia. Jadi isu peguam palsu akan selesai.
Jadi jika tuan puan pernah mengalami keadaan ini, anggaplah tuan puan sudah terkena "panggilan hangit"
Sekian.



No comments:

Post a Comment