Wednesday, February 15, 2017
Salam Berisi
Bila menghadiri kenduri kahwin,kebiasaannya kita beri wang dalam sampul ketika bersalam.Ada tuan kenduri menolak, ada menerima,bahkan ada juga tuan kenduri yang mencatat berapa yang diberi.Ada cakap sumbang di belakang mengatakan tuan kenduri menunggu pintu masuk untuk kutip duit salam dan sebagainya.
Orang Melayu memberi wang ketika hadir kenduri sebagai hadiah, menggantikan hadiah bentuk barangan dengan wang sebagai memudahkan tuan kenduri.Orang Melayu di utara membahasakan memberi wang ketika hadir kenduri sebagai ' tumpang berkenduri' ... maksudnya menyumbang sama untuk majlis walimah tersebut.Jelas,niat mereka adalah baik.Tuan rumah sebenarnya bukan mengharap kerana dia ada duit,sebab itu dia berkenduri.
Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:“Setelah Nabi Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam menikahi Shafiyah, pada pagi harinya Nabi pun berkata: “Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan”.
Beliau pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju, ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)
Berdasarkan hadis ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan: “Orang-orang kaya dan yang memiliki kelebihan (bekalan) dianjurkan untuk memberikan sumbangan di dalam majlis walimah saudaranya.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 139, Media Hidayah) Sumber Hadis
Berdasarkan hadis ini,memberi hadiah kerana perkahwinan itu satu sunnah. Maka menolaknya adalah tidak sesuai. Walau kita tidak meminta dan berharap.Menerima wang tetamu yang hadir ke majlis bukan ibarat menerima sedekah,tetapi menerima hadiah sempena perkahwinan.Bahkan jika menolak dibimbangi menyebab kecil hati tetamu. Lebih teruk jika tuan rumah terasa riaknya.
Jika masyarakat dulu memberi hadiah barangan seperti beras, gula, tepung, ayam,kelapa, buah kabu,kundur dsbnya,kita mungkin tidak berkesempatan berbuat demikian,atau untuk memberi kebebasan kepada tuan tumah membelanjakan wang yang diberi mengikut keperluannya berbanding memberi barang yang mungkin berlebihan atau tidak diperlukan.
Wang hadiah itu boleh diguna untuk membiayai bayaran katerer atau pembelian barang supaya mereka yang memberi wang menumpang sama berkenduri,atau jika tidak pun untuk pengantin memulakan hidup.
Namun bukanlah wajib memberi hadiah jika kita mampu atau tidak mahu memberi hadiah,tetapi jangan dikeji perbuatan ini kerana bimbang mengeji satu sunnah.
Kita memang dijemput untuk makan,bukan untuk beri hadiah. Jadi biasalah jika tidak beri apa pun. Suma yang lebih baik,berilah hadiah.Usah rasa malu salam tidak berisi,bahkan janganlah sesekali bertindak memberi juga,tetapi sampul kosong kerana itu satu kepuraan dan menipu.
Buatlah sesuatu kerana kita mengetahui,kerana menurut sunnah, bukan membuta tuli,atau ikut adat sahaja,ikut orang.Jangan pula bertindak ikut akal sendiri terapi bercanggah dengan sunnah nabi. Wallahua'lam.
(Abdul Ghani Haron)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment