Saturday, February 25, 2017
Hukum Mengisi Masa Dengan Zikir
Sunat hukumnya mengisi masa dengan zikir. Memanfaatkan masa dengan perkara bermanfaat dan berfaedah agar si Mukmin tidak terjatuh kepada faktor-faktor yang menyebabkan penyesalan pada hari kiamat.
Bukan bermaksud penyesalan lantaran terjatuh ke dalam kemaksiatan, tetspi menyesal lantaran terlepas peluang meraih kebaikan yang akan menaikkan darjat, malah yang akan menaikkan maqam si Mukmin ke tempat yang lebih tinggi.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah (رضي الله عنه) dari Rasulullah (صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ) baginda memperingatkan:
(مَنْ قَعَدَ مَقْعَدًا لَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ فِيهِ كَانَتْ عَلَيْهِ مِنْ اللَّهِ تِرَةٌ ، وَمَنْ اضْطَجَعَ مَضْجَعًا لَا يَذْكُرُ اللَّهَ فِيهِ كَانَتْ عَلَيْهِ مِنْ اللَّهِ تِرَةٌ)
Sesiapa duduk pada suatu tempat, ia tidak berzikir di tempat tersebut, nescaya akan merupakan punca sesalan ke atasnya kelak. Sesiapa berbaring pada suatu tempat, lalu ia tidak berzikir, nescaya dianggap satu punca sesalan ke atasnya kelak. HR Abu Daud (4856).
Beliau dalam Kitab Sunannya menyebutkan Hadis ini dalam Bab Makruh Hukmnya Bangkit Dari Satu Majlis Jika Tidak Berzikrullah.
Ibnu Hibban (3/133) juga meriwayatkan Hadis yang serupa dalam Kitab Saheh beliau, dalam Bab Sunat Hukumnya Berzikir Pada Setiap Keadaan. Yakni Bagi Mengelakkan Sesalan Pada Hari Kiamat Kelak. Sementara Imam al-Munziri menyebutkan dalam karya beliau al-Targhib wa al-Tarhib dalam Bab Ancaman Agar Si Muslim Tidak Berada Dalam Majlis Tanpa Zikrullah, dan Tanpa Selawat Ke Atas Rasulullah (صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ).
Teks Hadis tersebut mengikut Imam Tirmizi (3380):
(مَا جَلَسَ قَوْمٌ مَجْلِسًا لَمْ يَذْكُرُوا اللَّهَ فِيهِ وَلَمْ يُصَلُّوا عَلَى نَبِيِّهِمْ إِلَّا كَانَ عَلَيْهِمْ تِرَةً فَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُمْ وَإِنْ شَاءَ غَفَرَ لَهُمْ)
Sesiapa duduk pada suatu tempat, lalu ia tidak berzikir di tempat tersebut, nescaya hal ini akan menjadi punca sesalan baginya kelak. Jika Allah menghendaki, Ia akan mengazab mereka, atau memberi keampunan.
Beliau menyebutkan Hadis ini dalam Bab Golongan Yang Berada Dalam Majlis Tanpa Berzikir. Sementara tirah (ترة) dalam Hadis ini bermaksud satu sesalan, dan punca penasaran.
Berdasarkan Hadis-hadis ini para ulama merumuskan peri makruh hukumnya jika dalam satu majlis berlalu tanpa zikrullah. Namun bukan haram hukumnya. Sesalan ini bermaksud bukan disebabkan mengabaikan perkara wajib. Malah mungkin maksudnya, lantaran mengabaikan perkara sunat (المستحبات) yang akan mengangkat darjat si Mukmin.
Dalam kaitan ini sebahagian salaf pernah berujar: Pada hari kiamat kelak, akan diperlihatkan kepada Anak Adam setiap unit masa yang dilaluinya semasa hidup. Maka setiap saat yang dilaluinya tanpa zikrullah, ia akan sedih dan menyesalinya. Demikianlah dinukil dari al-Hafiz Ibn Rajab dalam karya beliau Jami’ al-Ulum wa al-Hikam (135).
Pada zahirnya teks Hadis (فَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُمْ وَإِنْ شَاءَ غَفَرَ لَهُمْ) Terserah sama Allah, sama ada mengazab mereka, atau memberi keampunan, ini menyatakan peri wajib hukumnya berzikir dalam setiap majlis.
Hal ini kerana azab dan maghfirah pada lazimnya adalah lantaran ada kaitannya dengan dosa. Sama ada sebab meninggalkan yang wajib, atau lantaran melakukan yang haram.
Mengikut Ibn ‘Allan (رحمه الله) teks Hadis (فَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُمْ) Terserah sama Allah, sama ada mengazab mereka, yakni sebagai balasan sikap cuai mereka lantaran mengabaikan zikrullah. Sementara maksud (وَإِنْ شَاءَ غَفَرَ لَهُمْ) atau memberi mereka keampunan, lantaran kekurangan dan kelemahan tersebut. Hal ini jelas menunjukkan peri wajib hukumnya bezikir dalam setiap majlis.
Hal ini sejalan dengan maksud Hadis di atas (Dalil al-Falihin Syarah Riyadhu Solihin 6/127).
Rumusan para ulama tentang Hadis-hadis terdahulu bahawa makruh hukumnya jika dalam satu majlis kosong dari zikir.
Imam Nawawi berujar: Makruh hukumnya bagi sesiapa berada dalam satu tempat, jika ia pergi dari tempat tersebut tanpa berzikir. Demikian pandangan Imam Nawawi dalam Kitab al-Majmuk (4/477-478).
Adapun maghfirah dalam teks di atas, maksudnya adalah berdasarkan dosa-dosa yang lain. Atau bermaksud sebagai ancaman lantaran mengabaikan zikrullah.
Menurut Al-Mala Ali al-Qari (رحمه الله) maksud Hadis فَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُمْ Terserah sama Allah, sama ada mengazab mereka, yakni lantaran dosa-dosa terdahulu di samping kecuaian yang berlanjut sesudahnya. Sementara mengikut pendapat al-Tibiy (رحمه الله) فَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُمْ Terserah sama Allah, sama ada mengazab mereka, hal ini adalah satu penegasan dan ancaman, malah mungkin sahaja bermaksud bahawa ahli majlis tersebut akan terjatuh ke dalam perkara yang mengundang siksaan dan kemurkaan Allah (Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih: 8/37).
Dalam Kitabullah semasa menerangkan salah satu fenomena dan realiti Hari Pembalasan, Allah al-Maula SWT memperingatkan:
ووضع الكتاب فترى المجرمين مشفقين مما فيه يقولون يا ويلتنا ما لهذا الكتاب لا يغادر صغيرة ولا كبيرة إلا أحصاها، ووجدوا ما عملوا حاضرا ولا يظلم ربك أحدا
Dibentangkanlah kitab catatan kelak, anda lihat golongan yang jahat sangat risau melihat isi kitabnya. Malah mereka menyesali dan meratapinya, ‘Sungguh anehlah kitab ini. Tak ada yang tertinggal perkara yang kecil dan besar. Semua tercatat kemas dan utuh.’ Justeru mereka mendapati semua perbuatan yang mereka lakukan. Allah tidak menzalimi seorang pun (QS, al-Kahfi: 49).
(Ustaz Dr. Ahmad Asri Lubis)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment