Monday, September 26, 2016
Syukur
Bersyukur bermaksud sentiasa berasa lapang dengan rezeki yang diberikan Allah S.W.T. dan tidak rasa tamak terhadap rezeki yang tidak tercapai (sifat qanaah). Allah S.W.T. berfirman: “Dan( ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu; ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat-Ku kepadamu dan sesungguhnya jika kamu mengingkarinya (kufur nikmat), maka azab-Ku amat keras.’” – Surah Ibrahim 14:7.
Manusia umumnya jarang bersyukur ketika senang. Yang Maha Pencipta hanya dicari bila ditimpa keadaan lebih buruk. Seperkara lagi, setiap orang mempunyai pandangan berbeza meskipun berhadapan dengan situasi yang sama. Sebagai contoh, Ahmad dan Muhammad diberhentikan kerja apabila pemilik kilang tempat mereka mencari nafkah memindahkan operasi kilangnya ke luar negara. Ahmad berasa sedih kerana tidak tahu apa cara lagi untuk terus menyara keluarga. Sebaliknya, Muhammad bersyukur dan menganggap pemberhentian itu sebagai peluang untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan, dengan memanfaatkan segala pengalaman dan kemahiran yang diperolehi ketika bekerja dahulu.
Rasa syukur harus diamalkan dengan memenuhi aspek penting yang berikut:
1. Benar-benar yakin akan kekuasaan dan pertolongan Allah yang mengatasi segala kuasa yang dapat memenuhi keperluan manusia.
2. Sabar menerima ketentuan Allah jika hidup tidak mewah seperti orang lain.
3. Bersyukur bila memperoleh nikmat pemberian Allah.
4. Berusaha dan berikhtiar untuk mencari tambahan kurniaan Allah dengan kemampuan yang ada bagi mencapai keperluan.
5. Tidak tertarik oleh tipu daya duniawi.
Fadilat bersyukur atas nikmat:
1. Tergolong antara orang yang berjaya dan cukup rezekinya.
2. Menerbitkan kesanggupan untuk mencari rezeki yang halal dengan kemampuan yang ada tanpa sebarang keraguan.
3. Mendidik manusia untuk bersyukur atas segala nikmat Allah dan menggunakan nikmat tersebut sesuai dengan syarak.
4. Menghilangkan rasa tamak dan haloba pada diri manusia dalam mencari dan memiliki harta serta pemberian Allah.
5. Menerbitkan sifat tawakal kepada Allah dalam setiap usaha dan tindakan untuk mencapai keredaan Allah.
APA YANG KITA SEMAI (BELANJAKAN) DAN SYUKURI PADA HARI INI DI DUNIA YANG FANA AKAN KITA TUAI DI AKHIRAT SANA.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment