Thursday, September 8, 2016

Keinsafan Si Penggali Kubur



Ada seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah S.W.T.

Dia berkata, "Sepanjang saya menggali kubur untuk mencuri kain kafan, saya telah melihat tujuh perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran itu saya merasa sangat insaf atas perbuatan yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat.

"Yang pertama, saya lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi apabila saya menggali semula kuburnya pada waktu malam, saya lihat wajahnya telah membelakangkan kiblat. Mengapa berlaku begitu, wahai tuan guru?"

"Wahai anak muda, mereka itu golongan yang telah mensyirikkan Allah S.W.T. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah S.W.T. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, "Golongan yang kedua, saya lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tetapi pada malam hari ketika saya menggali kubur mereka, saya lihat wajah mereka telah bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?"

Jawab ahli ibadah, "Wahai anak muda, mereka itu golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain"

Pemuda itu menyambung lagi, "Wahai tuan guru, golongan ketiga yang saya lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila saya menggali kuburnya pada waktu malam, saya lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu.

"Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

"Golongan keempat, saya lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?

"Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapa sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah S.W.T. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapa."

"Golongan kelima, saya lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu.

"Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidup, mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari. Bukankah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi tiga hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

"Wahai guru, golongan keenam yang saya lihat, waktu siang lahadnya kering kontang. Tatkala saya menggali semula kubur itu pada malam hari, saya lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya."

"Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," tambah ahli ibadah tadi lagi.

"Wahai guru, golongan terakhir yang saya lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?"

Maka ahli ibadah beristighfar dan menjawab, "Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah S.W.T. baik waktu hayatnya mahupun sesudah matinya."

Pengajaran:

Daripada Allah S.W.T. kita datang dan kepada-Nya jua kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Sama-sama kita bermuhasabah dan menginsafi kelemahan diri. Semoga kita tergolong dalam hamba-hamba-Nya yang bertaqwa. Di akhirat kelak, penghuni syurga akan ditunjukkan kepada mereka keadaan neraka dan seksaan di dalamnya dan penghuni neraka akan ditunjukkan kepada mereka keadaan syurga dan kenikmatannya.

Tujuan dinampakkan kepada penghuni syurga akan dahsyatnya neraka supaya bertambah syukur mereka kepada Allah S.W.T.. Manakala para penghuni neraka apabila dinampakkan akan kenikmatan syurga maka bertambah penyesalan mereka.Masuk neraka itu sudah menyesal, diperlihatkan pula nikmat syurga yang mereka tidak akan dapat maka bertambah dan bertingkatlah penyesalan mereka. Bukan setakat tubuh badan kena seksa, batin juga menanggung derita.

Ya Allah, ampunkanlah dosa mereka yang telah pergi menemui Mu. Ampunkanlah dosa kami yang masih hidup dan menunggu untuk Engkau jemput...
Aamiin Aamiin Aamiin...

No comments:

Post a Comment