Tuesday, September 13, 2016

Diuji sakit


Kita sentiasa diuji dengan segala macam ujian. Salah satunya ialah sakit.Bagaimana hendak terus menjadi hamba yang soleh semasa sihat ataupun sakit.

Panduan untuk mencapainya ialah:

Dari sudut akidah. Sebenarnya sakit adalah makhluk seperti kita juga. Ia datang dari Allah untuk menguji kita. “Dialah yang mentakdirkan hidup dan mati untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Kuasa membalas amal, lagi Maha Pengampun [bagi orang yang bertaubat] - Surah Al Mulk ayat 2.

Sebagai contoh, Nabi Ayub a.s menderita penyakit yang merosakkan setiap inci tubuhnya. “Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku (Surah As-Syuara’ ayat 34).

Jangan biarkan sakit menyebabkan kita lupa pada Allah. Dia adalah Penyembuh dan kita disuruh berusaha menyembuhkan penyakit itu. Walaupun tidak sembuh, usaha kita itu akan dibalasi pahala. Berubat itu adalah sebahagian daripada sunnah Nabi s.a.w. Cari ubat yang halal. Cuma dalam keadaan darurat, ubat yang haram itu boleh diguna sekadar saja.

Dari sudut syariah, semasa sakit, aurat mesti dijaga. Kalau terpaksa dibuka di depan doktor berlainan jantina, bukalah sekadarnya saja. “Wahai kaumku, Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa." ( Surah Hudd ayat 52).

Ketika badan terlalu letih, selawat pada Nabi s.a.w 3 kali, baca Surah Hudd ayat 52 ini 3 kali kemudian sapukan ke badan. In sya Allah, akan datang kesembuhan dari-Nya. Tangan kita ada kurniaan yang Allah berikan. Sebab itu selepas berdoa kita angkat tangan dan sapu ke muka. Begitu juga bila berwuduk. Sabda Nabi s.a.w “Sebaik-baik ubat adalah al-Quran" - Hadis Riwayat Abu Daud.

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepada-Nya.” (Surah Hudd ayat 52).

Sebelum tidur baca Basmallah 21 kali, Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahuakbar 34 kali. Jumlah semuanya 100 kali. Dengan tapak tangan sapu ke badan. Itulah kesegaran yang Allah beri nanti. Daripada sudut akhlak (adab sopan)… Semasa sakit, jangan merengek dan merungut. Nanti orang menyampah. Masa sakit banyakkan berzikir dan berdoa, “Ya Allah berikan aku ketenangan hati.” Ditakdirkan tempoh hayat kita hampir ke hujung, dengan zikir, in sya Allah kita akan ingat Allah. Sabda Nabi saw: Siapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaha illallah maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga - Hadis Riwayat Hakim.

Semasa sakit jangan sesekali tinggalkan SOLAT. Sebenarnya, doa tahiyat awal boleh diwiridkan: “Ya Tuhanku, ampunkanlah aku, kasihanilah aku, tutupkan aibku, tinggikan darjatku, berilah aku rezeki, tunjukkilah aku, sejahterakanlah aku dan maafkan aku." Semasa sakit, solatlah ikut kemampuan sama ada duduk, baring atau apa-apa cara yang dibolehkan ketika darurat. Solat memberikan kita semangat. Kalau berbaring, mengiring di rusuk kanan, gunakan kepala untuk gerakan solat. Kalau ada luka di rusuk kanan, mengiring di rusuk kiri dengan kaki mengadap kiblat. Kalau terlentang tinggikan kepala sikit. Gerakkan kepala. Kalau hanya mata saja yang bergerak, gunakan anak mata sebagai menggantikan gerakan. Solat itu keberkatan, pemulih semangat.


DOA: Ya Allah, Engkau yang mengurniakan sakit kepada kami, maka berikanlah kami kesembuhan. Engkau yang memberi kesempitan kepada kami, maka kurniakanlah kami kelapangan kami. Engkau menguji kami dengan berbagai ujian, berilah kami jalan keluar.

[Ceramah Motivasi Pagi TV3 oleh Ustaz Muhammad Abdullah].

No comments:

Post a Comment