Sunday, September 11, 2016

Letakkan Kebergantungan Hanya Kepada Allah


Ketika Madinah di timpa kemarau berpanjangan, bekalan makanan terutama gandum makin berkurangan.Harga barang-barang keperluan turut melambung naik. Yang kaya sibuk membeli dan menyimpan bekalan makanan yang dikhuatiri akan habis di pasaran. Tetapi yang miskin berbelanja hanya seadanya sahaja. Tidak tentu bagaimana nasib masing-masing jika terpaksa berhadapan dengan kebuluran.

Di sebuah ladang, seorang tuan ladang yang kaya sedang kebingungan. Setiap tahun hasil ladangnya di bahagi tiga . Sepertiga untuk keperluan keluarga sendiri, sepertiga untuk di sedekahkan kepada fakir miskin dan anak-anak yatim dan sepertiga lagi untuk benih tanaman musim berikutnya.Disebabkan kemarau, hasil ladangnya turut terjejas. Sukatan yang biasa digunakan mengalami masalah untuk mencukupkan pembahagian . Jika diagihkan sepertiga untuk fakir miskin dan sepertiga untuk keperluan keluarga, yang selebihnya tidak mencukupi untuk sukatan benih tanaman berikutnya. Jika dikurangkan simpanan untuk makanan sepanjang tahun, dikhuatiri keluarganya menghadapi kekurangan makanan. Jika diambil sedikit bahagian untuk fakir miskin, bererti dia mencuri sedekah yang sudah dijanjikan. Masalah ini sangat memeningkan kepala. Tuan ladang lantas meminta nasihat dari seorang ulama sufi.

Ulama sufi itu mencadangkan kepada tuan ladang, “Di hujung kampung ada seorang ibu tunggal yang kematian suami dengan tujuh orang anak yang masih kecil. Pergilah ke rumah mereka dan berikanlah sedekah makanan."

Tuan ladang mengikut sahaja cadangan ulama sufi tersebut. Dia segera menuju ke rumah ibu tunggal miskin yang dimaksudkan dengan membawa gandum untuk di sedekahkan.

Ibu tunggal bertanya, “Ada apa urusan tuan datang ke pondok saya malam begini?”

Tuan ladang, “Saya membawa gandum untuk keperluan makan anak-anakmu.”

Ibu tunggal, “Anak-anak saya sudah tidur.”

Tuan ladang, “Kamu ambil dan simpan sahaja untuk keperluan hari esok.”

Ibu tunggal, ”Apakah tuan dapat menjamin anak-anak saya masih hidup lagi esok?"

Tuan ladang, “Insya Allah, mudah-mudahan masih hidup lagi esok.”

Ibu tunggal, “Jika demikian, hanya Allah sahaja yang dapat menentukan bagaimana keadaan hari esok. Tuhan Yang Maha Pemurah yang menentukan hidup anak-anak saya. Maka Dia jugalah yang akan memberikan rezeki untuk mereka, bukannya tuan. Dalam keadaan kemarau dan semua orang menghadapi kesulitan mendapat bekalan makanan saya tidak dapat menerima pemberian ini. Masih ada orang miskin lain yang lebih memerlukannya untuk makan malam ini. Sudah tentunya tidak patut saya menghalang keutamaan orang lain."

Setiap patah kata-kata ibu tunggal beranak tujuh itu memberi kesan mendalam kepada tuan ladang. Spontan jelas dalam jiwa dan fikirannya, ibu tunggal tersebut berkeyakinan penuh kepada ketentuan rezeki dari Allah. Tidak sedikit pun merasa khuatir walau dalam keadaan genting. Malahan masih mampu mengutamakan keperluan orang lain.Tuan ladang merasa tidak patut sama sekali bagi dirinya yang jauh lebih berkemampuan dari ibu tunggal miskin itu dikalahkan oleh keyakinan yang lemah. Sepatutnya dengan limpahan rezeki yang Allah kurniakan, dia tunduk dan patuh sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah. Juga dengan senang hati mengagih-agihkan rezeki yang telah Allah amanahkan.

Pertemuan dengan ibu tunggal tersebut juga mendorong tuan ladang bersegera membahagikan sepertiga bahagian hasil tuaian tanamannya kepada fakir miskin dan anak-anak yatim ,seperti selalunya. Juga sepertiga untuk benih tanaman berikutnya. Manakala untuk keperluan makanan keluarganya, memadai dengan jumlah yang selebihnya. Kini dia telah benar-benar meyakini agihan rezeki yang adil dari Yang Maha Pemurah. Tiada lagi kekhuatiran di hatinya setelah dia meletakkan kedudukan dirinya sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah.

Pengajaran:

Apakah keyakinan dan iman kita sama dengan ibu tunggal beranak tujuh yang pergantungannya hanya kepada Allah S.W.T.? Adakah setiap hari apabila keluar bekerja mencari rezeki kita hanya bergantung kepada usaha dan kepandaian kita berniaga dan kecerdikan kita mengaut keuntungan tanpa bergantung langsung dengan Allah S.W.T.? Betapa ramai orang yang berusaha tetapi hati kecil tidak pernah merasai bahawa rezeki yang diperolehi itu datangnya daripada kehendak dan ketentuan daripada Allah S.W.T.

Kehidupan orang mukmin berbeza dengan kehidupan orang kafir kerana orang mukmin berusaha dan berikhtiar dalam rangka ibadah tetapi pada masa yang sama yakin janji-janji rezeki daripada Allah S.W.T. dan rasa bersyukur apabila usaha dan hajatnya tercapai dan bersabar dan redha jika apa yang diusahakan tidak berhasil. Sebaliknya orang kafir tidak ada langsung mengaitkan usahanya dengan ketentuan rezeki daripada Allah S.W.T.

Islam memang menganjurkan umatnya sentiasa gigih berusaha mencari rezeki juga membaiki cara hidup. Namun sepenuh pengharapan positif mesti diserahkan kepada Allah yang menetapkan kadar rezeki setiap hamba-Nya. Usah sekali-kali kekhuatiran terhadap kepentingan diri sendiri menghalang kita memenuhi hak dan amanah yang telah Allah S.W.T. tetapkan. Sentiasa ingat kita ini juga adalah hamba kepada Yang Maha Pemurah.Keadaan ini kekal dan tidak berubah sehingga tiba hari perhitungan.

Rasulullah s.a.w. mengajar kita berdoa untuk memohon kepada Allah S.W.T. agar mendapat peluang perniagaan dan rezeki yang lumayan: "Ya Allah, jadikanlah aku antara kalangan hamba-Mu yang mendapat bahagian (pencapaian) yang hebat pada nur yang Engkau kurniakan sebagai hidayah, dan rahmat yang Engkau kurniakan, dan rezeki yang Engkau sebarkan, dan mudharat yang Engkau selamatkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan bala yang Engkau angkatkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan fitnah yang Engkau jauhkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan keburukan yang Engkau hindarkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu)."(Hadis Riwayat Ibn Abi Syaibah dan al-Tabrani).

Pengajaran yang boleh diambil daripada kisah di atas adalah:

1.Sikap tidak mementingkan diri sendiri dan mementingkan keperluan orang lain adalah satu peribadi yang mulia dan dituntut oleh Islam.
2.Apabila menghadapi sesuatu masalah kita digalakkan merujuk permasalahan kita kepada orang yang lebih arif dan berilmu supaya masalah tersebut dapat diatasi dengan baik.
3.Sedekah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim adalah amalan mulia dan akan diberi ganjaran pahala yang besar oleh Allah.
4.Keyakinan yang mutlak bahawa rezeki itu datang dari Allah S.W.T. yang bersifat Maha Pemurah adalah dari keimanan kita kepada Tauhid Rububiyah dan sebagai hamba Allah kita diminta berikhtiar tetapi segala keputusan dan ketetapan datang dari Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment