serenemaklong.blogspot.com
PASTI semua orang mengenali Jackie
Chan, ikon Asia yang paling popular
di mata dunia. Saya sendiri pun minat aksi-aksinya.
Tetapi, tahukah saudara,
sebelum Jackie Chan popular, dia berusaha mempelajari Tae Kwando, Judo, Wing
Chung dan seni mempertahankan diri yang lain selama 18 jam setiap hari?
Pernah dengar nama Lance
Armstrong? Bekas pesakit kanser yang memenangi Tour De France berkali-kali.
Tahukah saudara selepas dia pulih daripada kanser, dia hanya mempunyai dua matlamat
dalam hidupnya iaitu memenangi Tour De France, dan membesarkan anaknya dengan
sihat.
Setiap hari, daripada pagi
hingga malam, dia berlatih semata-mata untuk memenangi Tour De France, tiada
lain daripada itu. Ditulis dalam bukunya
"Anything else was secondary and an unnecessary distraction"
Siapa tidak mendapat inspirasi
daripada ratu squash, Nicole David? Sudah bermacam-macam kejohanan yang
dirangkulnya. Namun percayakah saudara laporan yang pernah menyatakan dia
berlatih lebih daripada 8 jam setiap hari?
Lihat kembali keadaan kita
sendiri. Sanggupkah kita mengikut jejak langkah ikon-ikon ini yang kesemuanya
kini multi-millionaire? Tiada jalan pintas menuju kejayaan, tetapi masih ramai
yang menyangka boleh jadi kaya dengan cepat dan mudah.
Soalnya, sanggupkah kita
melakukan pengorbanan untuk mencapai matlamat sendiri?
11 Langkah Mencapai Matlamat
1 Keinginan
Keinginan
umpama api pembakar semangat. Lebih besar
api tersebut, lagi hangat ia membakar keinginan jiwa kita untuk mencapai cita-cita.
Punca
utama matlamat tidak dapat dicapai adalah kerana takut gagal. Ini membantutkan
usaha untuk mengambil langkah pertama, walau apapun matlamatnya.
2 Keyakinan
Lagu
yang popular pada 80-an hingga kini ialah "Jika kau fikirkan kau boleh,
kau boleh melakukan. Jika kau fikirkan ragu-ragu, usahamu tidak menentu"
Bunyinya
cliché, tetapi lagu ini mengandungi mesej yang amat besar! Kita perlu yakin
bahawa cita-cita boleh dicapai! Keyakinan tinggi akan menjadi penggerak yang
membuatkan kita tidak menoleh ke belakang.
Keyakinan
bukan bererti menjadi bongkak dan taksub. Tidak perlu meyakinkan orang ramai. Hanya
yakinkan diri sendiri sahaja. Bila cita-cita sudah tercapai, dengan sendirinya orang
akan yakin.
Bersikap
realistik dalam menetapkan matlamat. Matlamat yang realistik dapat membantu memotivasikan
diri. Sebagai contoh, matlamat untuk mendapat kenaikan gaji dua kali ganda
dalam masa setahun mungkin tidak realistik. Tetapi, matlamat untuk menaikkan
gaji sebanyak 20% dalam masa setahun adalah lebih realistik!
Matlamat
yang tidak realistik hanya akan melemahkan motivasi diri anda apabila ianya
tidak tercapai.
3 Tulis matlamat kita
Ini
petua penting. Di dunia ini, hanya 2% daripada golongan dewasa yang menulis
matlamat mereka sendiri. Baki 98% lagi tidak mempunyai matlamat hidup, atau,
sekiranya ada, tidak menuliskannya.
Matlamat
yang tidak tertulis hanyalah angan-angan. Menulis matlamat seolah-olah membuat
perjanjian dengan diri sendiri. Matlamat yang dibayangkan itu dibawa ke dalam bentuk
yang boleh digenggam, menjadi sesuatu yang nyata dan sentiasa tersemat di
fikiran. Ia menyebabkan kita bertegas mahu mencapainya.
4 Senaraikan kebaikan yang kita
akan kecapi
Apa
yang kita akan dapat sekiranya matlamat itu tercapai? Senaraikan segala-galanya.
Lebih panjang, lebih bagus. Inilah
motivasi-motivasi yang akan membakar semangat untuk terus berusaha.
Manusia
adalah insan yang beremosi. Dengan memikirkan kebaikan yang bakal dikecapi, ia
akan memandu kita ke arah mencapai matlamat tersebut.
Berikan
sebab mengapa kita mahu mencapai matlamat itu, apakah pulangan yang bakal diterima,
serta bagaimanakah tahap kepuasan sekiranya matlamat itu tercapai. Ini akan
menyemarakkan lagi semangat kita untuk mencapainya.
5 Cerminkan diri sendiri
Kita mesti tahu di mana kita
berada sekarang. Inilah titik permulaan perjalanan kita. Jika dapat memahami keadaan
kini, jalan ke arah pencapaian akan nampak lebih jelas.
Sebagai contoh, sekiranya kita
inginkan bebas kewangan, duduk dan ambil masa untuk melihat keadaan kewangan kita
sekarang secara jujur. Sekiranya matlamat adalah untuk menurunkan berat badan, kita
perlu ketahui berat badan sekarang sebagai titik permulaan.
6 Tetapkan deadline
Matlamat tidak lengkap tanpa
deadline. Pilih deadline yang terbaik. 6 bulan? 1 tahun? 3 tahun? 5 tahun? Atau
10 tahun?
Kebanyakan orang tidak menetapkan
deadline kerana bimbang tidak dapat mencapai matlamat itu sebelum deadline!
Sekiranya tidak tercapai, ia akan mengurangkan motivasi diri. Kerana itu mereka
membiarkan tarikh untuk mencapai matlamat tersebut terbuka- bila-bila masa
sahaja!
Itu pemikiran yang salah. Deadline
diperlukan untuk menjadi satu sasaran yang jitu. Apa terjadi sekiranya kita tidak
berjaya mencapai matlamat sebelum tarikh deadline? Senang sahaja... berikan
satu tarikh deadline yang baru! Ia akan mengajar kita supaya lebih berusaha dan
realistik dalam mencapai matlamat.
7 Ketahui rintangan
Untuk mencapai sesuatu yang
berbaloi, sudah pasti ada cabaran. Lebih
besar matlamat, lagi besar rintangan
yang perlu dilalui. Ketahui rintangan-rintangan tersebut dan belajar mengatasinya.
Anggap usaha itu sebagai perjalanan
mencari ilmu. Setiap rintangan walau
sekecil manapun akan dapat memperbaiki diri supaya mudah menangani rintangan lebih besar di masa hadapan.
Mereka yang berjaya di dunia adalah golongan yang berpengalaman menghadapi
rintangan.
Kejayaan cemerlang akan hadir
bila kita berjaya menguasai segala rintangan. Oleh itu, lakukan perancangan terlebih dahulu.
Senaraikan apakah rintangan yang bakal muncul.
8 Ilmu tambahan
Manusia dianugerahkan dengan
akal fikiran. Gunakan akal itu untuk membuat senarai ilmu tambahan. Apakah
pengalaman yang kita perlukan? Bolehkah kita
mendapatkan bantuan orang lain jika kita tiada kebolehan itu? Apakah maklumat
paling penting untuk mencapai matlamat? Ingat, Ini tanggungjawab kita!
9 Perancangan
Kata pakar motivasi
"Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal"
Jangan biarkan nasib
menentukan arah tuju kita. Buat perancangan yang rapi, seperti kontraktor
memerlukan pelan untuk membina bangunan yang gagah berdiri. Kita juga perlu pelan
untuk mencapai menara gading.
Rancang langkah dengan
terperinci. Dalam 1 bulan, apa yang perlu dibuat? Jika tidak menjadi, apakah
alternatif lain?
Hukum alam mengatakan, apa
yang diberi dan ditabur, akan menjadi hasil. Sekiranya merancang untuk menaburkan
sedikit usaha, maka, sedikitlah pulangan. Sekiranya merancang untuk menaburkan bergunung-gunung
usaha, maka, hebatlah pulangan yang bakal diterima.
Kita tidak boleh melanggar
hukum ini. Mereka yang melanggar hukum ini sering ditipu dengan skim piramid,
skim cepat kaya, SCAM dan pelaburan yang hanya akan meleburkan wang sendiri.
10 Bina gambaran
"A picture paints a
thousand words". Beri gambaran yang jelas di fikiran bahawa matlamat telah
tercapai. Gambarkan diri kita 1 tahun daripada sekarang. Atau, 10 tahun daripada
sekarang.
Gambaran kita berjaya pada masa
hadapan akan membakar semangat untuk
mencapai gambaran tersebut. Fikiran manusia dipenuhi dengan gambaran, bukan
perkataan. Penuhi fikiran dengan gambaran kejayaan pada masa hadapan.
Berhati-hati! Terlalu
banyak mimpi di siang hari tanpa usaha dan perancangan akan menjadikan kita
sama seperti Mat Jenin!
11 Janji pada diri sendiri
Janji pada diri sendiri, tidak
kira apa rintangan yang datang, JANGAN sekali-kali putus asa! Sekiranya bersua
dengan sahabat karib kejayaan iaitu kegagalan - usah risau. Kegagalan adalah
perintis untuk mencapai apa jua kejayaan - sebab itulah ia digelar sahabat
karib.
Amat jarang sekali sesuatu
kejayaan dicapai tanpa kegagalan. Kegagalan mampu menambahkan pengalaman. Lagi
banyak kegagalan ditemui, lebih banyak dapat dipelajari. Sekiranya menemui
kegagalan, ubah cara bekerja. Jangan pula diikut cara yang sama kerana ini
hanya akan membawa kegagalan seterusnya!
Kesimpulan
Kesemua formula kejayaan ini
perlu dilaksanakan setiap satu. Ini adalah "blue print" orang-orang
yang berjaya di dunia. Ia menjadi formula kejayaan saya sendiri sehingga hari
ini. Tiap-tiap kali saya mempunyai matlamat baru, saya akan rujuk kembali
formula ini untuk memastikan matlamat saya tercapai.
(Kata-kata motivasi daripada
mentor saya, Dr. Irfan Khairi)
semoga kita terus berusaha menjadi yg terbaik...horass.....
ReplyDelete