serenemaklong.blogspot.com
BANYAK ramalan menyebut 2012 merupakan tahun berlakunya kiamat. Teori
kemusnahan alam semesta kaum Maya telah dipopularkan menerusi filem 2012 hinggakan
filem tahun 2009 itu meraih kutipan global sebanyak AS$769 juta (RM2.3 bilion).
Nostradamus, peramal tersohor Perancis turut menamakan 2012 sebagai
tahun kemusnahan planet-planet, manakala para ahli astrologi China dari Dinasti
Chang mengatakan akan berlaku bencana besar tahun ini.
Oleh kerana itu, apabila saintis menjangkakan fenomena ribut matahari terjadi
pada pertengahan 2012 hingga 2013, mitos kiamat yang dicanangkan sebelum ini
terasa bagaikan semakin hampir.
Dalam ilmu astrologi, matahari merupakan bintang yang terletak paling
dekat dengan bumi iaitu sejauh 149 juta kilometer. Ia mempunyai suhu teras 15
juta darjah Celcius dan telah terbentuk lebih 5,000 juta tahun yang lalu.
Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar
normal iaitu melebihi 15 juta darjah Celcius. Suhu panas itu menyebabkan ia
mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari dan
seterusnya mengakibatkan letusan. Bagaimanapun, sebahagian gas itu berlegar di
ruang angkasa dan memasuki atmofera bumi. Fenomena itulah yang digelar ribut
matahari.
Sebaliknya kawasan berhampiran Kutub Utara dan Kutub Selatan mendapat kesan langsung daripada ribut berkenaan. Ribut matahari ini menghasilkan cahaya utara atau
Kata seorang pakar astronomi tempatan, Shahrin Ahmad ribut matahari
tidak akan memusnahkan bumi. Malah, kejadian ribut matahari sampai ke bumi
jarang berlaku kerana ia dihalang oleh lapisan atmosfera dan medan magnet
bumi. Ribut itu akan termusnah sendiri sebelum sampai ke
daratan. Tetapi jika ia menembusi lapisan atmosfera dan medan magnet bumi
dengan saiz dua atau tiga kali ganda melebihi saiz bumi, kerosakan besar boleh
berlaku.
"Apa pun, ia terhad kepada kerosakan peralatan elektrik dan sistem
telekomunikasi seperti satelit, Global Positioning System (GPS), sistem
penerbangan dan Internet," kata Shahrin.
Jelasnya, kesan ribut matahari pernah dirasai di bumi pada tahun
1859. Akibatnya, sistem telegraf di Amerika Syarikat
dan negara Eropah lumpuh sama sekali. Peristiwa itu dinamakan Carrington Event.
Begitupun, kejadian itu kini boleh dielakkan dengan dua satelit peninjau
matahari bernama Stereo yang dilancarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa
Lepas (NASA) Amerika Syarikat. Kedua-dua satelit itu berperanan mengumpul data
untuk memahami dan meramalkan ribut matahari sebagai persediaan awal jika ia
berlaku.
Shahrin menambah, memang wujud kebimbangan bahawa ribut matahari
kemungkinan menjejaskan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) manusia namun
beliau berpendapat perubahan DNA itu lebih disebabkan oleh kesan rumah hijau
dan pelepasan gas beracun radioaktif. Makanan, radioaktif dan bahan kimia yang
meresapi tubuh boleh mengganggu sistem tubuh tetapi ia tiada kaitan secara
langsung dengan fenomena ribut matahari.
"Puncak kerisauan sebenar ialah gangguan ke atas kehidupan sosial
yang bergantung pada teknologi seperti GPS dan komunikasi satelit," kata
ahli fizik NASA, Lika Guhathakurta.
Seorang lagi pegawai NASA, Michael Kaiser menambah, matahari mencetuskan
ribut solar sejak berbilion tahun dahulu tetapi hanya pada akhir-akhir ini
ramai yang mengambil berat isu tersebut. Ribut elektromagnet matahari boleh
menjejaskan sistem tenaga elektrik selain membahayakan angkasawan. Pertambahan
tenaga magnetik dalam atmosfera dijangka mengeluarkan radiasi yang mampu
menyebabkan kuasa janakuasa elektrik meningkat mendadak.
Ujarnya lagi, kali terakhir pancaran matahari meletus adalah pada tahun
1859 hingga menyebabkan dua pertiga daripada ruang angkasa bumi bertukar
menjadi warna merah. Dijangkakan, peristiwa itu dapat dilihat sekali lagi
dengan beberapa bandar utama seperti London, Paris dan New
York mengalami ribut awan pada 2012 atau 2013.
Pakar astronomi dari Indonesia, Hakim L Malasan pula berpendapat,
fenomena ribut matahari tidak berhubung kait dengan iamat. Seorang lagi
pakar, Thomas Djamaluddin, mengatakan kiamat mungkin berlaku lima juta tahun
lagi.
"Matahari akan menjadi bintang raksasa merah dan menelan planet
terdekat, Utarid, Zuhrah dan mungkin bumi," jelasnya.
Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
di Vienna, Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman berpendapat, bidang astrofizik
tidak dapat menentukan hari kiamat selagi tiada perubahan pada matahari.
"Ahli fizik memang percaya bahawa alam semesta akan berakhir tetapi
sama ada pada 2012 atau 10 juta tahun dari sekarang mahupun 10 bilion tahun
lagi, ia terpulang kepada teori yang kita ada. Dari segi fizik, jika matahari
sudah kehabisan hidrogen, ia akan berkembang menjadi bintang lain. Ketika itu
kehidupan di bumi akan mengalami perubahan dan kejadian tersebut boleh
dikatakan sebagai tanda kiamat. Ini kerana apabila matahari tiada lagi tenaga,
manusia tidak boleh hidup dan akan berlaku banyak kejadian alam yang boleh
mencetuskan pengakhiran dunia," katanya.
Menurut Pegawai Sains, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd. Zamri Shah
Mastor, bumi juga boleh hancur menerusi hentaman objek yang terapung di angkasa
lepas seperti komet atau asteroid.
"Tetapi kita bernasib baik disebabkan bumi memiliki lapisan
atmosfera. Lapisan itu menyebabkan komet dan asteroid
yang cuba menerjah atmosfera bumi akan termusnah terlebih dahulu.
"Sebenarnya terdapat 1,077 asteroid yang dikenal pasti berpotensi
menghentam bumi," katanya.
(Sumber:Utusan Malaysia/Berita Harian)
No comments:
Post a Comment