Tuesday, May 29, 2012

Dunia Upin Dan Ipin

serenemaklong.blogspot.com



 
UPIN dan Ipin tinggal di sebuah kampung yang agak jauh dari pekan. Kampung mereka aman damai. Tidak banyak kekecohan yang berlaku, selain kehilangan buah durian yang dicuri Opet, sejenis makhluk asing dari alam lain yang tidak dapat dijangkau oleh penglihatan Upin dan Ipin.

Upin dan Ipin tinggal bersama nenek dan Kak Ros yang garang tetapi sayang pada Upin dan Ipin. Kak Ros selalu sediakan masakan yang sedap untuk Upin dan Ipin. Pagi tadi, Upin marah pada Ipin kerana mencuri ayam gorengnya.
Geram betul Upin.

Upin tidak tahu bahawa perbuatan Ipin mencuri ayam gorengnya pagi tadi sebenarnya dirancang oleh animator. Bahkan, perasaan marah Upin juga adalah hasil perancangan animator tersebut. Upin dan Ipin tidak akan mampu melakukan dan merasa apa-apa, melainkan apa yang ditetapkan oleh para animator itu.

Upin dan Ipin tidak sedar bahawa mereka sebenarnya cuma hidup di dunia 2 dimensi. Mereka dicipta oleh beberapa orang animator, dan kewujudan mereka hanyalah di kaca televisyen dan papan layar pawagam kepunyaan makhluk dunia 3 dimensi yang mana animator itu juga sebahagian daripada makhluk dunia tersebut.

Upin dan Ipin hidup di alam khayalan. Mereka ditonton oleh berjuta makhluk dunia 3 dimensi. Bagi watak-watak di dalam cerita Upin dan Ipin, segala kemewahan, harta-benda, kemuliaan di dalam dunia mereka sangat real. Tetapi bagi makhluk dunia 3 dimensi (terdiri daripada manusia dan jin), segala kebendaan di dunia Upin dan Ipin tidak bermakna. Mereka tidak akan mahu membeli segala kebendaan di dunia Upin dan Ipin, walaupun dengan harga sebelah kepak nyamuk!

Sesuatu yang tidak diketahui oleh para animator, dan lain-lain makhluk di dunia 3 dimensi ialah, mereka juga sebenarnya cuma wujud di alam khayalan. Mereka tinggal di kaca televisyen yang sekarang sedang ditonton oleh berjuta makhluk lain yang tinggal di alam 4 dimensi (terdiri daripada bidadari dan malaikat)! Cuma, kisah hidup mereka tidak 100% lurus seperti Upin dan Ipin.

THE MASTER PROGRAMMER, iaitu Maha Pencipta, menjadikan dunia mereka seolah-olah sebuah Role Playing Game. Mereka akan melakukan suatu set perkara, dan sesudah itu mereka diberi peluang membuat beberapa pilihan. Setelah memilih, mereka terpaksa melalui satu lagi set perkara yang ditetapkan oleh THE MASTER PROGRAMMER.

Ahmad adalah seorang makhluk di dunia 3 dimensi. Pagi tadi, Ahmad telah melalui satu set program (takdir) sejak daripada bangun tidur, mandi hinggalah ke saat hendak pergi kerja.

Ahmad sekarang berdepan pilihan untuk pergi kerja dengan menaiki kereta, atau motor. Memandangkan langit cerah, Ahmad memilih untuk menunggang motor sahaja. Tetapi tiba-tiba hujan turun. Ahmad tidak mampu berbuat apa-apa kerana ketika itu dia sudah di pertengahan jalan.

Kini Ahmad berdepan dengan satu lagi checkpoint untuk membuat pilihan. Sama ada meneruskan perjalanan, berlindung di bawah jejambat, atau pulang ke rumah dan mengambil kereta.

Kebanyakan makhluk di dunia 3 dimensi tidak sedar mereka cuma wujud di alam khayalan. Di dalam satu hari mereka, terdapat bertrilion checkpoint. Dan pada setiap checkpoint itu pula, terdapat berjuta pilihan yang boleh mereka pilih. Ini menyebabkan mereka merasa bahawa merekalah yang mencipta takdir mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa mereka juga sebenarnya sama seperti watak Upin dan Ipin. Cuma mereka berada di dalam dimensi berbeza dengan program yang agak canggih.

Sama seperti Upin dan Ipin, makhluk dunia 3 dimensi merasakan segala kebendaan dan material di dalam dunia mereka adalah real. Mereka sanggup berbunuhan untuk berebut kebendaan itu.

Tetapi bagi makhluk di dunia 4 dimensi (malaikat dan bidadari), semua kebendaan di dalam dunia 3 dimensi hanyalah khayalan semata. Tidak akan mereka beli, walaupun cuma berharga sebelah kepak nyamuk!

No comments:

Post a Comment