☆Tadabbur Kalamullah☆
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِالْهُدَىٰ فَمَا رَبِحَتْ
تِجَارَتُهُمْ وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ
"Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan
meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula
mereka beroleh petunjuk hidayah" [Surah al-Baqarah 16]
Allah swt menyatakan bahawa golongan munafik memiliki sifat dan perangai
yang buruk, mereka lebih memilih jalan kesesatan dan mengikuti hawa nafsu.
Mereka menolak petunjuk Allah dan jalan yang lurus. Mereka memilih keuntungan
dunia dengan menggadai hidayah Allah. Kesudahannya pilihan itu merugikan diri
mereka sendiri kerana mereka telah menolak kebenaran dan hidup tanpa petunjuk
Allah swt.
Perniagaan mereka bukan sekadar rugi namun terpaksa menanggung rugi
(azab) di Mahsyar kelak. Ini kerana mereka sedang membeli kekufuran dan
meninggalkan petunjuk Allah. Mereka sedang menempah bilik-bilik khas di dalam
neraka.
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِالْهُدَىٰ وَالْعَذَابَ
بِالْمَغْفِرَةِ ۚ فَمَا أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ
"Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan
meninggalkan petunjuk (agama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan
meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung
seksa api neraka itu" [Surah al-Baqarah 175]
Zaman kita hidup pada hari ini, terdapat banyak majlis ilmu, bahan
bacaan agama, tulisan ilmiah, program motivasi kecemerlangan, nasihat dan
peringatan daripada alim ulama, kolej dan universiti pun cukup banyak,
teknologi semakin mengagumkan, pembangunan lahiriah mencakar langit, kepandaian
semakin hebat, pendek kata serba serbi ada tetapi manusia memilih untuk hidup
dalam keadaan berpecah-belah, bergelumang dengan rasuah, tipu menipu, terlibat
dengan dadah, mabuk arak, hasad dengki, sombong angkuh, mementingkan diri,
fitnah memfitnah, umpat keji, adu domba, tindas menindas dan 1001 macam lagi
penyakit kehidupan sedang melanda manusia zaman canggih ini. Ini kerana mereka
memilih kesesatan maka Allah telah mengunci mati hati mereka dan telah
membutakan pandangan mereka dari petunjukNya sehingga tertutup pandangan mereka
dan tidak dapat melihat kebaikan serta tidak dapat menemukan jalan keluar,
walaupun mata mereka melihat, tetapi hati mereka telah buta.
ۖ فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ
الَّتِي فِي الصُّدُورِ
"Maka sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta
itu ialah mata hati yang ada di dalam dada" [Surah al-Hajj 46]
Malah, di akhirat kelak mereka di azab dengan dahsyat sekali serta tiada
sesiapa pun yang dapat membantu mereka.
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ
تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan
yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak
sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka" [Surah
an-Nisa' 145]
♡Semoga Allah menjauhkan kita daripada sifat-sifat
munafik dan memelihara iman kita sebaik-baiknya. Aamiiin♡
No comments:
Post a Comment