Dalam sebuah kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari Oxford University, didapati bahawa antara punca anak-anak kecil seawal usia satu tahun mempunyai masalah tingkah laku (tantrum sebagai contoh) adalah kerana hilangnya ayah dalam dunia mereka.
Bahkan dalam banyak lagi kajian lain di peringkat umur yang berbeza-beza,peranan ayah pada usia awal kanak-kanak (0-5 tahun) adalah antara penentu kepada sikap kanak-kanak pada usia remaja. Baik peranan ayahnya, baiklah anak itu, buruk peranan ayahnya, maka buruklah anak itu.
Dengan kata lain, ayah yang tidak berperanan seperti yang sepatutnya terhadap anak-anak sejak kecil, akan merosakkan tingkah laku anak-anak tersebut. Begitulah besarnya peranan seorang ayah seperti yang dibuktikan oleh kajian sains.
Ini sebenarnya telah ditegaskan lebih awal di dalam Al Quran, di mana kisah pendidikan anak-anak antara ayah dan anaknya lebih banyak berbanding kisah di antara ibu dan anak.
Antaranya adalah kisah Nabi Ibrahim berdoa untuk anaknya selepas membina Kaabah, kisah Nabi Ibrahim berbincang dengan anaknya Ismail (sebelum penyembelihan), kisah doa Nabi Zakaria untuk mendapatkan anak, kisah nasihat Luqman kepada anaknya, kisah Nabi Yaakub bersama anak-anaknya di dalam surah Yusuf dan ketika hampir saat kematiannya di dalam surah Baqarah, kisah nasihat Nabi Ismail dan ahli keluarganya di dalam surah Maryam dan banyak lagi.
Ya, dalam tarbiatul aulad, kisah-kisah dari Al Quran lebih berat terhadap peranan ayah dalam pendidikan anak-anak, kerana itulah yang sepatutnya.
Justeru itu wahai ayah, jangan sia-siakan amanah yang sedang membesar di hadapan mata. Tanggungjawab mendidik anak-anak jangan dilepaskan hanya kepada isteri, apatah lagi orang tua kita.
Nikmatilah saat-saat berharga bersama anak-anak yang tidak akan dapat diulang kembali.
Ciptalah momen-momen indah bersama anak-anak ketika usia kecilnya kerana momen-momen ini, akan diingati hingga mati oleh anak-anak.
[Bahan tulisan Hisyam Asyraf]
No comments:
Post a Comment