Friday, October 31, 2014
Demi Masa
Dunia ini umpama sebuah gedung beli-belah yang amat besar, disediakan oleh Allah untuk manusia membeli keperluan bagi dibawa pulang ke rumah akhirat. Setiap manusia dibekalkan dengan matawang berupa MASA yang terhad jumlahnya mengikut ketentuan Maha Pencipta. Yang bijak sentiasa beringat-ingat dan hanya membelanjakan wang MASA yang terhad itu semaksimum mungkin ke arah perkara-perkara penting lagi baik seperti yang diperintah oleh Allah dan diajarkan oleh Rasul-Nya. Ketika membelah-belah itu dia tidak pernah lupa memohon rahmat-Nya kerana dia sedar kebaikan yang dibelinya tidak mempunyai apa-apa nilai tanpa rahmat Yang Maha Agung. Yang boros pula berbelanja mengikut hawa nafsu ke arah perkara-perkara yang tiada nilai langsung malah buruk sekali. Tidak terfikir olehnya bahawa wang MASA itu akan habis jua suatu hari nanti. Baginya hidup hanya sekali dan mesti “enjoy” selalu. Taubat boleh ditangguhkan bila dia bersedia nanti.
Yang bijak pulang ke rumah akhirat dengan beg-beg yang sarat dengan pahala. Maka beruntunglah dia. Yang boros pulang dengan diri bersalut dosa. Maka rugilah dia.
Allah berfirman:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.” (Surah Al Asr)--------------------------
Manfaatkan masa dengan qiamullail. Tip untuk mudah bangun awal:
• Tidur awal.
• Niat untuk bangun awal.
• Pastikan tidur dalam keadaan suci (berwuduk) dan membaca doa-doa yang disarankan oleh Nabi s.a.w. Antaranya membaca 3 Qul (al-Ikhlas, al-Falaq, An-Nas), lalu ditiupkan di tapak tangan dan disapukan ke seluruh badan . Kemudian tidur dalam keadaan mengiring dan rusuk kanan ke bawah.
• Untuk lebih membantu, kunci jam loceng. Jangan letakkan jam berhampiran kerana dibimbangi tangan akan cepat menutup bunyi jam dan sambung tidur.
• Sebaik-baiknya tidur sebentar waktu tengah hari sebelum masuk zohor atau qailulah. In sya Allah kita akan lebih selesa untuk bangun awal.
--------------------------------------------------------
POSISI TIDUR RASULULLAH SAW
Abu Qatadah meriwayatkan: “ Jika Rasulullah saw hendak tidur pada waktu malam, Baginda akan baring menghadap ke kanan. Jika Baginda hendak tidur sebentar sebelum Subuh, Baginda akan menegakkan lengan dan meletakkan kepala di atas telapak tangan.” (Riwayat al-Tirmizi, Muslim, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan al-Hakim)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment