Memilih
Anak arnab sedia berpisah dengan ibunya sewaktu berusia sembilan bulan. Sebaiknya arnab untuk peliharaan dibeli pada usia ini kerana mudah dijinakkan. Pastikan tidak ada kesan luka, ketulan atau bintik merah pada kulit arnab. Arnab yang sihat boleh dikesan menerusi susuk tubuh dan pergerakannya . Jika berisi, bermata cerah, berhidung bersih dan berbulu licin berkilat, itu tanda ia sihat. Perhatikan juga gelagat arnab, cari yang cergas, kemudian usap tubuhnya sebelum membeli. Jangan lupa tanya penjual mengenai jantina arnab.
Persediaan
Sediakan bekas sesuai untuk membawa pulang arnab, sama ada menggunakan kotak atau beli sangkar khas. Kotak harus dibuatkan lubang supaya arnab tidak lemas.
Sebaik pulang, pegang arnab dan usap tubuhnya perlahan-lahan dan masukkan ke dalam sangkar di rumah.
Di peringkat awal, ia mungkin menunjukkan reaksi kurang selesa dan takut kerana belum serasi dengan tempat tinggal baru. Ini akan mengambil masa beberapa hari. Seeloknya tinggalkan arnab dalam sangkarnya selama dua hari. Jangan dilkeluarkan bagi membiasakannya tinggal di dalam sangkar baru itu.
Sangkar
Ia boleh diperbuat daripada kayu dan jaring dawai atau daripada dawai sepenuhnya. Sebaiknya pilih sangkar yang mempunyai dua ruang untuk beristirahat dan bermain serta satu lagi ruang tidur, makan dan bersembunyi. Letakkannya di anjung hadapan atau belakang rumah di tempat teduh serta terlindung daripada tempias hujan dan angin.
Ukuran sangkar sekurang-kurangnya 90 sentimeter dan ketinggiannya cukup untuk arnab berdiri di dalamnya. Sangkar berkaki boleh mengelak dasarnya bersentuhan dengan lantai atau tanah dan bumbungnya pula kalis air. Lapik lantai sangkar dan taburkan serbuk kayu ketam atau rumput kering agar arnab boleh membuat sendiri alas tidur daripadanya.
Sediakan bekas makanan yang tidak mudah terbalik dan gantungkan botol minuman yang mempunyai penyedut logam di bahagian mulut untuk memudahkan arnab menyedut air.
Reban
Berukuran lebih besar daripada sangkar, reban boleh memuatkan lebih banyak arnab. Ramai yang menyediakan reban kekal untuk arnab ternakan, sedangkan sebaiknya sediakan jenis yang boleh dipindahkan kedudukannya untuk kemudahan menyesuaikan arnab dengan keadaan persekitaran dan cuaca.
Boleh diperbuat daripada kayu dan jaring dawai, reban arnab seharusnya mempunyai dua ruang iaitu yang dilindungi dan terdedah. Bahagian yang berbumbung boleh menggunakan kayu dan zink manakala yang terdedah menggunakan jaring dawai. Sediakan pintu untuk kemudahan arnab keluar dan masuk ke ruang berbumbung dan terdedah. Ruang berbumbung tempat ia makan, beristirahat dan tidur manakala terdedah tempat ia bermain, mengambil udara segar dan makan. Ukuran reban yang sesuai ialah
2 x 1 meter.
Sebaiknya letak reban yang berlantaikan dawai kasar di kawasan berumput agar arnab boleh meragut rumput dari celah jaringan. Pastikan juga rumput atau daun pokok yang dimakannya tidak beracun. Jika rumput sudah pendek, pindahkan reban itu ke tempat lain.
Sesekali bebaskan arnab di halaman dan pastikan tiada ruang yang membolehkannya bolos keluar menerusi pagar rumah.Oleh kerana arnab tidak suka tempat yang terlalu panas dan sejuk, maka letak reban di tempat teduh dan jauh daripada panas terik matahari dan hujan.
Kebersihan
Jika arnab kuat menggaru, mungkin badannya ada kutu. Oleh itu pakai sarung tangan, keluarkan arnab dari sangkar/rebannya. Cuci sangkar/reban menggunakan ubat kutu serbuk yang boleh dibeli di kedai haiwan peliharaan. Taburkan juga ubat itu pada badan arnab.
Membuang Najis
Ketika membebaskan arnab, perhatikan di mana ia suka membuang najis dan letakkan dulang najis di situ. Isikan dulang dengan serbuk kayu ketam, kosongkan setiap hari dan bersihkannya dengan bahan pembunuh bakteria setiap minggu. Jika arnab membuang najis di luar dulang, sapukan cuka di kawasan lantai berkenaan. Arnab tidak suka bauan yang kuat.
No comments:
Post a Comment