Tuesday, February 15, 2011

Pemilihan Pokok Di Laman Terapi

serenemaklong.blogspot.com

Selain mencantikkan laman, masyarakat dahulu memilih pokok berdasarkan kepada  unsur budaya, kegunaan harian, makanan, ubatan dan juga dari segi unsur terapinya.

Pokok mesra alam (eco-friendly plants)
Pokok jenis ini menyamankan udara dengan meninggikan kelembapan dan menurunkan suhu persekitaran secara berkesan. Ia juga diguna sebagai tanaman dalam rumah yang mampu menyahkan gas toksin seperti formaldehyde, ammonia dan xylene yang dihasilkan oleh cat, permaidani rumah, gas masakan dsb. Contoh: goldane cane palm (Dypsis lutescens), jenjuang (Dracaena deremensis) dan beringin (ficus benjamina).

Pokok aromatik
Sebelum menanam, lakukan kajian mengenai jenis pokok yang mempunyai nilai atau maksud tertentu kepada pengguna. Contoh: cempaka (Michelia champaka) ditanam untuk baunya manakala bunganya digunakan oleh mereka yang mengamalkan mandi bunga. Selain untuk menyamankan udara, tumbuhan aromatik berperanan menarik perhatian serangga seperti kupu-kupu, lebah dsb. Contoh lain: kemuning (Murraya paniculata), melur (Jasminum sambac) dan kesidang (Vallaris glabra).

Pokok Ulaman
Pokok ini ada nilai estetika dan bertindak sebagai antoksidan yang membantu proses metabolisme badan. Untuk nilai estetika, aturan penanaman yang betul seperti ketinggian tumbuhan dan jarak yang sesuai perlu dititikberatkan. Contoh: peria katak (momordica subangulata), pegaga (centella asiatica), pudina (menthe arrensis), kacang telang, serai kayu, serai, mengkudu dan kantan.

Pokok bunga berwarna
Tumbuhan berwarna terang menceriakan suasana dan mampu merangsang deria penglihatan. Ia juga menarik perhatian serangga sebagai penyeri laman. Contoh: bunga pukul 10 (Tumera ulmifolia), bunga kertas (bougainvillea spp) dan melati cina (Wrightia antidysentrica).

Tumbuhan bunga dan ulaman ditanam dalam bekas penanaman yang ditinggikan daripada aras bumi untuk kemudahan penyelenggaraan serta memudahkan pengguna yang mempunyai keupayaan terhad.

Tanaman herba
Tanaman herba bertindak menutup bumi, penghadang rendah dan penunjuk arah di sepanjang laluan di samping memberi warna yang menarik. Contoh: violet filipina (Barleria cristata), false lavender (Angelonia salicariaefolia) dan bunga firecracker (crossandra infundibuliformis).

Pokok beracun
Elakkan penanaman tumbuhan berduri atau toksik di laman terapi. Jika terkena bahagian pokok yang beracun boleh meninggalkan kesan seperti khayal atau berhalusinasi. Kadangkala boleh membawa maut. Contoh: kecubung (Datura meteh), mediterranean cane (Nerium oleander) dan buta-buta (Excoecaria cochinchiensis). Begitupun ada di antara tumbuhan ini ditanam di laman kerana bunganya yang cantik.

Tumbuhan akuatik
Tumbuhan ini menyerikan kolam ikan atau pancuran air (water feature) di laman. Tumbuhan jenis ini berupaya mewujudkan ekosistem kepada lanskap laman supaya kelihatan lebih hidup dan mendatangkan manfaat. Justeru, ikan dan organisme air yang lain  boleh hidup di dalamnya kerana kehadiran tumbuhan tersebut membantu mengawal suhu air. Akar tumbuhan akuatik turut berfungsi sebagai penyerap nutrisi yang mungkin mengotorkan air dan oksigen tanaman yang terendam dalam kolam. Hidupan bukan air gemar bermain di permukaan air contoh, pepatung dan rama-rama.

Tumbuhan akuatik yang tenggelam mempunyai akar pada dasar dan bahagian pokok tenggelam sepenuhnya. Ia melepaskan oksigen dan kelihatan gelembung atau buih pada permukaan kolam, Contoh:Ceratophyllum Demersum, Hygrophila Difformis (Wisteria Air), Sagittaria Subuluta, dan rumpai belut (Villisneria Spiralis). Tumbuhan ini lebih sesuai untuk akarium.

Tumbuhan yang hidup di permukaan berakar di kawasan cetek dengan kedalaman 45 sm. Biasanya bahagian atas pokok akan muncul di permukaan air. Daunnya lebih lebar dan melebar di atas air untuk menyerap cahaya matahari sebanyak mungkin. Contoh: teratai Nelumbo, iris dan lili air.

Tumbuhan separa akuatik hidup melata di atas tanah dan boleh hidup di kawasan berair. Contoh: kangkung, pegaga, padi, melati air (Shallow Water-Aztec Arrowhead)  dan rumpai papyrus.

Tumbuhan terapung mempunyai ruang udara terperangkap pada akar atau pada bahagian lain bagi membantu ia terapung dan menerima cahaya matahari. Mempunyairerambut yang memerangkap udara. Bahagian atau daun tuimbuhan terapung di permukaan manakala akarnya terendam di dalam air. Contoh: keladi bunting, kiambang, Duckweed, Azolla Caroliniana (lumut pari-pari) dan Hydrocharis Morsus-Ranae (Frog’s Bit)

Penggunaan pelbagai tekstur tumbuhan ulaman dan penyedap di taman dapur boleh diintegrasikan dengan tumbuhan komersial lain untuk membentuk lanskap menjadi lebih menarik.

No comments:

Post a Comment