Pernah mendengar mengenai penyakit DVT?
Ia adalah penyakit yang digelar “sindrom kelas ekonomi” kerana dialami oleh penumpang yang menaiki pesawat kelas ekonomi. Nama sebenarnya ialah venous thromboembolism (VTE), yang termasuk juga deep vein thrombosis (DVT) dan pulmonary embolism (PE).
DVT adalah pembentukan kempal darah (blood clot) yang berlaku jauh dalam vena tubuh, lazimnya di vena kaki. Kempal yang dinamakan thrombus itu menyekat aliran darah menerusi vena secara separa atau menyeluruh. Vena dalam kaki terletak berhampiran dengan tulang dan dibaluti oleh otot-otot kaki yang kuat. 70-80% DVT berlaku dalam vena popliteal di lutut dan vena superficial femoral dalam peha. Sementara itu 20-30% lagi berlaku di betis iaitu dalam vena anterior tibia dan vena peroneal serta posterior tibia.
Terdapat dua kumpulan faktor yang membawa risiko. Pertama, faktor pesakit dan kedua, faktor luaran seperti pembedahan.
Pesakit berusia lebih 60 tahun dengan indeks jisim tubuh (BMI) melebihi 30kg/m2 serta pernah mengidap VTE mempunyai risiko lebih tinggi. Turut berisiko tinggi ialah pesakit kardiovaskular serta pesakit vena varikos. Ia juga menyerang mereka yang mewarisi penyakit thrombophilia (sekumpulan penyakit genetik yang diwarisi sebahagian atau seluruhnya), perokok, serta mereka yang mempunyai darah mudah berkempal.
Pesakit kanser, sama ada yang pernah menjalani pembedahan atau hanya menjalani rawatan kimoterapi turut tidak terkecuali. Oleh kerana itu, kanser merupakan petunjuk kukuh terhadap risiko DVT.
Penumpang yang membuat perjalanan udara yang jauh melebihi tiga jam dengan pergerakan yang terhad dalam ruang yang sempit, serta kurang minum air tetapi mengambil pula alkohol adalah amat berisiko. Ini diburukkan lagi dengan altitud tinggi yang mengurangkan penyerapan oksigen ke dalam darah.
Serangan jantung, angin ahmar, kegagalan jantung, kegagalan respiratori, sindrom nefrotik dan penyakit radang bowel adalah beberapa penyakit di mana pesakit diketahui mempunyai risiko lebih tinggi terhadap DVT, sama ada sebelum atau selepas pembedahan.
Selain itu terdapat juga risiko khusus bagi wanita, seperti terapi penggantian hormon (HRT), pengambilan pil perancang keluarga dan kehamilan. Wanita yang mempunyai indeks jisim tubuh melebihi 35, mengidap hipertensi dan pernah mengalami VTE mempunyai risiko paling tinggi dan tidak harus mengambil pil perancang keluarga.
DVT adalah penyakit yang menyerang secara senyap. 40% hingga 50% sukar dikesan awal. Simtom hanya muncul setelah penyakit menjadi teruk. Ketika itu agak terlewat untuk bertindak. Di antara simtomnya ialah rasa sakit di kaki terutama di bahagian betis, kaki bengkak dan merah serta terasa panas, kulit menjadi kebiru-biruan, dan rasa tidak selesa bila kaki ditarik ke atas.
DVT boleh membawa akibat yang serius. Kempal darah dalam DVT lazimnya tetap terlekat pada dinding saluran darah. Komplikasi yang mungkin berlaku ialah pulmonari embolisme (PE), sindrom pasca-trombotik dan hipertensi pulmonari. Pesakit pulmonari embolisme akan mati mendadak jika tidak dirawat segera.
Kira-kira 3.8% pesakit DVT mengalami hipertensi pulmonari selepas dua tahun. Bagaimanapun, petunjuk risiko boleh diramal jika digabungkan semua tanda dan simtom yang ada pada pesakit yang disyaki mengidap DVT. Berpandukan itu pengamal perubatan boleh menguruskan pesakit dengan menggunakan langkah-langkah pencegahan “thromboprophylaxis tools” yang betul.
Langkah thromboprophylaxis paling lazim digunakan ialah mechanical prophylaxis, di mana pilihannya adalah di antara stoking tekanan bergred, peranti tekanan pneumatik yang tidak terus menerus, peranti impuls kaki dan rangsangan elektrik. Jika digunakan dengan betul semua peranti ini boleh mengurangkan DVT sebanyak 44%.
Kaedah ubat-ubatan melibatkan penggunaan aspirin, heparin serta antikempalan oral seperti warfarin. Bagaimanapun, heparin paling banyak dipreskripsi kerana lebih selamat, mudah diguna dan dipantau serta mempunyai kemujaraban yang setanding. Bila diguna dalam keadaan yang sesuai, ia mengurangkan DVT kira-kira 68% hingga 76%.
Pengamal perubatan dan pesakit patut bekerjasama untuk mengelakkan risiko DVT dengan cara menangani penyakit ini sebaik yang boleh.
No comments:
Post a Comment