Tuesday, January 4, 2011

Bersyukur

Jika diharap kepuasan pemberian orang, kita tidak akan benar-benar puas.
Jika kebahagiaan berlandaskan wang, kebahagiaan sejati tidak mungkin bertunas.
Cukup dengan keadaan seadanya.
Jika tiada rasa kekurangan, seluruh dunia memang milik kita


Kesyukuran adalah emosi atau sikap positif seseorang setelah memperoleh atau akan memperoleh sesuatu kebaikan. Kesyukuran terjadi bila hati terbuka secara spontan tatkala  melihat keajaiban kehidupan ciptaan Tuhan yang dilalui, saat demi saat. Kesyukuran juga terjadi bila hati memutuskan untuk menumpu ke atas perkara positif berbanding perkara negatif.  


Jika berada di bawah tekanan, yang ternampak hanya masalah atau kesukaran. Kita rasa terbeban oleh kedukaan, putus asa atau kemarahan yang timbul apabila memikirkan keadaan diri  ketika itu, seolah-olah tiada lagi jalan keluar.


Bila timbul rasa syukur, dunia terasa lebih terang dan berbagai pilihan lain mula terpampang di hadapan mata. Kesyukuran menimbulkan rasa puas yang melimpah. Kebaikan sebenar terhasil daripada limpahan kepuasan ini. Bagaikan suatu pusingan di mana lebih banyak kita bersyukur, lebih banyak yang kita hulur, lebih banyak pula yang kita peroleh – kasih sayang, sanjungan, kekayaan dan halatuju kehidupan. Orang yang banyak bersyukur mempunyai tahap kesejahteraan lebih tinggi.


Emosi positif seperti kesyukuran dan kasih sayang menguatkan sistem imun tubuh badan  menerusi pembebasan hormon endorfin ke dalam peredaran darah, membolehkan tubuh menentang penyakit dan cepat pula sembuh bila jatuh sakit. Endorfin adalah “ubat” penahan sakit semula jadi tubuh. Rangsangan yang dihasilkannya membuka pembuluh darah, membawakan keadaan tenang pada jantung.    


Sebaliknya, emosi negatif seperti kekecewaan, kebimbangan dan keresahan meningkatkan paras adrenalin dalam tubuh yang mampu menyebabkan penyakit jantung dan angin ahmar. Adrenalin menyempitkan pembuluh darah, meningkatkan tekanan darah dan berpotensi merosakkan jantung serta arteri dalam jangka masa panjang.


Untuk menyemai rasa bersyukur di dalam hati, cuba elakkan diri daripada keluar membeli-belah. Sebaliknya lihat pada keadaan diri sendiri dan alam sekeliling. Ucapkan syukur ke atas kewujudan setiap benda dilihat oleh mata. Mungkin selepas itu tidak timbul lagi rasa hendak keluar membeli-belah dan membazirkan wang ke atas benda yang bukan keperluan.


Hargai benda-benda yang selama ini kita tidak perasan akan kehadirannya – bunga  berkembang di taman, bau harum makanan, kelembutan kulit anak kecil. Tumpukan perhatian ke atas apa yang kita perlukan, bukan apa yang kita mahu. Hidup menjadi lebih ringkas dan kesyukuran mudah muncul.     

  
Cari hikmah yang terselindung di sebalik setiap kejadian yang baik mahupun buruk. Setiap satu kejadian memperkasakan kekuatan dalaman kita, mengajar kita erti kesabaran dan tidak berprasangka buruk.


Musuh kesyukuran ialah dendam dan kebencian. Berfikir secara berlebihan mengenai perkara yang disangka akan berlaku pada masa hadapan sedangkan ia masih belum tentu datang akan mewujudkan kekecewaan. Jangan dikenang masa silam kerana ia tidak mungkin kembali lagi.


Maafkan orang atau lupakan kenangan yang menimbulkan perasaan negatif ini. Kemaafan akan membebaskan diri kita daripada ikatan perasaan bahawa kita adalah mangsa, dengan itu  memudahkan kita bergerak maju ke hadapan tanpa rasa terbeban. Satu hari nanti bila kita rasa benar-benar bersyukur pada orang atau kenangan pahit itu, bererti kita sesungguhnya telah  memaafkan dan melupakannya.    


Jangan fikirkan perkara lain ketika melakukan sesuatu perkara. Sebaliknya wujudkan kesedaran dalam setiap rutin harian. Rasakan betapa kuatnya kaki sihat yang membawa kita berjalan, alangkah perisanya makanan yang dikunyah di dalam mulut, dan kegembiraan yang hadir ketika menerima panggilan daripada kawan lama. Jalanilah kehidupan dalam saat sekarang.
 

No comments:

Post a Comment