serenemaklong.blogspot.com
PADA zaman moden ini terlalu
banyak penipuan yang berlaku. Saya
pernah mengutarakan beberapa artikel mengenainya yang dipetik daripada majalah Personel Money iaitu Avoiding The Scam Trap dan Identity Theft pada 15 Mei 2011, (juga terjemahan kedua-duanya bertajuk Jangan Ditipu dan Tertipu serta Kecurian Identiti).
Penipu bukan sahaja
menggunakan teknologi IT masa kini, malah turut mengaplikasi teknologi Harut
Marut zaman Nabi Musa a.s berupa Pukau (14
Oktober 2011).
Sudahlah duit, barang kemas
dan barang berharga mudah alih kena kebas, tanah pun turut disapu. Hanya
berbekalkan Mykad palsu, ahli sindiket boleh menipu pejabat tanah dan
mendapatkan geran asal tanah yang dikehendaki hanya dalam 30 minit.
Ini semua berlaku kerana
pejabat tanah tidak mempunyai kaedah tertentu bagi memastikan geran tanah
diberikan kepada pemilik berhak. Adakalanya pengimbas cap jari offline dan sistemnya tidak dipautkan ke
agensi-agensi kerajaan lain, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara. Pejabat
daerah pula langsung tidak mempunyai pengimbas cap jari.
Sindiket ini memang pakar
dalam proses urusan tanah. Yang menjadi sasaran ialah tanah pegangan bebas,
tanah tanpa sebarang gadaijanji, tanah yang telah dijelaskan bayarannya oleh
pemilik atau tanah yang bernilai jutaan ringgit. Tanah dijual pada harga
lebih rendah daripada harga pasaran bagi memudahkan mereka melupuskannya.
Faktor
penyumbang penipuan tanah ialah tanah yang terbiar tanpa sebarang kegiatan,
tanah yang tidak dibayar cukai untuk tempoh yang lama, keselamatan tanah tidak
dijaga, proses pendaftaran tanah yang lemah, pemilik tidak jelas mengenai
proses pindahmilik tanah, butiran peribadi pemilik tidak dikemaskini, dan
pemilik sering berada di luar kawasan atau di luar negara.
Masalah ini
paling ketara di kawasan pesat membangun dengan ruang tanah terhad seperti di
Kuala Lumpur, Selangor dan beberapa bahagian negeri Johor serta Pulau Pinang.
Dikatakan
juga bahawa peguam tidak dikehendaki memeriksa kesahihan sesuatu Mykad dengan
Jabatan Pendaftaran Negara. Peguam
memerlukan geran, MyKad Penjual, resit cukai tanah dan pembeli tanah tersebut.
Selepas itu peguam akan membuat carian di pejabat tanah bagi memastikan tanah
tersebut adalah milik sebenar penjual sebelum menyediakan perjanjian jual-beli.
Namun saya percaya ada di antara
peguam yang bersekongkol dengan sindiket penipuan ini. Sebagai contoh, pada
2005 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah mengenakan denda RM500,000 ke atas
seorang peguam kerana bertindak sebagai wakil
penjual tanpa lesen sah.
Dikatakan pihak kerajaan kini sedang
dalam proses memperkenalkan sistem biometrik yang melibatkan seluruh negara dan
bakal membanteras kegiatan penipuan tanah. Namun ia memerlukan masa agak lama
untuk dilaksanakan sepenuhnya kerana membabitkan seluruh negara dan
undang-undang bagi mensepadu berbagai agensi, terutama Jabatan Pendaftaran
Negara.
Pada masa ini
Pejabat Tanah dan Galian Selangor telah membangunkan pangkalan data wakil-wakil
peguam di negeri tersebut. Jika seseorang itu tiada dalam senarai tersebut,
firma guaman akan dihubungi bagi mendapatkan butiran lanjut sebelum pihak
berkuasa bertindak ke atas individu tersebut.
Apapun, saya
percaya pemilik tanah patut bertanggungjawab ke atas tanah masing-masing.
Bukankah itu tanah persendirian? Mana boleh tanggungjawab itu dilepaskan kepada
pihak berkuasa kerajaan negeri pula. Mereka harus menyemak status tanah masing-masing dengan pejabat tanah
atau pejabat daerah dari semasa ke semasa.
Bagi memastikan keselamatan, pemilik
hendaklah melakukan beberapa kegiatan di tanah berkenaan, contohnya memagar
atau menempatkan pengawal bagi menjaga kawasan tersebut.
Pembeli juga harus berhati-hati
ketika membeli tanah yang harganya di bawah nilai pasaran. Kemungkinan besar
tanah itu tanah sindiket penipuan. Bila sesuatu yang buruk berlaku, jangan
menuding jari kepada pihak lain.
Modus
operandi sindiket penipuan
Penipuan tandatangan
Tandatangan pemilik tanah sah ditiru
ke atas borang pemilikan.
Memalsukan kad pengenalan, salinan
CTC (salinan sebenar yang sah) dan surat perjanjian.
Mendapatkan satu salinan CTC yang
diimbas ke atas kertas keselamatan yang dicuri, atau menggunakan Kad Pengenalan pemilik yang telah
dipinda.
Menyamar sebagai pemilik tanah,
mendapatkan khidmat peguam tidak beretika sebagai saksi, atau peguam bertindak
bagi pihak pemilik.
Penyamar mempunyai nama yang sama
dengan nama pemilik sebenar dan mengisytihar dirinya sebagai pemilik sah;
mendapatkan khidmat peguam disenaraihitam untuk menjadi saksi dalam urusan
menurunkan tandatangan ke atas perjanjian jual-beli (S&P) atau apa-apa
urusan lain; mengambil khidmat peguam tidak berdaftar dengan mana-mana pihak
untuk bertindak bagi pihak pemilik.
Manipulasi
perjanjian jual-beli (S&P)
Perjanjian
didraf secara kurang jelas atau perjanjian itu tidak lengkap.
Sindiket menggodam sistem komputer pendaftaran
tanah untuk meminda butiran pemilikan.