Sunday, June 19, 2011

Selamat Tinggal Stesen Keretapi Tanjung Pagar

serenemaklong.blogspot.com

Stesen Keretapi Tanjung Pagar yang berkeluasan 217 hektar telah dibina pada 1918 di Keppel Road bagi menggantikan terminal keretapi pertama di Tank Road.

Melalui Perjanjian 1918, Kerajaan Singapura bersetuju memajakkan tanah itu kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk tempoh 999 tahun. Menurut perjanjian itu KTMB hanya dibenarkan menggunakan tanah berkenaan bagi tujuan perkhidmatan keretapi. Jika KTMB tidak memerlukannya lagi, tanah tersebut perlu dikembalikan kepada Singapura. Perjanjian itu turut melibatkan laluan landasan sepanjang kira-kira 30 kilometer yang merentasi bahagian tengah pulau berkenaan.

Bangunan stesen yang dipengaruhi oleh ciri-ciri kesenian stesen keretapi Helsinki, Finland ini direka oleh Eliel Saarinen. Pintu masuk ke stesen dihiasi dengan ukiran empat menara patung yang melambangkan sosioekonomi Tanah Melayu ketika itu iaitu pertanian, perdagangan, pengangkutan dan perindustrian. Stesen ini juga pernah mempunyai hotel untuk memberi kemudahan penginapan kepada para pelancong.

Suatu ketika dahulu, stesen keretapi ini sibuk kerana kebanyakan orang masih memilih perkhidmatan tren untuk pergi ke Kuala Lumpur, utara mahupun pantai timur Semenanjung. Ia juga dilengkapi dengan medan selera, bilik mandi dan gerai jualan.

Apabila perkhidmatan tren mewah Eastern & Oriental Express diperkenalkan, ia berjaya menarik lebih ramai penumpang yang memilih stesen itu sebagai tempat memulakan perjalanan ke stesen lain. 

Stesen Tanjung Pagar pernah digunakan untuk penggambaran filem-filem arahan P. Ramlee seperti Ibu Mertuaku dan Anakku Sazali.

Stesen itu melakar sejarah awal perkhidmatan keretapi dari Tanah Melayu ke Singapura. Walaupun terletak di negara lain, ia merupakan pintu masuk ke negara ini bagi mereka yang memilih memasuki Malaysia dari Singapura menggunakan perkhidmatan keretapi. Ia juga adalah hentian keretapi terakhir dalam jaringan pengangkutan keretapi di benua Asia.

Namun kini stesen berusia 92 tahun itu tinggal sebagai monumen sejarah kerana perkhidmatan KTMB telah dipindahkan ke Pusat Pemeriksaan Keretapi Woodlands (WTCP).
 (Diadaptasi dari rencana keluaran Majalah Holistik) 

No comments:

Post a Comment