Monday, May 30, 2016

Catatan Amalan Di Mahsyar


Setiap manusia akan mengambil kitabnya kecuali para malaikat dan orang-orang yang di jamin masuk syurga tanpa hisab yang akan dipimpin olih Abu Bakr as shiddiq

Saat seseorang hamba meninggal dunia buku catatan amalnya disimpan di dalam "almari" di bawah ‘Arsy. Kelak setelah semua manusia berkumpul di padang mahsyar, Allah mengutus angin yang akan membawa terbang buku catatan amal pemiliknya dan digantung di leher masing-masing.

Kemudian malaikat memanggil mereka dan mengambil buku dari leher masing-masing, lalu diberikan ke tangan mereka. Orang mukmin akan mendapati huruf catatan amalnya ada yang terang adan ada yang gelap sesuai dengan amalnya. Sedangkan si kafir akan mendapati huruf catatan amalnya hitam semua.
Wajah orang mukmin akan bersinar saat membaca catatan amalnya manakala wajah si kafir akan muram menghitam.

Setiap amal buruk akan di balas dengan azab, dan balasan amal kebaikan meskipun sebesar zarahpun akan di balas dengan dengan baik bahkan berlipat ganda. Hal ini semata-mata merupakan anugerah dan kemurahan dari Allah.


Seandainya hati menjadi rapuh lantaran kegetiran hidup, maka bacalah:

Yaa Baaqi, Anta Al Baaqi
Wahai yang Maha Kekal
Engkaulah yang Maha Kekal

Segala sesuatu pasti musnah kecuali zat-Nya. Zikir ini merupakan rawatan mujarab dan pemyembuh bagi luka-luka maknawi di dunia yang fana. Lalu keadaan jiwa yang pedih, gelap dan menakutkan tadi akan menjadi lapang, nikmat dan menyenangkan saat lisan dan qalbu menyatu ketika mengulang ulangi zikir ini.

~ Sila amalkan ~

[Ustazah Siti Nurbaya Usman]

Kegunaan Lain Baking Soda

Jika selama ini kita menggunakan Baking Soda, kekadang orang Melayu menamakannya Serbuk Penaik untuk penyediaan makanan khususnya kek dan biskut, ia sebenarnya mempunyai banyak kegunaan lain seperti:

1. Deodoran semulajadi - Caranya, basahkan ketiak seadanya, lepas itu tepek baking soda seperti menepek bedak.

2. Menghilangkan kesan peluh, daki dan minyak - Caranya, rendam baju kotor tersebut dalam air sabun yang bercampur sedikit baking soda.

3. Gunakan sebagai bahan berkumur - Caranya, campurkan baking soda dengan air dan gunakan untuk berkumur.

4. Skrub muka - Caranya, campurkan baking soda dengan sedikit air sampai menjadi pes. Gosokkan pada kulit muka.

5. Pembersih sikat dan berus rambut - Caranya, bancuh baking soda dengan air suam. Rendam sikat dan berus dalam air itu selama 30 minit, kemudian bilas dengan air bersih.

6. Skrub badan - Caranya, campurkan baking sooda dengan sedikit garam. Sentalkan ke kulit badan. Kalau suka berendam pula, campurkan baking soda dengan garam dalam air rendaman. Boleh tambah wangian dalam air itu jika suka.

7. Pemutih gigi - Caranya, seminggu sekali semasa menggosok gigi, cuba campurkan baking soda dengan ubat gigi, kemudian gosok gigi seperti biasa.

8. Menghilangkan kegatalan kulit akibat digigit nyamuk - Caranya, campurkan baking soda dengan sedikit air sampai menjadi pes. Sapu ke tempat yang digigit nyamuk.

9. Merawat sunburn atau luka akibat pisu cukur, gunakan kaedah seperti gigitan nyamuk.

10. Membersihkan karpet yang kotor - Caranya, taburkan baking soda di atas karpet. Kemudian vakum untuk membersihkannya.

11. Melembutkan daging - Caranya, rebus daging dengan sedikit baking soda.

[Kredit SYANI]

Sunday, May 29, 2016

Nasihat Pak Sheikh al Qadir


Hadamkan nasihat dari Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani ini:

"Jangan engkau mendakwa dirimu sebagai Allah, tatkala engkau mahukan semua kehendakmu berlaku. Engkau mahu semua yang engkau hajatkan menjadi kenyataan. Ketika engkau mempunyai harapan yang begitu, engkau seperti mendakwa dirimu Tuhan. Kerana hanya Tuhan yang berhak begitu!

Jangan pula engkau mendakwa dirimu seorang Nabi, yakni tidak kira setinggi mana engkau berusaha mencapai Taqwa dan pembaikan diri, jangan sesekali engkau merasakan dirimu tidak bersalah dan tidak berdosa. Sesungguhnya yang bersih dan terpelihara daripada dosa itu hanyalah seorang Nabi yang maksum."

Pahala Di Masjid dan Surau



BILA SOLAT DI MASJID/SURAU, INSYAALLAH KITA AKAN PEROLEHI :

1. Pahala sahut seruan azan
2. Pahala melangkah ke masjid
3. Pahala masuk masjid.
4. Pahala melangkah kaki kanan kedalam masjid
5. Pahala doa masuk masjid
6. Pahala solat tahiyyatul masjid
7. Pahala i'tikaf
8. Pahala solat berjamaah
9. Pahala takbiratul ihram bersama imam
10. Pahala amin bersama imam
11. Pahala rapatkan sof,
12. Pahala luruskan sof
13. Pahala dengar tilawah quran
14. Pahala hubung silaturrahim
15. Pahala duduk dalam majlis zikir
16. Pahala duduk dalam majlis ilmu
17. Pahala jadi makmum
19. Pahala membersihkan masjid
20. Pahala menuntut ilmu
21. Pahala nasihat menasihati
22. Pahala sedekah ditabung masjid
23. Pahala mempelajari bacaan Quran yang betul melalui bacaan imam.
24. Pahala mengingatkan imam jika beliau lupa
25. Pahala menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w.
26. Pahala menghidupkan syiar agama Islam
27. Pahala doa keluar masjid dan dengan langkah kiri..

Daripada darjat-darjat ini, berapa yang tidak boleh dicapai jika solat berjemaah di rumah?

Oleh itu marilah kita berjemaah di masjid/surau sedapat yang mungkin.

‪[ Nasihat dari ‎DaieMediaSosialJakim ]‬

Khasiat Temulawak


Pokok Temulawak, nama Botani, Curcuma xanthorhiza digunakan sebagai bahan ubatan tradisional bagi mengubati penyakit hati dan demam kuning. Ia juga merupakan ramuan dalam jamu untuk menyembuhkan demam, sembelit, melancarkan aliran darah, meransang pengeluaran air hempedu, ubat asma dan sakit perut.


Minyak temulawak digunakan sebagai anti-inflamateri. Perahan air temulawak dapat merangsang pembentukan susu bagi ibu-ibu yang bersalin.
Temulawak dapat menaikkan nafsu makan, memperlambatkan proses penuaan, menghilangkan bintik hitam di muka, memulihkan tubuh selepas bersalin, membersih dan menurunkan kadar kolesterol dalam darah.

[Zawidatul Asma Zainuddin]

Zina Mudah Kahwin Susah


Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegak yang makruf dan mencegah yang munkar. Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidakfahaman’ tok kadi dan seterus pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-keranah yang berbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.

MANGSA NAFSU SOMBONG

Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya. Apatah lagi jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan. Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi s.a.w:

“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam ertikata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya; ‘kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”. Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.

Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf. Nabi s.a.w. bersabda:

“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.

KERENAH KURSUS KAHWIN

Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga jenerasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh professional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan.

Malangnya, ada kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakutkan dan susah untuk difahami dan dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.

TOK KADI TAK FAHAM HUKUM

Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya. Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut ‘saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.

Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:

“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi:

(Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”).

Juga al-Imam al-Bukhari (meninggal 256H) menyebut:

(Apabila bakal suami berkata kepada wali (bakal isteri) kahwinkanlah aku dengannya, lalu wali berkenaan diam seketika, atau bertanya: “apa yang awak ada (mahar)?”, atau kedua mereka diam lalu wali itu berkata: “aku nikahkan engkau dengannya”, maka itu adalah harus (sah). Ada hadis mengenainya yang diriwayatkan oleh Sahl daripada Nabi s.a.w).

Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Tiada cerita satu nafas atau sekali lafaz dalam akad seperti yang ditokok tambah oleh jurunikah. Apa yang penting proses ijab dan qabul amatlah mudah. Syaratnya, ia lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi, ia menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah.

KHURAFAT AKAD SATU NAFAS

Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut: “Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).

Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.

KERENAH ‘MAHKAMAH’

Setelah berkahwin, rumahtangga yang dibina seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa. Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar cara-cara yang berbagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman Allah:

(maksudnya) “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik, dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat (hukum) Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan), dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat (sunnah), untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala-galanya” (Surah al-Baqarah, ayat 231).

Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat proses birokrasi sesetengah mahkamah atas nama syariah. Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan.

Kata Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan menyebut:

“Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah…Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi’in” (al-Mufassal, 7/217).

Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir:

“Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”.

Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah:

“Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (dipasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (ibid 8/439).

Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumahtangga untuk kebahgiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka. Jika rumahtangga itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan segera. Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah biorokrasi mahkamah. Hakim barang kali ringan lidahnya menyebut: “kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri

Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagian dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan adil.

[Sumber dari FB Dr. MAZA]

Saturday, May 28, 2016

Iman Semut VS Iman Manusia



Nabi Allah Sulaiman a.s ternampak seekor semut melata di atas batu, lantas merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Lalu baginda bertanya, "Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu?"

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan Allah! Aku percaya rezeki di tangan Allah! Aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untukku".

Nabi Allah Sulaiman a.s bertanya lagi,"Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".

Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan, "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".
Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas. Dia mengangkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas. Kemudian Nabi Sulaiman mengambil sebiji gandum, dibubuh dalam bekas dan ditutup bekas itu. Kemudian Nabi sulaiman tinggalkan semut itu di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan, Nabi Allah Sulaiman lihat gandum yang sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut. Lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut, "Kamu rupanya berbohong pada aku! Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu hanya makan setengah".

Jawab semut, "Aku tidak berbohong! Aku tidak berbohong! Kalau aku ada di atas batu, aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Itulah Iman semut!


Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam. Oleh itu, kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak menggali kubur untuk tanam mayat. Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik ke rumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik.

Dia hendak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya, "Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih mengadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?"

Jawab Imam Suffian, "Di akhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan".

Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.

Kata Saidina Ali kepada Kamil:
"ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA. ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA. ILMU MENJADI HAKIM, HARTA DIHAKIMKAN. HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMU BERTAMBAH APABILA DIBELANJAKAN".

Semoga akal yang waras dapat mengambil pengajaran dan iktibar dari kisah yang sangat bermakna ini. Renung-renungkan...Wallahua'lam.🐜🐜🐜

Thursday, May 26, 2016

Tuan Tidak Rasa Rindukah


Seorang majikan membeli seorang jariyah perempuan dengan harga 10 Dinar. Setelah sampai di rumahnya, majikan menyediakan dan menghidangkan makanan.

Jariyah itu berkata, ‘Tuan maafkan saya, di rumah kami, kami tak biasa makan di siang hari pada bulan puasa.’

Lantas si majikan membiarkan sahaja jariyah tersebut. Pada malam harinya beliau menghidangkan makanan tetapi didapatinya si jariyah hanya makan sedikit sahaja.

Setelah itu, si jariyah bertanya, ‘Wahai Tuan, apa yang perlu saya buat malam ini?’

Jawab majikan, ‘Malam ini tidak ada sebarang keperluan.’

Jawab jariyah, ‘Baiklah, izinkan saya berkhidmat (melakukan ibadat) mencari redha Majikan Yang Maha Agung, Allah SWT.’

‘Baiklah, dengan penuh senang dan bahagia,’ tegas si majikan.

Si jariah pun menuju ke bilik yang disediakan untuk bersolat dan beribadat. Majikan juga menunaikan solat fardu Isya’ dan sejenak kemudian terus tidur.

Setelah berlalu sepertiga malam pertama, jariyah datang mengetuk pintu. Majikan bertanya ‘Adakah kamu perlukan sesuatu?’

Jelasnya ‘Wahai Tuan, tidakkah Tuan ingin meraih peluang beribadat pada malam hari?’

Jawab si majikan ‘Tidak, saya ingin berehat.’ Kemudian jariah pun kembali ke biliknya.

Pada tengah malam si jariyah untuk kedua kalinya datang mengetuk pintu bilik majikan, 'Wahai Tuan, para ahli tahajud sudah bangun meraih wirid dan amalan mereka.’

Majikan menjawab ‘Wahai jariyah, saya pada malam hari kaku bagaikan sepotong kayu tak bergerak, dan siang hari bagaikan sakit menderita.’

Setelah tinggal sepertiga malam terakhir, si jariyah datang buat ketiga kalinya mengetuk pintu dengan lebih kuat dari yang sebelumnya. Dia memujuk si majikan, 'Tidakkah Tuan rasa rindu ingin bermunajat bersimpuh di hadapan Sang Raja? Bangunlah demi kemaslahatan diri Tuan sendiri. Rebutlah habuan itu. Para khadam (ahli ibadat) telah mara mendahului Tuan.’

Ungkapannya sungguh menggugah hati. Majikan pun bangkit dan berwuduk, kemudian solat beberapa rakaat. Setelah itu beliau cuba memerhatikan si jariyah. Lantas didapatinya jariyah sedang sujud sambil meluahkan isi hatinya di hadapan Allah, 'Ya Allah, dengan kecintaan-Mu terhadapku, ampunilah kiranya dosaku.’

Lantas majikan tergerak hati untuk bertanya, 'Wahai jariyah, bagaimana kamu tahu Allah cintaikan kamu?’

Dia menjelaskan,'Dengan kecintaan dan mahabbah-Nya tuan tidur nyenyak di malam hari; dan saya nikmat berqiyam.’

Si majikan lantas berkata ‘Pergilah, kamu aku merdekakan dengan seikhlas hati, demi redha Allah yang Maha Agung.’

Si jariyah berdoa dan sambil pergi merakamkan ucapan perpisahan, 'Ini kebebasan kecil, masih ada lagi kebebasan agung.’


[Kuliah Maghrib SURAU AL-UMM, SEKSYEN 1 BANDAR BARU BANGI, Selangor Darul Ehsan oleh Ustaz Ahmad Asri Lubis]

Jual Agama Untuk Duniawi


Orang sekarang lebih ramai yang menggunakan agama untuk kepentingan duniawi. Macam-macam cara digunakan untuk menarik rezeki dan juga menarik keluar wang dari dompet para pengguna. Contoh berikut dipetik dari kolum Angguk Geleng dalam Majalah Solusi #92.

Peniaga A menjual 100 kotak kurma menggunakan kempen pahala sunnah makan kurma dan faedah kesihatan buah kurma.

Peniaga B menjual 200 kotak kurma dengan kempen bahawa 10% hasil keuntungan akan disedekah kepada anak yatim, pelarian
Rohingya dan Syria.

Peniaga C menjual 300 kotak kurma dengan memasang MP3 bacaan Al Quran 30 juzuk, selawat syifa dan 100 ayat rukyah selama 24 jam di dalam bilik tempat menyimpan stok kurma! Ayat-ayat suci itu bukannya dibaca dan ditadabbur. Jangan hairan kalau serangga kecil yang ada di dalam bilik simpanan itu lebih 'pandai Quran' dari dia.


Ada yang solat dhuha, baca surah Al Waqiah, solat tahajud dan sebagainya semata-mata untuk memajukan usahaniaga. Kata Ustaz Dr Zaharuddin itu adalah satu bentuk tipu daya iblis yang menyebabkan matlamat dunia menjadi utama dan akhirat menjadi kedua.

Marilah kembali beribadah semata-mata kerana Allah agar diredhai-Nya dan diberikan KAYA JIWA. Mereka yang diredhai-Nya akan dicukupkan. Anngaplah pemberian dan ganjaran Allah jika dinikmati di dunia sebagai kejutan dan matlamat kedua sahaja. Bukan yang utama dalam fikiran dan niat.

Tuesday, May 24, 2016

Pembunuh Di Lorong Kecemasan


Dua hari lalu kita dikejutkan dengan satu kemalangan jalanraya yang berlaku berhampiran susur keluar Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka. Kemalangan berkenaan mengorbankan dua adik beradik di mana mereka yang menaiki motosikal telah terlanggar sebuah kereta rosak di laluan kecemasan yang juga merupakan laluan motosikal.

Menurut saksi, selepas kemalangan, kedua-dua mangsa dikatakan masih sedar dan memerlukan rawatan secepat mungkin. Namun kerana sifat pentingkan diri sesetengah pemandu kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan, pihak ambulans yang dihubungi mengalami kesulitan untuk sampai menyelamatkan mangsa.

Difahamkan ambulans sepatutnya mengambil masa 20 minit untuk ke lokasi telah terperangkap dalam kesesakan di laluan kecemasan menyebabkan mereka sampai ke lokasi kemalangan hampir tiga jam kemudian di mana mangsa sudah lemah. Kerana tindakan pemandu kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan berkenaan, dua nyawa yang mungkin boleh diselamatkan akhirnya terkorban.

Kejadian ini menyebabkan netizen telah meluahkan perasaan marah dan menggelar mereka ini sebagai pembunuh.


Melalui satu coretan di laman Facebook milik Maisalmah Shadik yang merupakan kakak kepada kedua-dua mangsa, beliau meluahkan rasa kecewanya dengan sikap tidak bertanggungjawab pengguna jalanraya yang menggunakan lorong kecemasan berkenaan.

"Sesungguhnya aku redha YA ALLAH ... tapi btol KATA Encik Shariff Mohd Zulhairi...anda yang menggunakan lorong kecemasan adalah PEMBUNUH sekiranya mereka ini 'manusia ' mereka tidak akan menggunakan lorong kecemasan dan menyebab nyawa melayang..mungkin mereka masih dapat menyelamatkn abang dan adik saya...bukan x redha tp sukar diungkap.... indahkan perkatan 'kalau!! Kalaulah mereka menggunakan jalan yang betul...

TOLONGLAH AMBIL TINDAKAN TERHADAP '' MANUSIA-MANUSIA INI'' YANG MENGGUNAKAN LORONG KECEMASAN ... !!! Kerana mereka akan meragut lebih banyak nyawa lagi...

Saya minta ambil tindakan bukan kerana mereka adik beradik saya tapi bayangkn keluarga anda ditimpa bnda sama...apa yang anda lakukan? Semoga roh Bob Arof dan Alam sentiasa dirahmatiNya dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.


Iktibar Dari Ucapan Al Rabi Bin Khatim


Tajuk sorotan kita adalah mengenai ungkapan tokoh tabi’i kenamaan, al-Rabi’ bin Khaitim (رضي الله عنه) (W 65H). Beliau adalah teman baik Abdullah bin Mas’ud (رضي الله عنه). Abdullah sangat memuliakan tokoh tabi’i ini dan pernah mengucapkan, "Setiap kali saya menyaksikan anda, saya teringat para ahli ibadat (المخبتين). Seandainya Rasulullah melihat anda, nescaya baginda akan mencintai anda."

Ulama kenamaan, Sya’bi (رحمه الله) pernah berkata Rabi’ termasuk para siddiqin yang murni yang terkenal dengan sifat waraknya. Ungkapan al-Rabi’ yang hendak kita teliti ini berbunyi: ‘Jika saya amati keadaan kita, dan dibandingkan dengan para sahabat Rasul (رضوان الله عليهم), kita ini bagaikan penjahat (penyamun) belaka.’ Sungguh menarik kisah saat ungkapan ini terkeluar dari mulut Rabi‘.


Ketika beliau jatuh sakit, dua sahabat beliau Hilal bin Isaf, bersama Munzir bin Ya’la al-Tsauri (هلال بين إساف و المنذر بن يعلى الثوري) datang menjenguk. Sebelum sampai di rumah Rabi’, Munzir berbincang dengan Hilal. ‘Bagaimana pendapatmu, perlukah kita tanya terlebih dahulu kepada Syeikh Rabi’ mengenai keinginan dan permintaannya. Atau sebaiknya kita berdiam diri sahaja. Mungkin dia akan meminta sesuatu dari kita.’

Kata Hilal, ‘Percayalah, jika kamu duduk satu tahun penuh di hadapan Rabi’, beliau tidak akan buka mulut bercakap denganmu, kecuali jika kamu yang mula bercakap dahulu. Pasti beliau tidak akan mendahului percakapan kerana beliau sentiasa berzikrullah; dan diamnya hanyalah untuk berfikir. Hidupnya hanya zikir dan fikir.

Kata Munzir, ‘Baiklah, dengan mengharapkan keberkatan Allah, kita berangkat sahaja ke rumah beliau.’



Sesampai di hadapan Rabi’, dua orang sahabat ini mengucapkan salam dan bertanya ‘Bagaimana kedaan Syeikh?'

Rabi’ menjawab, ‘Saya hamba yang daif, lemah, dan bergelimang dosa. Saya masih mampu makan sementara menunggu saat ajal tiba.’

Hilal mengajukan usulan, ‘Di kota Kufah ini sekarang ada doktor pakar. Jika Syeikh mengizinkan, kami boleh memanggilnya datang ke sini untuk cuba merawat Syeikh.’

Kata Rabi’, ‘Wahai Hilal, saya yakin berubat itu memang dianjurkan. Namun saya perhatikan kaum ‘Ad, kaum Tsamud, Ashabur Rass(أصحاب الرس), dan kaum-kaum yang lain masih banyak lagi. Kehidupan mereka serba maju, banyak harta benda keduniaan, badan mereka jauh lebih kuat dan tegap dibandingkan dengan kita sendiri. Dalam kalangan mereka juga ada doktor dan pesakit, namun doktor dan pesakit tersebut semuanya lenyap binasa. Andainya penyakit yang menjadi masalah, nescaya kita sudah berhasil mengatasinya.’

Munzir bertanya ‘Lantas, apa sebenarnya penyakit yang dimaksudkan, wahai Tuan Syeikh?’

Jelas beliau ‘DOSA.’

Munzir bertanya lagi, ‘Ubatnya apa?’

Kata Syeikh ‘Ubatnya ialah ISTIGHFAR.’

Munzir bertanya lagi ‘Kesembuhan dari penyakit ini bagaimana?’

Jelas Syeikh, ‘Mesti BERTAUBAT, sesudah itu jangan diulang lagi dosa itu.’ Rabi’ memandang kedua sahabat beliau itu dengan lebih fokus dan meyakinkan, ‘Peliharalah hati kamu. Apa yang ada dalam hatimu tidak diketahui manusia. Namun bagi Allah tidak ada yang tersembunyi. Carilah ubat hati ini.’

Munzir bertanya ‘Apa ubatnya?’

Kata Syeikh ‘Taubat yang murni.’ Sejenak kemudian Rabi’ menangis sehingga basah janggutnya.

Munzir justeru bertanya, ‘Mengapa tuan menangis? Tuan adalah personaliti yang cukup terkenal dengan kesolehan.’

Rabi’ menjelaskan, ‘Sungguh jauh sekali keadaan kita ini. Mengapa saya tidak menangis, saya sendiri mendapati generasi gemilang. Jika mereka dibandingkan dengan kita ini, kita ini bagaikan penjahat dan pencuri belaka.’ (Generasi yang beliau maksudkan adalah sahabat Rasulullah (صلى الله عليه وسلم).


PENGAJARAN DAN IKTIBAR

1. Keharusan mengemukakan dan memuji kebaikan solihin.
2. Termasuk sifat solihin: ahli ibadat, mencintai solihin, dan bersifat sidq (الصدق).
3. Menjenguk sahabat yang sakit.
4. Berbincang dengan sahabat yang soleh.
5. Berdiam diri dari kata-kata yang tidak bermanfaat.
6. Tutur kata mukmin ‘zikir,’ diamnya ‘fikir’ (zikir & fikir).
7. Bertanya tentang perihal sahabat yang sakit.
8. Ungkapan kata mukmin merendah DIRI dan tawaduk.
9. Menawarkan bantuan kepada sahabat yang sakit.
10. Tawakal yang tinggi satu solusi di samping upaya berubat.
11. Semua manusia akan lenyap binasa.
12. Penyakit rohani tidak kalah pentingnya daripada penyakit jasmani.
13. Penyakit rohani yang paling asas adalah dosa yang wajib dirawat dengan istighfar.
14. Kesembuhan daripada penyakit dosa apabila si hamba meninggalkan dosa tersebut.
15. Permasalahan hati perkara yang sangat mendasar.
16. Allah menilik dan menilai hati dan amalan zahir hamba-Nya.
17. Hati memerlukan taubat yang murni.
18. Tangisan solihin untuk muhasabah dan cermin diri.
19. Dalam hal ketaatan perlu mendongak ke atas, jangan tunduk ke bawah.
20. Dalam hal kebendaan, jangan melihat ke atas.
21. Cermin diri untuk menyingkap kelemahan sendiri.
22. Si mukmin perlu belajar dari sejarah gemilang generasi awal, sahabat, tabiin, dan sebagainya.
23. Kepekaan mukmin terhadap keadaan umat semasa dan persekitaran yang serba kurang.
24. Iman dan keyakinan solihin mengukir keajaiban dalam sejarah umat.
25. Pada dasarnya umat terdahulu jauh lebih baik dari yang kemudian.
26. Beruntunglah individu mukmin yang mahu mengikuti contoh yang baik.
27. Menyingkap kisah cemerlang solihin dapat melenyapkan kedahagaan rohani mukmin.
28. Kehidupan para solihin dalam tuntunan Ilahi, dan dalam kawalan malaikat.
29. Dalam hal ini dapat kita ukur melalui: solat berjemaah, solat nawafil, tilawah, sedekah, muamalah, dll.
30. Demikian juga melalui cinta ilmu, semangat pengorbanan, dan berdakwah.
31. Bercermin diri melalui kisah solihin adalah termasuk tuntutan ayat Ummul Kitab yang dibaca siang malam.
32. Kisah solihin adalah jalan pintas untuk mengenal Islam.
33. Mencintai solihin menuntun Mukmin ke arah mencintai al-Maula SWT.
34. Semakin banyak kisah solihin yang diketahui, perjalanan hidup akan lebih terarah.
35. Tuntunlah diri dan keluarga kita dengan kisah solihin.

[Tazkirah Ustaz Ahmad Asri Lubis di Surau Al Ehsan, Bandar Baru Bangi, Selangor]

Sunday, May 22, 2016

Dari Glamor Hijrah Ke Dakwah



Nama Shamsul Ghau-Ghau atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin, 48, bukanlah nama yang perlu diperkenalkan lagi kepada rakyat Malaysia. Beliau kini dilihat sudah meninggalkan dunia glamornya dan memilih jalan dakwah sebagai perjuangannya. Menceritakan pengalamannya yang dijadikan iktibar kepada orang ramai dalam aktiviti ceramah ternyata sungguh mengujakan, pelbagai kisah nasihat dan iktibar dari pengalaman hidupnya cukup berguna.


“Saya khatam al-Quran masa umur 12 tahun tapi tak mampu nak bacanya depan Kaabah ketika menunaikan umrah pertama pada 2001, ” katanya dengan sebak dan sedih hingga tidak mampu menahan air matanya daripada mengalir.

Beliau berkata demikian ketika berkongsikan pengalamannya di hadapan kira-kira 300 penonton terdiri kakitangan hospital sewaktu program Quran Hour yang diadakan di Hospital Sungai Buloh, Khamis lalu.

“Saya fikirkan apa akan terjadi sekiranya saya mati nanti atau sekiranya ibu saya sakit, mampukah saya membacakan al-Quran buatnya? ALLAH SWT mudahkan rezeki saya, bermula gaji RM300 sebulan semasa kerja sebagai polis sehingga pernah mendapat RM100,000 sebulan sebagai artis walaupun hanya ada SPM, tapi hati saya jauh dari-Nya,” kongsinya.

Shamsul berkata beliau tidak menganggap apa yang terjadi sebelum ini sebagai titik hitam, sebaliknya ia adalah pembuka jalan baginya untuk memperbaiki dirinya sekarang. Enggan menoleh ke belakang, beliau kini giat menjalankan aktiviti berdakwah dengan berkongsi pengalaman hidupnya bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat.


“Saya berpeluang menunaikan umrah pertama pada 2001 bersama rakan-rakan dan berdoa empat benda yang tak mungkin saya lupakan. Doa pertama saya nak kahwin, kemudian ada anak, ketiganya mahu ada rumah depan masjid dan keempat dibuka hati untuk mengaji serta mendekatkan diri dengan ALLAH SWT. Alhamdulillah, pada 2003 saya berkahwin dan dikurniakan anak setahun kemudiannya. Pada 2006 semasa beli rumah ditakdirkan lokasinya betul-betul depan masjid,” katanya.

Beliau berkata, walaupun diberikan jalan, namun disebabkan kesibukan kerja dan jadual harian masanya untuk ke masjid terbatas.

“Setiap hari saya dengar rakaman surah Ar-Rahman yang dipasang di masjid sebelum masuknya waktu Maghrib sampai sudah menghafalnya serba sedikit tapi tak tahu maksudnya. Ditakdirkan pada satu hari saya pergi ke kedai buku dan semasa membelek buku tafsir al-Quran, bukaan saya betul-betul pada surah Ar-Rahman yang salah satu maksudnya berbunyi, ‘Nikmat mana satu yang engkau dustakan’. Ketika itu hati saya rasa sungguh sebak dan teringat akan janji yang tidak dipenuhinya untuk mengaji semula serta mendalami agama. Sekarang saya berguru dengan tiga ustaz yang mengajar tajwid, taranum dan tafsir. Kita hidup sudah berpuluh tahun tapi kita tak tahu maksud bacaan dalam solat kita. Saya berharap perubahan ini dapat melapangkan kubur mak ayah saya yang sudah tiada. Saya tak menolak perubahan saya hari ini adalah hasil doa arwah mak saya yang tak jemu memberi nasihat semasa hayatnya,” katanya.

Beliau berharap dengan berkongsi pengalaman hidup atas tiket artis dapat menarik lebih ramai orang untuk berubah menjadi lebih baik.

“Al-Quran itu perlu dibaca, difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Cuba tanya diri kita dalam sehari berapa banyak kita pegang al-Quran berbanding telefon pintar? Saya bukan mahu buka aib diri saya, sebaliknya mahu mengajak lebih ramai orang Islam mendekati ALLAH dan memberikan pahala kepada mak ayah saya yang sudah tiada,” katanya.

[Siakapkeli.my]





Percepat Langkah Usung Jenazah


Hendak mula bawa jenazah, baca fatihah selangkah, kemudian baca lagi...Bagaimanapun tidak terdapat hadis sahih yang menyuruh membaca surah al-Fatihah kepada jenazah dari tempat jenazah disolatkan untuk dibawa keluar selangkah demi selangkah. Hadis Nabi s.a.w. yang sahih menyuruh segerakan dibawa ke perkuburan untuk di kebumikan.

Hikmah disyariatkan untuk mempercepat langkah tersebut adalah sebagaimana yang telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabda baginda...
أسرعوا بالجنازة فإن تك صالحة فخير تقدمونها، وإن تكن غير ذلك فشر تضعونه عن رقابكم
“Percepatlah dalam mengusung jenazah. Jika ia adalah seorang yang soleh, maka itu adalah kebaikan yang kalian kedepankan. Jika ia seorang yang bukan soleh, maka itu adalah keburukan yang segera diletakkan dari pundak-pundak kalian.” (HR. Bukhari, Muslim dan selainnya dari Abu Hurairoh radhiyallahu ‘anhu)

Kisah Sedih Rasulullah s.a.w.


Rasulullah s.a.w. telah jatuh sakit yang agak panjang masanya, hinggakan baginda tidak dapat berjemaah dengan para sahabat di masjid. Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. meminta beberapa orang sahabat membawanya ke masjid. Didudukkan atas mimbar, lalu baginda meminta Bilal memanggil
semua para sahabat datang ke masjid. Tidak lama kemudian, penuhlah masjid dengan para sahabat. Semuanya rasa terubat rindu setelah agak lama tidak dapat melihat baginda. Lalu Rasulullah s.a.w. mula berkata, “Wahai sahabat-sahabatku semua!Aku ingin tanya pada kamu semua, apakah telah aku sampaikan kepada kamu semua, bahawa sesungguhnya Allah W.T. itu adalah Tuhan yang layak disembah?”

Semua sahabat menjawab dengan suara bersemangat, ”Benar! Engkau telah sampaikan kepada kami bahawa sesungguhnya Allah S.W.T. adalah Tuhan yang layak disembah.”

Rasulullah s.a.w. berkata, "Persaksikanlah ya Allah!Sesungguhnya aku telah sampaikan amanah ini kepada mereka”. Kemudian baginda berkata lagi dan setiap apa yang baginda perkatakan, akan dibenarkan oleh semua para sahabat. Akhirnya sampailah kepada satu topik yang menjadikan para sahabat agak sedih dan terharu.

Rasulullah s.a.w. berkata, "Sesungguhnya! Aku akan pergi bertemu Tuhan…….dan sebelum aku pergi, aku ingin selesaikan segala urusan dengan manusia. Maka aku ingin bertanya kepada kamu semua. Siapakah di kalangan kamu yang aku ada hutang dengannya, sila bangun. Aku ingin selesaikan hutang tersebut. Kerana aku tidak mahu bertemu Tuhan dalam keadaan ada hutang dengan manusia”.

Ketika itu semua sahabat diam, sedang dalam hati masing-masing berkata “Mana ada Rasullullah s.a.w. berhutang dengan kami. Sebenarnya kamilah yang banyak berhutang dengan baginda.” Rasulullah s.a.w. mengulangi pertanyaan itu sebanyak 3 kali.Tiba-tiba bangun seorang lelaki yang bernama AKASYAH yang berkata, “Ya Rasulullah! Aku ingin ceritakan dulu perkara ini. Andai ia dikira hutang, maka aku minta kau jelaskan. Andainya ia bukan hutang, maka tidak perlulah engkau berbuat apa-apa”.

Rasulullah s.a.w. berkata, "Ceritakanlah wahai Akasyah”.

Maka Akasyah pun mula bercerita. “Aku masih ingat lagi ketika
perang Uhud dulu, satu ketika engkau tunggang kuda, lalu engkau pukulkan cemeti ke belakang kuda. Tetapi cemeti tersebut tidak kena pada belakang kuda. Sebenarnya cemeti itu terkena pada dadaku kerana ketika itu aku berdiri di belakang kuda yang engkau tunggang wahai Rasulullah”.

Mendengar yang demikian, terus Rasulullah s.a.w. berkata, "Sesungguhnya itu adalah hutang wahai Akasyah! Kalau dulu aku pukul engkau, maka hari ini aku akan terima hal yang sama”.

Dengan suara yang agak tinggi, Akasyah berkata, “Kalau begitu aku ingin segera melakukannya wahai Rasulullah!” Akasyah seakan-akan tidak rasa bersalah bila mengatakan yang demikian.

Ketika itu sebahagian sahabat berteriak memarahi Akasyah. “Sesungguhnya engkau tidak berhati perut wahai Akasyah! Bukankah Baginda sedang sakit!”

Akasyah tidak hiraukan semua itu. Rasulullah s.a.w. meminta Bilal mengambil cemeti tersebut di rumah anaknya, Fatimah. Bila Bilal meminta cemeti tersebut dari Fatimah, maka Fatimah bertanya, “Untuk apa Rasulullah meminta cemeti ini wahai Bilal?”.

Bilal menjawab dengan nada sedih, “Cemeti ini akan digunakan oleh Akasyah untuk memukul Rasulullah”.

Terperanjat dan menangis Fatimah berkata, “Kenapa Akasyah hendak pukul ayahku Rasulullah! Ayahku sedang sakit.Kalau nak pukul, pukullah aku ini anaknya”.

Bilal menjawab, ”Sesungguhnya ini adalah urusan antara mereka berdua”.

Bilal membawa cemeti tersebut ke masjid lalu diberikan kepada Akasyah. Akasyah mara ke hadapan menuju mimbar. Tiba-tiba bangun Abu Bakar menghalang Akasyah sambil berkata, "Wahai Akasyah! Kalau kamu hendak pukul, pukullah aku. Aku orang yang mula-mula beriman dengan apa yang
Rasulullah s.a.w. sampaikan. Akulah temannya di kala suka dan duka. Kalau engkau hendak pukul, maka pukullah aku.”

Lalu dijawab baginda, “Duduklah kamu wahai Abu Bakar! Ini bukan urusan kamu. Ini antara aku dengan Akasyah.”

Akasyah mara lagi ke hadapan. Lalu bangun pula Umar menghalang Akasyah, “Akasyah! Kalau engkau hendak pukul, pukullah aku. Dulu memang aku tidak suka mendengar nama Muhammad, bahkan aku pernah berniat untuk menyakitinya, itu dulu………Sekarang jangan ada sesiapa yang berani menyakiti Muhammad. Kalau engkau nak sakiti dia, maka sakitilah aku dulu.”

Lalu dijawab oleh baginda, “Duduklah kamu wahai Umar! Ini urusan antara aku dengan Akasyah”.

Akasyah mara lagi ke hadapan. Tiba-tiba bangun pula Ali bin Abu Talib sepupu Rasulullah s.a.w. Dia menghalang Akasyah seraya berkata, "Akasyah! pukullah aku. Darah yang sama ada pada tubuh aku ini wahai Akasyah”.

Lalu dijawab oleh Rasulullah s.a.w., “Duduklah kamu wahai Ali! Ini urusan antara aku dengan Akasyah.”

Akasyah mara lagi ke hadapan. Tiba-tiba tanpa disangka, bangunlah dua orang cucu kesayangan Rasulullah s.a.w. iaitu Hassan dan Husin. Mereka berdua merayu dan meronta. “Wahai pak cik! Pukullah kami. Datuk kami sedang sakit. Kami ini cucu kesayangan Baginda. Pukullah kami wahai pak cik.”

Lalu Rasulullah s.a.w. berkata, "Wahai cucu-cucu kesayanganku! Duduklah kamu. Ini urusan aku dengan Akasyah”.

Bila sampai di tangga mimbar, dengan tegasnya Akasyah berkata, “Macam mana aku hendak pukul engkau ya Rasulullah! Engkau duduk di atas dan aku di bawah. Kalau engkau hendak aku pukul engkau, maka turunlah ke bawah sini”.

Rasulullah s.a.w. memang seorang insan yang baik. Baginda meminta beberapa orang sahabat memapahnya ke bawah. Baginda didudukkan pada sebuah kerusi. Lalu dengan suara tegas Akasyah berkata lagi, "Semasa engkau pukul aku dulu, aku tidak memakai baju, Ya Rasulullah.”

Tanpa berlengah, dalam keadaan lemah, Rasulullah membuka baju. Lalu kelihatanlah tubuh baginda yang sungguh indah, sedang beberapa ketul batu
terikat di perut Baginda.Ini menandakan Baginda sedang menahan kelaparan. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata, “Wahai Akasyah! bersegeralah dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Nanti Tuhan akan murka pada kamu”.

Akasyah terus menghampiri Rasulullah s.a.w. lalu mula menghayun tangan yang memegang cemeti untuk dipukulkan ke tubuh Rasulullah s.a.w. Rupa-rupanya Akasyah menghayun cemeti itu ke arah lain dan terus memeluk tubuh Rasulullah s.a.w. seerat-eratnya, sambil menangis. Akasyah berkata,
“Ya Rasulullah, ampunkanlah aku……maafkanlah aku……mana ada manusia yang sanggup menyakiti engkau ya Rasulullah. Sengaja aku melakukannya agar aku dapat merapatkan tubuhku dengan tubuhmu kerana sesungguhnya aku tahu bahawa tubuhmu tidak akan dimakan oleh api neraka. Dan esungguhnya aku takut dengan api neraka……..maafkanlah aku ya Rasulullah”.

Rasulullah s.a.w. dalam keadaan penuh hiba lalu berkata, “Wahai sahabat-sahabatku, kalau kamu ingin melihat ahli syurga, maka lihatlah kepada Akasyah. ” Semua sahabat tidak dapat menahan air mata masing-masing sambil semua para sahabat beramai-ramai memeluk baginda.

MENANGISLAH SEPUAS-PUASNYA SEMOGA DENGAN TANGISAN ITU DAPAT MEMBUKTIKAN KECINTAAN KEPADA KEKASIH KITA NABI MUHAMMAD s.a.w.…AMIIN.

Segala Kebaikan Pasti Kembali Kepada Diri


Allah S.W.T. telah menetapkan apa yang dicurahkabn ke alam semesta, akan kembali kepada kita. Yang baik akan pulang dengan wangian kebaikan, yang buruk kembali menemui dengan bauan bangkai. Saat kita memberi, kita akan menerima. Saat kita menolong orang lain, pada saat yang sama kita sedang menolong diri sendiri. Apa yang kita lakukan untuk orang lain, sebenarnya kita sedang melakukan untuk diri kita sendiri. Inilah rahasia kehidupan yang tersembunyi dari perhatian ramai orang. Bukan kerana mereka tidak melihat kebenaran ini, tetapi kerana mereka tidak mempercayainya.Ramai orang lebih senang menerima daripada memberi, lebih suka ditolong daripada menolong. Hidup hanya berpusat pada diri sendiri.


Di sini diperturunkan satu contoh menarik.

Seorang buta sedang berjalan dengan tongkatnya pada malam hari. Tangan kanannya memegang tongkat sementara tangan kirinya membawa lampu suluh. Pemandangan ini cukup menghairankan seorang lelaki yang yang kebetulan melihatnya. Lalu dia bertanya pada si buta, "Mengapa awak berjalan membawa lampu suluh?"

Si buta menjawab, "Supaya lebih terang."

"Tapi..bukankah awak buta dan tetap tak boleh melihat jalan walaupun ada lampu suluh?"

Si buta tersenyum sambil menjawab,"Memang saya tak boleh melihat, tetapi orang lain dapat melihatnya. Selain membuatkan jalan menjadi terang, ia boleh mengelakkan orang lain daripada melanggar saya."


Kita diingatkan supaya jangan jemu berbuat baik. Ini rahsia untuk hidup penuh berkah dan bahagia. Namun ia tersembunyi bagi orang-orang yang egois, kikir, dan melakukan sesuatu berdasarkan apa yang menguntungkan diri sendiri. Mereka tidak akan tahu: "APA YANG KITA LAKUKAN UNTUK ORANG LAIN, SUATU SAAT PASTI AKAN KEMBALI KEPADA KITA

Tingginya Nilai Ikhlas


Dari segi bahasa ikhlas bermaksud murni, bersih, tulen dan tidak bercampur dengan benda lain, umpama air jernih tidak bercampur dengan apa-apa pun; keladak, debu, kopi, teh dan sebagainya.

Dari segi tuntutan syarak, ikhlas adalah PENYERAHAN AMALAN UNTUK ALLAH SEMATA-MATA. Mengabdikan diri kerana Allah dan tidak dicampur atau bercampur selain Allah. Ketika melakukan sesuatu amalan dapat dirasakan tiada daya dan kemampuan melainkan daripada-Nya, menyerahkan usaha dan tujuannya itu kepada Allah semata-mata.

Firman Allah: `Katakanlah, sesungguhnya solat, ibadah, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, (Surah Al An’am ayat 162).

Ikhlas dituntut dalam semua amalan – solat, zakat, haji, umrah, membaca Al Quran, bekerja , mengajar, berdakwah, menolong orang lain, beriadah, membeli-belah – semuanya perlu dilakukan semata-mata kerana Allah.

Firman Allah, `Dialah yang mencipta kematian dan kehidupan bagi menguji kamu siapakah yang paling baik (paling ikhlas dan benar) amalannya.` (Al Mulk ayat 2).

RENUNGAN AGAR HATI IKHLAS:
● ketika nasihat, kritik dan bahkan fitnah, tidak mengendorkan amalmu dan tidak membuat semangatmu punah.
● ketika hasil tidak sebanding usaha dan harapan, tidak membuatmu menyesali amal dan tenggelam dalam kesedihan.
● ketika amal tidak bersambut penghargaan yang sebanding, tidak membuatmu mahu bertanding.
● ketika niat baik disambut berbagai prasangka, kamu tetap berjalan tanpa berpaling muka.
● ketika sepi dan ramai, sedikit atau banyak, menang atau kalah, kamu tetap pada jalan lurus dan terus melangkah.
● ketika kamu lebih mempersoalkan apa amalmu dibanding apa posisimu, apa perananmu dibanding apa kedudukanmu, apa tugasmu dibanding apa jabatanmu.
● ketika ketersinggungan peribadi tidak membuatmu keluar dari barisan jemaah dan merosakkannya.
● ketika posisimu di atas, tidak membuatmu leka, ketika posisimu di bawah tidak membuatmu enggan bekerja.
● ketika khilaf mendorongmu minta maaf, ketika ketinggalan mendorongmu mempercepat langkah.
● ketika kebodohan orang lain terhadapmu, tidak kamu balas dengan kebodohanmu terhadapnya, ketika kezalimannya terhadapmu, tidak kamu balas dengan kezalimanmu terhadapnya.
● ketika kamu mampu menghadapi wajah marah dengan senyum ramah, menghadapi kata kasar dengan jiwa besar, menghadapi dusta dengan penjelasan fakta.


Ikhlas itu mudah diucapkan, sukar diterapkan, namun tidak mustahil diusahakan. IKHLAS ITU SEPERTI SURAH AL IKHLAS, TIADA KATA IKHLAS DI DALAMNYA.
Ia tidak boleh di buktikan dengan kata, "Aku ikhlas." Ikhlas itu memberi tanpa menoleh lagi apa yang kita beri. Berbuat baik meskipun tiada orang yang melihat, menolong tanpa mengharap balasan kebendaan mahupun pujian manusia.

Sikap Buruk Manusia Akhir Zaman


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:“Kelak akan datang di akhir zaman segolongan manusia ---
* di mana wajah-wajah mereka adalah wajah manusia, namun hati mereka adalah hati syaitan; seperti serigalauas, tidak sedikit pun di hati mereka rasa belas kasihan.
* Mereka gemar menumpahkan darah dan tidak berhenti dari (melakukan) kekejian.
* Apabila kamu mengikuti mereka, maka mereka akan memperdaya kamu.
* tetapi, apabila kamu menghindari mereka, maka mereka akan mencela kamu.
* Apabila berbicara dengan mereka, mereka akan membohongi kamu.
* Dan apabila kamu memberinya kepercayaan, mereka akan mengkhianatinya.
* Anak kecil mereka jahil.
* Pemuda mereka licik.
* Golongan yang tua tidak menyuruh berbuat baik dan melarang yang mungkar.
* Mereka sentiasa membangga diri dalam kehinaan.
* Dan meminta apa yang ada pada mereka bererti kesusahan.
* Orang yang santun di tengah mereka adalah sesat.
* Dan orang yang menyuruh kepada perbuatan ma’ruf malah menjadi tertuduh.
* Orang beriman di kalangan mereka adalah lemah,
* sedangkan orang fasiq menjadi mulia.
* Sunnah di tengah mereka adalah bida’ah,
* sedangkan bida’ah itu sendiri adalah sunnah.
* Ketika itu mereka dikuasai oleh orang-orang paling jahat di antara mereka.
* sedangkan orang pilihan apabila ia menyeru, pasti tidak akan dihiraukan.”

(Hadith Riwayat Thabrani- Kitab Al-Mu’jam Al-Kabir)


Hadis Nabi s.a.w. ini menunjukkan tanda-tanda kecil kiamat sebagai pengajaran untuk kita. Seluruh tanda-tanda kecil telah muncul....

1. Penaklukan Baitulmuqaddis:
Dari Auf b. Malik r.a., katanya, "Rasulullah s. a. w. telah bersabda:"Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat." Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis." - (Hadis Sahih Bukhari)

2. Zina bermaharajalela.
"Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang." -(Hadis Sahih Muslim)

3.Pemimpin yang terdiri dari orang yang jahil dan fasik.

4. Bermaharajalela alat muzik.
"Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka."Ada yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?" Baginda menjawab; "Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita" -(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

5. Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita
"Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu" - (Hadis Sahih Muslim)

6.Menghias masjid dan membanggakannya.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid" - (Hadis Riwayat Nasai)

7. Munculnya kekejian, memutuskan kerabat dan hubungan dengan tetangga tidak baik.
"Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga." -(Hadis Riwayat Ahmad dan Hakim)

8.Ramai orang menuntut ilmu kerana pangkat dan kedudukan.

9. Ramai orang soleh meninggal dunia.
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran" -(Hadis Riwayat Ahmad)

10. Orang hina mendapat kedudukan terhormat.
"Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka'(orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia" -(Hadis Riwayat Thabrani)

11.Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.
"Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja." -(Hadis Riwayat Ahmad)

12.Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a."Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang"

13.Banyaknya berlaku pergaduhan dan pembunuhan
"Kiamat tidak akan berlaku kecuali apabila ilmu telah diangkat, banyaknya berlaku gempa bumi, timbulnya huru-hara dan banyak pergaduhan iaitu pembunuhan - (Hadis Sahih Bukhari)

14. Orang fasik dimuliakan sedangkan orang mulia dan terhormat direndahkan.
"Sungguh hebat dia, sungguh jarang orang seperti dia dan sungguh pintar dia sedangkan di dalamnya tidak ada iman sedikitpun" -(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tarmizi, Ibnu Majah)


Nabi s.a.w berpesan supaya kita tetap berpegang teguh dengan iman dan Islam. Iman yang sentiasa bersih, teguh dan tidak bercampur dengan syirik, dan amalan dan kehidupan jahiliah. Sentiasa bertaubat dan beristighfar semoga Allah mengampunkan dosa-dosa dan menerima amal soleh yang kita kerjakan, sentiasa merahmati hidup kita di dunia dan akhirat.

Saturday, May 21, 2016

Allah S.W.T. Doktor Teragung


Dr Khalid yang bertugas di sebuah hospital besar di Arab Saudi, diberitahu oleh seorang wanita yang menderita sakit jantung, “Saya berasa penat dan letih. Saya cuba menemui beberapa doktor pakar penyakit jantung, namun jantung saya masih berdebar-debar, nafas saya masih sesak. Yang peliknya semua doktor itu mengatakan saya sihat dan normal.”

Setelah Dr Khalid melakukan pemeriksaan, ternyata memang wanita itu dalam keadaan sihat. Beliau lantas menjelaskan, "Ubat yang puan perlukan tidak dimiliki oleh para doktor. Puan hendaklah mengadu dan bertadarru’ kepada Allah, mengharapkan keampunan dan rahmat Allah. Yakinlah penyakit itu hanyalah merupakan beban psikologi yang melilit kehidupan puan akibat hati dihimpit cinta duniawi, serta lengah dan melupakan Allah S.W.T. Hanya Allahlah Penyembuh dan Pelenyap semua keluhan dan beban psikologi. Manusia lalai menunaikan solat tepat pada waktunya. Akhirnya hati dililit kekusutan dan gundah-gulana."

Pesakit tersebut meninggalkan Dr Khalid kerana tidak puas dengan penjelasannya. Tidak lama kemudian suami pesakit tersebut menelefon Dr Khalid dan memberitahu isterinya dalam keadaan sangat letih. Dr Khalid berusaha meyakinkan bahawa ubat yang didambakan pasangan suami isteri itu tidak ada padanya. Ubat tersebut hanya ada pada Allah S.W.T. sahaja. Si isteri menghabiskan beribu-ribu Riyal berubat dengan ramai doktor pakar jantung sehingga ke luar negara. Namun segala usaha tidak mendatangkan sebarang hasil lantaran mereka jelas tersalah jalan dalam mencari solusi kesembuhan.

Ingatlah…!!! Pesakit kaya seperti ini mensia-siakan waktu mencari kesembuhan. Sekiranya mereka tahu jalan yang sebenar, nescaya Allah akan menganugerahkan kesihatan yang mereka dambakan (QS, Al-Syu’ara’: 80).

Bertakwalah kepada Allah. Dia akan memberi jalan keluar dari sebarang masalah yang dihadapi. Dengan banyak berzikir dan sentiasa ingat kepada Allah hati hamba mukmin akan tenang dan tenteram. Semuanya adalah dengan kehendak Allah. Dia yang menunjukkan jalan kebenaran.

[ Sumber dari Nota "Kesaksian Seorang Doktor" halaman 100-102.] Disampaikan oleh Ustaz Ahmad Asri Lubis untuk jemaah Surau Assobah, Bandar Baru Bangi,
SELANGOR.

Akhir Zaman


Dari Abu Darda` radliallahu 'anhu berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Yang paling aku takutkan dari kalian adalah para pemimpin yang menyesatkan".


Bulatkan tekad, kuatkan azam, masuklah ke dalam golongan ahli Allah S.W.T. (AhlilLah) yang beramal dan bekerja semata-mata kerana-Nya. Benamkan diri sepenuhnya ke dalam suasana ‘Allah’ semata-mata dan tinggalkan apa sahaja yang selain Allah buat seketika.

Anggapkan latihan yang demikian seperti keadaan ketika menunaikan fardu haji di Tanah Suci. Selama di Tanah Suci, segala-galanya ditinggalkan di tanah air sendiri. Di hadapan Baitullah seorang hamba menghadap dengan sepenuh jiwa raga kepada Tuhannya. Dia tidak khuatirkan keluarga, harta dan pekerjaan yang ditinggalkan kerana semuanya sudah diserahkannya kepada penjagaan Allah.

Allah adalah Pemegang amanah yang menjaga dengan sebaik-baiknya apa yang diserahkan kepada-Nya. Syarat penyerahan itu adalah keyakinan. Ketika memasuki Kaabah Sirri yakni hati... buanglah berhala-berhala selain Allah... berzikir dan tawaflah di situ dengan bertawajuh kepada Kaabah Hakiki yakni Allah S.W.T.

Wednesday, May 18, 2016

Langkah Keselamatan Untuk Kaum Hawa



SITUASI 1
Seorang perempuan nak naik lif sendirian ke tingkat 13 waktu lewat malam. Tiba-tiba ada sorang lelaki tidak dikenali pun naik sama. Apa hendak buat?

Jawapan Pakar:
Setelah berada dalam lif, katakan anda hendak ke tingkat 13, pastikan anda menekan kesemua butang yang ada daripada tingkat 1 hinggalah ke tingkat destinasi anda. Tiada siapa yang akan berani menyerang anda dalam lif yang berhenti pada setiap tingkat.

SITUASI 2
Seorang lelaki berjaya pecah masuk ke rumah yang kebetulan pada masa itu hanya seorang perempuan yang ada di rumah. Apa hendak buat?

Jawapan Pakar:
LARI KE DAPUR! Hanya anda sahaja yang tahu di mana serbuk cili, kunyit serta pinggan dan pisau disimpan. Semua ini boleh bertukar menjadi senjata
maut untuk perlindungan anda. Mulakan membaling pinggan dan keseluruhan alat dapur yang ada! Biarkan ia pecah dan rosak demi nyawa anda! Baling dan menjerit! Ingat bahawa BUNYI YANG KUAT DAN BISING adalah musuh terbesar penjenayah! Mereka tidak mahu ditangkap!

SITUASI 3

Sedang berjalan-jalan terasa macam ada seorang lelaki mengekori dari belakang. Apa hedak buat?

Jawapan Pakar:
UBAH HALUAN perjalanan anda secara mendadak, sama ada menyeberangi jalan, mempercepatkan langkah, atau pergi ke kawasan perniagaan yang
berhampiran.
Jika anda diekori oleh sebuah, kereta, tukar arah perjalanan anda secara bertentangan arus. Mereka perlukan masa yang lama untuk berpatah balik k
mendapatkan anda, dan memungkinkan mereka putus asa lalu mencari mangsa lain.

Jika anda gagal menjauhkan diri dari mereka, dan mereka terus mengekori anda, pusing dan jerit, "Apa yang kau nak?!" dengan suara yang paling
kuat dan garang! Ia berpotensi untuk memalukan dan menakutkan sebahagian besar penyerang. Jika masih juga tidak berhasil, JERIT! Jika ada penggera peribadi bersama anda, gunakannya!

SITUASI 4:

Katakanlah anda baru sampai dari Kuala Lumpur Johor Bharu. Waktu lewat malam. Teman lelaki tidak jawab telefon. Keluarga tidak ada kereta untuk datang menjemput. Terpakse naik teksi. Muka pemandu pula teksi pula semacam saja. Teksi lain tak ada. Apa hendak buat?

Jawapan Pakar:
Sebelum naik teksi pada waktu malam, pastikan anda mencatat butiran nombor pendaftaran teksi tersebut.Pastikan anda duduk di belakang. Kemudian hubungi keluarga atau rakan anda dan sampaikan maklumat kepada mereka mengenai nombor pendaftaran teksi tersebut dalam bahasa yang pemandu teksi fahami. Jika tiada siapa menjawab panggilan, anda pura-pura bersembang kononnya anda sedang berada dalam satu perbualan telefon. Hal ini membuatkan pemandu tahu yang ada orang lain sudah mempunyai maklumat kenderaannya, dan jika berlaku apa-apa, dia pasti berada dalam masalah besar! Ini membuatkan pemandu teksi tersebut tekad untuk menghantar anda ke destinasi yang dituju dengan selamat.

SITUASI 5:

Oklah, sudah ambil no plet teksi, nama pemandu pun sudah dicatat, pura-pura telefon keluarga pun sudah. Tetapi pemandu teksi buat hal juga! Dia tukar haluan ke arah lain. Masuk jalan hutan! Apa hendak buat?

Jawapan Pakar:
Gunakan tali beg tangan anda untuk menjerut leher pemandu tersebut dari belakang! Dalam masa beberapa saat , dia akan berasa sesak dan tidak berdaya. Sekiranya anda tidak mempunyai beg tangan bertali, hanya tarik kolar baju dia sekuat hati dan hasil yang sama akan berlaku.

Yang penting sebelum keluar rumah, baca ayat kursi. In sya Allah, akan ada 70000 malaikat yang akan melindungi perjalanan kita...

[Peringatan dari Ustazah Rina Muhd Yusof]

Jadual Harian Muslimin


JADUAL HARIAN SEORANG MUSLIMIN yang dicadangkan oleh Al-Fadhil Asy-Syeikh A'idh Al-Qarni hafizahullah.

1) Solat lima waktu tepat pada masanya.
2) Baca satu hizb Al-Quran (setengah juzuk).
3) Zikir Pagi dan Petang (boleh baca daripada Kitab Hisnul Muslim).
4) Baca tiga buah hadith (boleh baca daripada Kitab Riyadhus Solehin).
5) Sedekah RM 1 (sekurang-kurangnya). Jika sudah berkeluarga, setiap seorang dicadangkan sedekah RM 1 juga.
6) Jauhi dusta dan mengumpat.
7) Melakukan aktiviti berjalan selama setengah jam untuk senaman.
8) Tekun dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kerja dan tugas harian.
9) Puasa Sunat sebanyak tiga hari setiap bulan.
10) Solat Sunat Dhuha sebanyak dua rakaat.
11) Solat Sunat Witir sebelum tidur.
12) Maafkan semua muslimin dan muslimat dan memohon keampunan daripada Allah untuk mereka semua.

"Ya Allah, permudahkanlah kami dalam melakukan ketaatan kepada-Mu."

Monday, May 16, 2016

Al Quran - Teman Sehidup Semati


Firman Allah S.W.T. "Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Muhammad s.a.w.) daripada Allah dan sebuah Kitab (Al Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka daripada gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang, dengan izin-Nya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus." (Surah Al Maidah ayat 15-16).

Awalilah pagi kita dengan membaca dan mentadabbur Al Quran. Semoga Allah membukakan hikmah dan rahsia Al Quran kepada pembaca yang menghayati dan mengamalkan perintah yang terkandung di dalamnya. Orang yang gemar membaca Al Quran dikaitkan dengan "Ahli Allah." Sabda Nabi s.a.w. "Sesungguhnya bagi Allah itu ahli-Nya daripada kalangan manusia." Lalu sahabat bertanya, "Siapakah meereka itu, wahai Rasulullah?" Lalu dijawab baginda, "Ahli Allah itu ialah orang yang mendampingi Al Quran dan mereka adalah orang-orang pilihan-Nya." (HR an-Nasa'i)

Ahli Allah merupakan para penghafaz Al Quran yang menghafaz semata-mata kerana mencintai Allah. Mereka mendapat keberkatan dalam tiga alam: selamat di alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat.


Selain itu, Al Quran boleh dibaca dan pahalanya disedekahkan kepada orang-orang tersayang yang telah dahulu mengadap Ilahi, sebagai manfaat buat mereka. Allahyarham/allahyarhamah memang memerlukan sedekah dari orang hidup terutama anak-anak yang soleh/solehah, kerana mereka sudah tiada upaya mengusahakan apa pun dengan "sendirian berhad."

Manfaat bagi pembaca tetap sama dengan manfaat yang diberi kepada si mati, tidak berkurang sedikitpun. Malah, kebaikan yang dilakukan oleh orang yang hidup pasti datang kembali apabila dia sendiri mengadap Ilahi.

Ada ubi ada batasannya
Tiba hari, diri juga dapat balasannya.

Memang begitulah Hukum Allah. Jangan kedekut untuk bersedekah dengan apa jua yang kita ada.

Saturday, May 14, 2016

Suami Isteri Timba Dan Amalkan Ilmu


Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman menyatakan wanita kerap memenuhi majlis-majlis ilmu. Apabila ingin berubah dan mengubah keluarga kepada lebih baik berdasarkan ilmu yang telah diketahui, mereka menghadapi cabaran suaminya kurang ilmu akibat jarang ke majlis ilmu (namun mungkin kerap menimba ilmu dari internet sahaja).

Keluarga adalah satu team, suami perlu BERSAMA isteri dan anak-anak yang telah cukup umur ke majlis-majlis ilmu tanpa alasan lagi. Jangan hanya mereka sahaja yang pergi sedangkan suami tidak. Dengan itu, perubahan kepada kebaikan akan lebih harmoni dan pantas.

Pendirian Hatim Si Pekak


Hatim Al-Asham atau nama sebenarnya Abu Abdul Rahman Hatim bin Alwan berasal dari Khurasan bukan pekak. Dia berpura-pura pekak untuk menghormati maruah seorang wanita yang telah terkentut besar secara tidak sengaja di depannya, seolah-olah dia tidak mendengar bunyi kentut tersebut.

Hatim seorang yang amat warak. Dia menuntut ilmu dengan gurunya, Syaqiq al-Balkhi selama 33 tahun. Bila ditanyakan oleh Si guru, Hatim menyatakan pendirian tegasnya mengenai agama Islam seperti berikut:

Pertama - "Sebaik-baik cinta adalah yang sudi menemani seseorang di dalam kubur dan menghiburkannya. Aku tidak mendapati benda lain yang sanggup berbuat demikian selain amal soleh. Oleh itu, kujadikannya kecintaanku agar dapat menerangi kegelapan kuburku, menghiburkanku dan tidak membiarkan aku sendirian di alam sana.

Kedua - Kuperhatikan manusia sering melayan keinginan dan memenuhi hawa nafsu. Lalu kurenung ayat 40 hingga 41 Surah An Nazi'at yang bermaksud, "Orang yang takutkan kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsu, maka syurgalah tempat tinggalnya. Aku yakin al-Quran itu benar, maka aku segera melawan hawa nafsu dan menyiapkan diri untuk memeranginya. Aku tidak mengikut kehendaknya sehingga dia tunduk dan taat kepaga Allah.


Ketiga - Aku lihat semua orang berusaha mencari harta dan kesenangan dunia, kemudian menggenggamnya eat-erat. Lalu kurenung ayat 96, surat an-Nahl tabg vermaksud, "Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah kekal..." Oleh itu, kuberikan dengan ikhlas hartaku kepada kaum fakir miskin agar menjadi bekalan di sisi-Nya.

Keempat - Kuperhatikan sebahagian manusia menganggap kemuliaan, kehormatan terletak pada harta melimpah ruah dan anak yang ramai. Sebahagian pula memperoleh dengan merompak, menzalimi dan membunuh. Manakala selebihnya yakin kemuliaan dan kehormatan diperoleh dengan memborosksn harta yang ada.Lalu kurenungi ayat 13 Surat Al Hujurat yang bermaksud, "...Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah mereka yang paling bertaqwa di antara kamu..." Lalu aku pilih taqwa kerana aku yakin Al Quran itu haq dan benar.

Kelima - Kuperhatikan manusia saling memfitnah dan menghina. Semuanya gara-gara perasaan dengki sama ada dengan harta, kedudukan atau ilmu. Lalu kurenung ayat 32 Surah az Zukruf yang bermaksud, "...Kami telah menentukan keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia..." Maka tahulah aku bahawa semua itu ditentukan oleh Allah sejak azali. Oleh itu aku tidak boleh dengki dan harus rela dengan apa jua yang telah diatur oleh Allah.


Keenam - Kuperhatikan manusia saling bermusuhan kerana pelbagai sebab dan tujuan. Lalu kurenung ayat 6 Surah Al Fathir yang bermaksud, "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu, maka anggaplah ia musuh yang mesti dijauhi..." Maka aku sedar aku tidak boleh memusuhi sesiapapun kecuali syaitan.

Ketujuh - Kuperhatikan setiap orang berusaha gigih mencari nafkah untuk hidup, menyebabkan mereka terjerumus dalam perkara syubhah dan haram serta cara yang boleh membuatkan diri mereka dihina dan tidak dihormati.Lalu kurenungi ayat 6 surah Hud yang bermaksud, " Dan tidak ada satu binatang pun yang bergerak di bumi ini melainkan Allah yang menanggung rezekinya..." Maka sedarlah aku, sesungguhnya rezeki itu di tangan Allah, dan Dia telah memberi jaminan. Oleh itu aku menyibukkan diri denggan ibadah dan tidak meletakkan harapan selain daripada-Nya.

Kelapan - Kuperhatian sebahagian orang menyandarkan diri pada benda-benda buatan manusia, bergantung pada dinar dan dirham, pada harta dan kekuasaan, ketekunan dan perusahaan serta sesama makhluk. Lalu kurenung ayat 3 Surah at Talaq, "...dan sesiapa bertawakal kepada Allah nescaya Dia akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah telah menetapkan ketentuan setiap sesuatu." Maka aku bertawakal kepada Allah dan mencukupkan diri dengan-Nya kerana Dia adalah sebaik-baik Zat yang boleh dipercayai untuk mengurus dan melindungi semua kepentinganku.


Setelah mendengar penjelasan itu Imam Syaqiq berkata, "Semoga Allah memberkatimu. Aku telah membaca Taurat, Injil, Zabur dan Furqan (Quran), ternyata kitab-kitab itu membahas kesemua persoalan ini. Sesiapa yang mengamalkannya, maka dia telah mengamalkan keempat-empat kitab tersebut."



Thursday, May 12, 2016

Amanah Dan Silaturahim Pengiring Di Sirat


Amanah - orang yang menjalankannya pasti akan selamat di akhirat kelak dan sebaliknya orang yang khianat akan diazab. Huzaifah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Diutuskan amanah dan silaturahim, lalu kedua-duanya berdiri di kedua-dua belah titian Sirat kanan dan kiri." (HR Muslim)

Di hari kiamat, sifat amanah dan silaturahim itu bertindak seperti penapis yang akan memeriksa setiap orang, adakah mereka dahulu menunaikan hak kedua-duanya semasa di dunia.

Amanah satu tanggungjawab yang berat. Huzaifah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya sifat amanah itu telah diturunkan ke dalam lubuk hati para lelaki, kemudian mereka mempelajari al Quran dan kemudian mereka mempelajari as Sunnah.

Apabila seseorang itu tidur nyenyak, maka sifat amanah itu dicabut daripada hatinya sehingga meninggalkan bekas seperti lebam. Kemudian dia tidur nyenyak lagi dan amanah dicabut lagi sehingga meninggalkan bekas melepuh di tangan, seperti bara api yang kamu gelekkan pada kakimu lalu melepuh, walaupun kamu nampak melepuh sebenarnya tiada apa-apa pun di dalamnya.

Maka manusia selanjutnya saling mengikat janji, sedangkan hampir tiada seorang pun yang menunaikan amanah sehingga dikhabarkan, "Sesungguhnya di dalam bani fulan ada soerang lelaki yang amanah". Dan dikatakan lelaki itu, 'Alangkah bijaknya dia, alangkah cerdasnya dia, alangkah tegasnya dia'. Padahal tiada di dalam hatinya iman walaupun seberat biji sawi." (HR Bukhari dan Muslim)

Inilah antara punca utama kerosakan moral, sosial dan politik yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini. Maka berwaspadalah daripada mensia-siakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita semua. WALAUPUN PERKARA ATAU NILAINYA BARANGKALI KELIHATAN KECIL, NAMUN IA TETAP BEWAR DI SISI ALLAH S.W.T.

Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang yang amanah yang dicintai Allah dan rasul-Nya. Wallahualam.

[Iman #51]


Jambatan Ash Shirath itu benar. Ia adalah titian panjang terbentang di atas neraka jahanam yang harus dilintasi oleh semua manusia, sejak dari manusia pertama hingga yang terakhir. Ia lebih tipis dari helai rambut dan lebih tajam dari pedang. Terbentang dari mahsyar sampai ke satu lapangan yang luas sehingga menuju pintu Syurga. Di jambatan ini terdapat sejenis duri tajam. Para malaikat pencatat amalan manusia berbaris di kiri dan kanannya.

Barangiapa yang mampu melintasi, dialah yang paling banyak mendapat Rahmat-Nya.Cepat atau lambat bergantung pada kadar amalan seseorang. Mereka yang diistimewakan Allah dapat melintas dalam sekelip mata, sedangkan yang lain, ada yang menyatakan perjalanan di atas jambatan ini memerlukan 15 ribu tahun perjalanan. Waktu yang paling tepat melintasi jambatan ini adalah setelah usai hisab atau perhitungan amal.

Mudah-mudahan Allah S. W.T. meletakkan ita dalam golongan yang selamat dan beruntung di dalam perjalanan ini.

[Ustazah Dr Siti Nurbaya Usman]

Berita - Sahihkan Dahulu

Sunday, May 8, 2016

Baca Cakap Dengar Dan Amalkan


Kata orang bijak pandai, jika

1. ingin bahagia - solat di awal waktu
2. ingin sihat - berpuasa
3. ingin dipermudahkan urusan - Baca Al Quran
4. ingin wajah berseri - jaga solat tahajud
5. ingin kaya - solat dhuha
6. dihimpit masalah - beristighfar
7. berdukacita - berdoalah
8. mahukan keberkatan - berselawat

Amalkan dan sebarkan:

Yang membaca, tak untung
Yang bercakap pun tak untung
Yang mendengar pun tak untung
Yang untung, orang yang mengamalkannya