Sunday, January 31, 2016

Taqwa Muhammad Bin Sirin

Muhammad Bin Sirin lahir dua tahun sebelum berakhirnya khalifah Utsman bin Affan ra. Dia membesar di rumah yang penuh dengan penghuni yang bertaqwa dan warak. Memasuki usia remaja dia rajin menimba ilmu di masjid yang dipenuhi dengan para sahabat dan tokoh tokoh tabi’in saperti Zaid bin Tsabit, Anas bin Malik, Imran bin Hushain, Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah.Kemudian beliau berpindah ke Basrah yang dibangunkan oleh kaum muslimin pada akhir era Khalifah Al Faruq Umar bin Khattab ra. Basrah ketika itu adalah pusat pengajaran bagi penduduk Iraq dan Parsi yang baru memeluk Islam. Ketika matahari terbit, beliau ke masjid Basrah untuk mengajar sambil belajar. Bila matahari mulai tinggi, beliau keluar masjid menuju ke pasar untuk berniaga.Bila malam menjelang, beliau tekun di mihrab rumahnya, menghayati Al Quran. Beliau sentiasa menasihati orang sekelilingnya tentang kehidupan akhirat dan menjelaskan tentang hakikat dunia yang sebenarnya sambil memberikan bimbingan tentang cara mendekatkan diri kepada Allah. Hasilnya hampir semua peniaga di pasar sentiasa berzikir semasa menjalankan peniagaan. Jika terdapat seseorang menyebut keburukan orang lain di depannya, beliau segera mengingatkan tentang kebaikan orang itu.
Suatu ketika Allah menguji ketulusan dan kesabarannya. Beliau membeli minyak wangi seharga 40,000 dirham dan berjanji dibayar pada akhir bulan.Ketika diperiksa ternyata ada bangkai tikus yang sudah membusuk di dalamnya. Dia berfikir bahawa minyak ini ditakung dalam satu bekas dan najisnya bukan hanya di sekitar bangkai itu. Jika di kembalikan kepada penjualnya pasti akan dijualnya kepada orang lain. Lalu dibuangnya semua minyak tersebut. Dia rugi besar dan terikat dengan hutang yang sangat berat. Akhirnya dia dipenjarakan dalam gtempoh cukup lama sehingga dia mampu membayar kembali hutang tersebut. Penjaga penjara kasihan padanya dan menyuruh nya pulang kepada keluarga setiap hari dan kembali ke penjara di pagi harinya. Namun dia menolak kerana tidak mahu mengkhianati pemerintah.
Ketika Anas bin Malik sakit tenat, beliau berwasiat agar Muhammad bin Sirin memandikan jenazahnya dan sekaligus mensolatkan juga. Tetapi waktu itu Muhammad Sirin berada di dalam penjara. Pada hari Anas meninggal dunia, seseorang mendatangi Muhammad Sirin dan menceritakan tentang wasiat almarhum itu.Namun beliau menyuruh orang itu meminta izin kepada orang yang beliau berhutang kerana hutang itu belum mampu dibayarnya. Tuan hutang itu memberi kebenarannya dan Muhammad bin Sirin pun memandikan jenazah Anas bin Malik dan bersolat beramai-ramai. Selepas itu beliau langsung kembali ke penjara tanpa sedikitpun mengambil kesempatan untuk menjenguk keluarganya.Hari berganti dan beliau meninggal dunia di penjara pada umur 77 tahun. Setelah wafatnya, jenazahnya lebih ringan dari beban dunia kerana dirinya banyak berbekal untuk kehidupan di akhirat. Suatu ketika seorang ahli ibadah, Hafsah binti Rasyid bermimpi di mana Muhammad bin Sirin menyatakan bahawa Allah memasukkannya ke dalam syurga, kemudian diangkat ke darjat ashabul yamin hingga ke darjat muqarrabin. Semoga kisah ini dapat banyak memberi kesedaran betapa seseorang itu amat jujur kepada Allah meskipun ditakdirkan menjalani musibah yang berat.

Saturday, January 30, 2016

Didik Anak Tentang Gerakan Solat

Anak-anak itu cerminan ibu bapa. Didiklah dengan sabar dan baik. Lama kelamaan dia akan dapat menirunya, dan akhir sekali memahaminya. In sya Allah.

Tuesday, January 26, 2016

Balasan Di Akhirat Buat Pelakon Sandiwara Dunia

Pentas sandiwara dunia sering mengecewakan. Manusia boleh bersandiwara menjadikan yang salah itu benar, yang benar itu salah. Harta dan kuasa sering merubah timbangan hakiki dalam kehidupan ini. Walaupun kadangkala semua mata dapat menyaksikan betapa bohong dan menipunya sandiwara yang dipertontonkan itu, namun kuasa dan harta dengan penuh kecurangan menabalkan yang salah di tempat yang benar, yang benar di tempat yang salah.Namun, Tuhan tidak lupa walaupun insan sering lupa. Membaca al-Quran melapangkan jiwa kita, bahawa hari yang maha adil itu akan tetap menjelma jua. Firman Allah: (maksudnya): Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; Sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan jantung hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (Surah Ibrahim 42-43).
Nabi s.a.w pernah bersabda: "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” (Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi). [Sumber: Dr MAZA]

Rosak Pemimpin Deritalah Rakyat

Tidak dapat mengawal penglihatan dari setiap sesuatu (orang/barang) yang berjenama.Tidak dapat mengawal nafsu yang mahu memilikinya. Tidak dapat mengawal hati yang rakus merampas dari sesiapa jua. Tidak dapat mengawal lidah dari berdusta mengenainya.Tidak dapat mengawal akhlak yang semakin rosak.Dari mata bermula segala keinginan. Dari keinginan bermula segala pendustaan. Dari pendustaan bermula segala kerakusan. Dari kerakusan bermula segala penindasan. Dari penindasan bermula segala kehancuran. Rosak pemimpin maka deritalah rakyatnya.

Monday, January 25, 2016

Beragama Mengikut Nafsu

Dalam menjalankan keria-kerja dakwah, Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman telah berdepan dengan orang-orang yang berbagai sikap. Ada orang yang mengikut ajaran Islam, tatkala mendapat NIKMAT, berasa terlampau gembira lalu memuji-muji agama ini dan juga usaha diri mereka. Namun apabila mendapat KESUSAHAN, kerugian dan sepertinya, mereka mula mengutuk agama ini sebagai mengongkong, buruk dan mundur. Mereka menunggang agama untuk manfaat yang disukai nafsu sahaja..
Rugilah mereka yang sedemikian sebagaimana telah diperingatkan oleh Allah S.W.T. "Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi; maka jika dia memperoleh kebajikan, tetaplah dia dalam keadaan itu, dan jika dia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah dia ke belakang. Rugilah dia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata. (Al-Hajj : 11). - Muhasabah Diri-

Friday, January 22, 2016

Agama Islam Nikmat Terunggul

NIKMAT BERAGAMA ISLAM ADALAH NIKMAT TERUNGGUL buat manusia. Betapa untung mereka yang dilahirkan Islam dan dididik dengan ajaran Islam, dan juga, mereka yang memeluk Islam setelah berusaha keras mencari Addin. Maka bersyukurlah. “Tunjukkan kami jalan yang lurus. (Iaitu) jalan-jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepadanya, bukan ( jalan) orang-orang yang dimurkai, dan bukan (pula) jalan orang-orang yang sesat.” (Surah Al Fatihah ayat 6-7)
Betapa rugi mereka yang dilahirkan Islam tetapi sekadar menjadikannya sebagai agama sembahan yang tidak diamalkan dalam kehidupan seharian. KEENGGANAN MENGHAYATI ISLAM SEPENUHNYA ADALAH KUFUR NIKMAT TERBESAR. “Wahai Tuhan! Kami bertaubat, kepada-Mu, ampunilah kesilapan kami”

Wednesday, January 20, 2016

Ijtimak Taawun Tanassur Menjadikan Hamba Allah

Ibnu Taimiyah mengajak manusia berfikir secara kolektif (IJTIMAK), bekerjasama (TAAWUN) dan saling membantu (TANASSUR).Apa jua musibah yang menimpa kelompok manusia lain, tidak kira di mana jua mereka berada, jauh ataupun dekat, tetap ada kaitan, justeru, perlu bekerjasama dan berpadu menghulurkan bantuan.Semaklah apa yang ada di dalam hati, kembalilah ke jalan yang lurus dan terus hidupkan roh sebenar semua ibadah (solat, puasa, zakat, korban, haji dll.). Ketika itu barulah terasa diri kita bukan sekadar manusia semata-mata tetapi HAMBA ALLAH.
Mencari redha Allah bakal mengangkat hamba Allah yang biasa-biasa ke tahap hamba yang MUHSININ.Redha manusia tidak sampai ke mana-mana.

Sahabat Dunia Akhirat

Dalam buku, “Usahawan Akhirat”, Prof Muhd Kami Ibrahim mencatatkan beliau mempunyai banyak rangkaian sahabat yang bertingkat-tingkat - sahabat untuk bekerja, dan berniaga yang saling membantu dan menyaingi, masing-masing mahu jadi jutawan.Ada sahabat membawa kebaikan, juga ada yang melalaikan, mementingkan kenikmatan dunia semata-mata. Beruntunglah kalau ada sahabat yang mempunyai kedua-dua dunia dan akhirat. Kita boleh pilih sama ada hendak percaya pada sahabat atau tidak. Namun, ada juga sahabat yang menikam dari belakang. Timbul rasa menyesal kerana mempercayai mereka.
Seorang sahabat Prof Muhd Kamil tidak tahu bagaimana mahu menguruskan jenazah arwah bapanya kerana tidak tahu ke mana hendak dituju. Beliau tidak kenal kariah di masjid. Sahabat dan rakannya berada dalam dunia berbeza. Sahabat ini menangis bila memikirkan siapa yang akan mengendalikan jenazahnya apabila tiba masa itu. Hakikatnya, ramai orang mempunyai rakan yang hanya sesuai di dunia semata-mata.
Sahabat sangat penting. Namun carilah sahabat mukmin yang bersaudara antara satu sama lain supaya dapat memelihara akidah dan melindungi kehidupan akhirat. Perlu diterokai rangkaian sahabat yang baru. Jika ada di masjid, dampingilah mereka. Kita menjadi lebih hampir dengan al-Quran dan hadis. Kita mahu HAMPIR DENGAN ALLAH. Kita tidak mahu menyesal dan menggigit tangan di akhirat nanti.
“Pada hari itu orang yang zalim menggigit tangannya dengan penuh penyesalan sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku dahulu menurut ajaran Rasul Allah. Alangkah baiknya kalau aku tidak menjadikan si fulan sebagai sahabat karib. Dia telah menyesatkan aku daripada mengingati pesanan(Allah) setelah peringatan diri daripada kejahatannya terhadap manusia.” (Surah Al Furqan ayat 27-29).

Tuesday, January 19, 2016

Agama Itu Memang Nasihat

Internet dan laman sosial bila diguna dengan baik melalui penulisan, menyalin (copy), berkongsi (share), atau bergabung (like), gambar atau artikel yang baik, boleh memberi manfaat dan mendapat redha Allah. Jika disalah guna boleh menimbulkan persengkataan, kesesatan, perceraian malah pembunuhan. Pilihlah cara menggunakan jejari untuk mengumpul rantaian pahala atau menghimpun rangkaian dosa yang hendak dihantar ke akhirat sana.
-----
-----
-----
-----
-----
-----
-----

Teknik Khusyuk Dalam Solat

Ringkasan mengenai teknik khusyuk dalam solat. Solat berjemaah (di masjid lagi afdal). Menjaga makanan dan minuman agar terjamin kehalalannya. Membanyakkan sedekah. Jangan bersolat dalam keadaan hendak buang air kecil atau air besar. Selesaikan urusan itu supaya boleh fokus pada solat.
Ambil wuduk dengan sempurna. Pakaian yang bersih seperti hendak menghadap pembesar. Tempat sujud hendaklah bebas dari gambar atau yang boleh mengganggu tumpuan. Mengingati mati dan menganggap itu merupakan solat terakhir. Menyedari bahawa kita sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Mengetahui segala rahsia kita. Penuhkan dada dengan perasaan gerun dan takut kepada Allah. Memahami bacaan dalam solat.
Sebelum angkat takbir, baca surah al-nas, selawat atas Nabi, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan. Pandang ke tempat sujud. Memusatkan seluruh ingatan kepada solat. Memanjang sedikit tempoh semasa rukuk dan sujud. Memastikan tiada gangguan sekitar solat seperti muzik, telefon bimbit dsbnya. Jangan pandang kiri dan kanan.

Monday, January 18, 2016

Bacaan Ketika Membuka Pakaian

BACAAN KETIKA MEMBUKA PAKAIAN --- بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لاَ إِلَهَ إِلأَ هُوَ ---Maksudnya : “Dengan nama Allah yang tiada Tuhan selain Dia.” Ia BOLEH menjadi 'pendinding' dari terbukanya aurat KITA dari penglihatan jin/syaitan iaitu ketika membuka baju sama ada bagi lelaki dan wanita.Hadis di atas riwayat Ibn Sunni adalah lemah pada sanadnya pada Abd Rahim Al 'Ammi. Namun terdapat hadis sahih yang lain riwayat At-Tabarani dari Anas bin Malik untuk bacaan yang sama kecuali tiada tambahan “La Ilaha Illahu”. Kesimpulan, bacaan ini boleh diamalkan atau baca BISMILLAH sahaja pun sudah memadai.

Agama Itu Nasihat

Semoga setiap hamba Allah yang memanfaatkan apa jua bentuk wakaf, sama ada ilmu atau kebendaan, dikurniakan Allah dengan akhlak yang indah dan lisan/tulisan berhemah yang digunakan untuk menyebarkan agama Islam ke seluruh pelosok rantau.
-----
-----
-----
-----
-----
-----
Inilah insan yang kaya hati (cukup yang ada). Hidup penuh syukur dengan hanya bersandar kepada Allh. La hawla wala quwwata illalbillah. Tiada rasa tamak pada harta dunia kerana dia tahu semua itu hanya pinjaman daripada Allah. Dia musafir di dunia ini. Dia menggunakan segala pinjaman Allah untuk dijadikan pahala yang dikirimkan ke akhirat bagi memudahkan kehidupannya yang abadi di sana.

Sunday, January 17, 2016

Feng Syui Haram Dalam Islam

Feng syui berasal daripada perkataan berbahasa Cina "feng" yang bermakna udara dan "syui" yang bermakna air. Feng syui dipercayai sebagai suatu kepercayaan yang mengatur penyusunan tempat agar selari dengan aliran tenaga (chi) yang mengakibatkan kesan baik dan buruk. Feng syui dibina dengan kepercayaan bahawa tanah ini hidup dan dipenuhi dengan tenaga (chi) yang mempengaruhi hidup manusia. Justeru, reka letak yang selari dengan feng syui akan membawa keberkatan dan nasib baik. Sebaliknya, yang tidak selari dengan feng syui akan membawa pelbagai musibah dan nasib buruk.Dalam Islam, feng syui termasuk dalam kategori ramalan. Dalam istilah fiqah, perkara ini disebut "tanjim". Pelakunya pula disebut sebagai ahli nujum. Sebagai Muslim, kita DIHARAMKAN mempercayai ramalan. Pergi berjumpa, bertanya dan lebih-lebih lagi mempercayai ucapan ahli nujum adalah HARAM dilakukan.Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang mendatangi peramal ('arraf) lalu bertanya sesuatu ramalan kepadanya, maka solatnya tidak diterima selama empat puluh malam." (Riwayat Muslim). [Sumber: M/S 26, Majalah Al-Ustaz no. 28]

Untungnya Berhubungan Dengan Allah

Seorang hamba Allah buat keuntungan RM2 juta sehari. sebulan sekitar RM60 juta. Dia bangun jam 4 pagi terus ke masjid dan bertahajud seorang diri. Dia sampai paling awal dan balik paling lambat. Mula dengan solat Tahajud, kemudian solat Taubat, dikuti solat Hajat, disambung dengan solat sunat Subuh 2 rakaat. Sementara menunggu solat Subuh dia baca Al Quran. Dia solat Dhuha 8 rakaat, qada solat selepas Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Setiap hari dia akan solat lebih kurang 50 rakaat. Memang dia layak dapat Rm2 juta sehari. Hubungannya sangat tinggi dengan Allah. Marilah kita belajar sesuatu. InsyaAllah. [fb: ozir zuri]

Saturday, January 16, 2016

Fikir Sebelum Buat

Kelazatan yang dirasakan di saat melakukan maksiat akan lenyap, sedangkan dosanya tetap tercatat sampai hari kiamat. Keletihan di saat melakukan ibadah akan lenyap, sedangkan pahalanya terus bertahan sampai ke hari kiamat. Jangan korbankan kenikmatan akhirat hanya demi mengejar kenikmatan dunia yang sementara!
Kekadang kita bercakap main lepas sahaja, mencela tidak kira siapa, menilai sesedap rasa, menghakimi ikut 'pandai' semata, sehingga terlupa kita juga manusia biasa, yang tidak sesempurna mana, juga belum tentu lebih baik dari mereka, tidak terlepas dari membuat dosa, sama seperti mereka, masih ada cacat cela. SEDARLAH KITA JUGA DI BAWAH PEMERHATIAN-NYA!!!
Sempat berfikir sebelum berkata-kata dan bertindak adalah satu hidayah. Namun sempat berzikir sebelum berfikir adalah hidayah yang lebih bernilai. Selawat dan istighfarlah... InsyaAllah yang gelap akan menjadi cerah. Ya Allah bantu kami untuk mengingati Mu dan Rasul Mu selalu.
Dalam Khutbah Terakhir, antara peringatan Rasulullah s.a.w. adalah, "Jangan menyakiti sekiranya kamu tidak ingin disakiti." Moga-moga ia menjadi inspirasi untuk kita sentiasa berbuat baik dengan sesiapa saja saat di atas ataupun di bawah.

Pemimpin Yang Benar

Setiap dari kita adalah pemimpin sama ada di peringkat keluarga, kariah, pertubuhan, syarikat, komuniti atau negara.Pemimpin yang berjaya sentiasa melakukan penambahbaikan kepada dirinya melalui perubahan sikap dan tabiat hasil dari pengamatan atau teguran.Ini akan menjadikan pemimpin itu terus unggul dalam kepimpinan dan layak untuk terus dihormati.
Pemimpin yang baik menggunakan pengaruhnya untuk memberi kebaikan kepada para pengikut, organisasi dan masyarakatnya. Bukan sahaja kebaikan di sudut duniawi tetapi juga ukhrawi. Bukan sahaja dalam bentuk produk dan kualiti kerja yang tinggi, malah juga akhlak dan keperibadian yang tinggi.

Thursday, January 14, 2016

Jenis Lidah

Berbagai jenis lidah: 1. LIDAH HIKMAH - Lidah yang ucapannya sentiasa menyampaikan kebaikan dan perkataannya akan menyentuh hati orang lain. 2. LIDAH RAHMAH - Lidah yang ucapannya sentiasa menjaga hati orang lain, terutama pasangan dan ibu bapa. Dengan ibu bapa, ucapkanlah kata-kata yang menunjukkan orang tua kita dimuliakan (qaulan karima). Dengan orang lain, ucapan kita kategori qaulan layyinan, iaitu kata-kata yang lembut.Tiada istilah mulut jahat, hati baik. Perah limau, tidak akan mengeluarkan air epal. Apa yang terbit di mulut, pastilah ia berasal daripada hati yang baik. Sabda Rasulullah s.a.w."Tidak akan lurus iman seseorang, sehingga lurus hatinya. Tidak akan lurus hatinya sehingga lurus lidahnya." (Riwayat Ahmad) ...Intipati Rancangan Al-Kuliyyah. Ustaz Elyas Ismail.

Tuhan Aku Tuhan Kita

Solat memberi kita peluang untuk MEMBERI SALAM kepada Zat yang mencipta kita, BERBICARA kepada Zat yang Maha Mendengar, berada DEKAT dengan Zat Yang Maha Penyayang, memberi kita peluang untuk MEMBAIKI diri, BERIKRAR bahawa kita TIDAK AKAN SYIRIK kepada Zat Yang SATU, berada di atas JALAN KEJAYAAN duniawi dan ukhrawi yang Zat Agung sudah janjikan dan BERSATU PADU sesama ummah. Zat Maha Tinggi hanya akan menurunkan Pertolongan-Nya kepada kumpulan yang bersatu, bukan yang bercerai-berai.

Kegunaan Garam

Garam mempunyai 1,001 kegunaan. Di antaranya, rendaman dalam air garam dapat menghilangkan bau hanyir ikan atau menghilangkan kotoran kerang. Mengurangkan kesan sakit Gout boleh dilakukan dengan dua kaedah iaitu bagi mereka yang tinggal berhampiran pantai, boleh menanam badan dalam pasir laut. Bagi mereka yang tinggal di bandar pula garam kasar digoreng dan didemahkan di tempat sakit ketika garam masih panas. Untuk merawat cirit-birit, minumlah air yang dicampur sedikit garam. Untuk merawat mabuk perjalanan, garam dicampur madu dan air kemudian diminum sebelum memulakan perjalanan tersebut. Air yang dicampur garam disapukan pada kulit untuk menghilangkan kegatalan.
Bagi mengelakkan gangguan jin bagi mereka yang bermalam di hutan, garam yang merupakan sumpahan jin, dijampi dengan Al-Fatihah sekali dan ayat al-Kursi (ayat 255 surah al-Baqarah) 7 kali ditabur di sekeliling kawasan perkhemahan. Untuk melindungi bayi dari gangguan makhluk halus, garam dicampur dengan bawang merah, bawang putih dan lada hitam. Campuran itu dimasukkan ke dalam bekas yang terbuka dan diletakkan di bahagian kepala bayi. [Sumber asal: FB Farith Ismeth Emir]