Sunday, August 30, 2015

Allah - Tujuan Kejayaan Hakiki

Allah tidak pernah memungkiri janji. Barang siapa berjalan ke arahnya maka Dia akan berlari menuju mereka. Barang siapa yang ingin bertemu dengan-Nya, Dia pasti memberi ruang cinta-Nya.
Kebanyakan kita melakukan ibadah semata-mata untuk kepentingan diri, menyelesaikan masalah berat, menimbun dan bertali arus yang sedang dihadapi, walaupun dengan niat LILLAHI TAALA. Masalah, ujian dan musibah patut disyukuri kerana itu cara Allah hendak menguatkan rohani dan jasmani hamba-hamba-Nya. Beribadah hanya untuk tujuan duniawi bererti membohongi diri sendiri. Kita pun sedar Dia Maha Mengetahui apa yang yang kita sembunyikan di dalam hati. Jangan sesekali membelakangi Allah walaupun satu detik.
Kita dilahirkan dalam keadaan rohaniah yang suci bersih. Namun input-input duniawi secara perlahan-lahan dan beransur-ansur mengubah sifat maknusiawi kita yang asal.Untuk mencapai KEJAYAAN SEJATI DAN HAKIKI, kita mesti kembali MENDAHULUKAN ALLAH DALAM SEMUA ASPEK KEHIDUPAN. Kita perlu sentiasa bergantung harap hanya kepada Dia semata-mata, berserah jiwa dan raga kepada-Nya. Yakin dan percaya bahawa inilah jalan yang tidak akan merugikan kita dan tidak menyebabkan kita menyesal.
Syeikh Kurrayim Rajih, 93 tahun dari bumi Syria yang bergolak, kini sedang melawat Malaysia, tidak pernah lekang mengulang baca dan menghafal Al Quran, di atas kereta, feri dan di mana sahaja, meskipun sudah bergelar "Syeikh Qurra' Bilaad Syam". Dia yang lahir pada 1922, mengembalikan kelangsungan kesihatannya kepada Allah dengan kata-kata: BILA KAMU JAGA AL QURAN, ALLAH MENJAGA KAMU!!!

Saturday, August 29, 2015

Pemimpin Dan Pengampu

Pemimpin sesebuah organisasi atau masyarakat yang baik adalah pemimpin yang minta ditegur bila melakukan kesilapan, bukan yang gilakan pujian. Pemimpin yang suka mendengar kata-kata manis belaka tidak berada dalam alam nyata. Dia tidak dapat membezakan antara ampu dengan setia. Lazimnya dia dikelilingi oleh pembantu yang mengampu demi kepentingan diri, menipu kerana inginkan pangkat dan kedudukan. Segala nasihat yang diluahkan tidak membantu, malah membuntu. Sokongan daripada pengampu hanya membawa rebah. Pujian membutakan pemimpin itu daripada melihat kelemahan dan kekurangan diri, lantas merasakan begitu hebat sehingga terlanjur bertindak di luar kemampuan.Dia berbelanja boros hingga hutang menimbun kerana merasakan darjatnya terletak pada kekayaan.Padahal bila semua itu tiada lagi, dia hanya orang kecil yang berdiri di bawah bayang-bayang kekayaannya. Dia bukan pemimpin hebat yang prihatin dengan nasib rakyat.
Rakyat menjadi mangsa pembantu yang mengampu. Penderitaan rakyat, kelemahan dasar dan sistem penyampaian yang lemah serta berbagai perkara negatif lain tidak sampai ke pengetahuan pemimpin sebab ditapis terlebih dahulu oleh pengampu. Pemimpin dimaklumkan hanya berita yang manis-manis, bersalut bahan dan perisa palsu. Akhirnya pemimpin sendiri jadi mangsa tembakan panah beracun yang berterbangan di udara dari rakyat yang tidak tahan lagi menanggung derita.Orang yang baik dan berilmu tidak berani menegur lantaran takut hilang jawatan dan kedudukan. Lalu mereka menjadi "syaitan bisu" yang membiarkan pemimpin semakin jauh tersasar dan terus disuburkan oleh pembantu tidak bertanggungjawab. Kemusnahan akhirnya akan berlaku, sama ada cepat atau lambat.
Orang yang setia tidak suka bermuka-muka, hanya berpegang kepada prinsip kebenaran belaka. Itulah setia yang sebenar. Pemimpin akan kehilangan orang yang setia jika setiap teguran dan kritikannya dicap sebagai ‘menderhaka’. Kepimpinan yang berjaya sejak zaman para rasul dan Khulafa’ ArRsyidin semuanya mengamalkan sikap terbuka dengan teguran. Mereka yang tidak bergantung hidup kepada pemimpin sahaja yang dapat menyuarakan kebenaran tanpa takut dan segan silu. Menegur bukan kerana benci, tetapi kerana sayang.
Pada masa sekarang orang yang jujur terpaksa membayar kejujurannya dengan harga yang sangat mahal. Pun begitu, kejujuran harus ditegakkan agar orang bawahan tidak berterusan menderita akibat penindasan para pembantu yang terus mengampu.[Solusi #83]

Pengugut Anonymous Terjerut

28 OGOS 2015 : Tiga ahli kumpulan 'Anonymous' tempatan yang dipercayai bertanggungjawab mengugut mahu menggodam sistem komputer dan laman web agensi kerajaan sebelum ini, ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Johor Bahru. Mereka berusia 18 hingga 21 tahun yang turut menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebelum esok, ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, hasil risikan bersama CyberSecurity Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKMM).Polis turut merampas peralatan komputer dan komunikasi, karaera, komputer riba, tablet, telefon bimbit, pemacu data, modem serta topeng digunakan suspek dalam rakaman video ugutan berdurasi lapan minit yang tersebar dalam laman Facebook pada 9 Ogos lalu. [Sumber: Berita Harian]

Friday, August 28, 2015

Colok Wangian Penyebab Syahadah

Sepasang suami berbangsa India mengucap dua kalimah syahadah di Kuala Selangor ketika ahli NGO, Multiracial Reverted Muslims (MRM) diketuai Firdaus Wong dalam perjalanan untuk forum di Sungai Besar. Si suami menghampiri meja makan mereka untuk menjual colok wangian bagi meringankan beban kos rawatan isterinya yang menghidap kanser manakala beliau pula ada masalah jantung. Rakan Firdaus, Bro Zamri Vinoth memberitahu bahawa wangian itu bau wangian India style tetapi Firdaus Wong menganggap wangian itu bukan masalah. Lagipun jika berjalan di bawah cahaya, bayang-bayang semua manusia pun hitam belaka. Si suami begitu gembira mendengar MRM tidak bersikap perkauman.
Setelah MRM membeli kesemua colok wangian, si suami mengucapkan terima kasih, manakala MRM mendoakan agar Allah sembuhkan penyakit beliau dan isterinya. Bergenang airmata beliau mendengar doa itu. Sebelum pasangan itu beredar, Firdaus bertanya jika beliau sudah makan atau belum. Bila dapat tahu keduanya belum makan, Fridaus hendak membelikan untuk keluarga itu.Sambil menunggu makanan disiapkan, Firdaus meminta Zamri mendekati mereka dan bercerita tentang Islam dan mengajak mereka kepada Islam. Tambahan pula Zamri memang berkomunikasi dalam Bahasa Tamil. Selepas 15 minit bercerita tentang Islam dan konsep ketuhanan dalam Islam, Zamri memberitahu Firdaus dengan ayat yang menyebakkan dada, 'OK bro, mereka nak syahadah'. Allahuakbar...Setelah duduk bersama mereka, Firdaus menceritakan kisah kenapa dia sendiri memeluk Islam. Zamri kemudiannya membantu mereka mengucapkan dua kalimah syahadah dan terjemahan dalam bahasa Tamil. Sejurus selepas syahadah, bergenang air mata Firdaus tatkala memeluk beliau yang berkata, "Hari ini saya banyak gembira. Saya rasa sangat bahagia. Terima kasih banyak banyak, bang. Terima kasih. Nanti Abang ingat untuk call saya tau sebab kami mau daftar tiga anak kami untuk masuk Islam juga. Ingat tau bang."
Siapa sangka persinggahan singkat untuk makan di Kuala Selangor menemukan mereka dengan insan yang ingin menjual barang bagi meringankan beban dan akhirnya menjadi asbab hidayah mereka. Jom kita kongsikan keindahan Islam kepada orang-orang di luar sana.Allahuakbar, Allahuakbar, Alhamdulillah!!!

Wednesday, August 26, 2015

Mendidik Anak

Anak-anak ibarat kain putih. Ibu bapa yang mencorakkan mereka menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Oleh itu didik dan disiplinkan mereka menurut cara yang boleh menerapkan nilai-nilai murni. Sesetengah daripadanya ialah elakkan memukul anak dari lutut ke atas. Jangan gunakan tangan untuk memukul atau menampar anak sebab dia akan menjadi bertambah degil, nakal dan tidak boleh dikawal. Rotan anak di telapak kakinya. Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak. Sabda Rasulullah s.a.w. “Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tidak mengapa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran).”
Islam menggalakkan anak-anak diberikan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. Peluk anak setiap hari. Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk. Pandanglah anak dengan pandangan kasih sayang. Pandangan ini akan membuatkan anak berasa lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran. Berikan peneguhan setiap kali anak membuat kebaikan. Puji, peluk, cium, beri hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya.
Jangan harapkan anak yang belum matang melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan. Mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka membuatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah membuat silap. Apabila berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga. Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Jika tidak dimanfaati sebaik-baiknya masa itu akan terus berlalu dan tidak kembali. Jangan mengeluh ketika membesar dan mendidik anak-anak. Keluhan akan membuat anak-anak terasa diri mereka membebankan.
Dengarlah cerita anak. Cerita itu tidak akan dapat didengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap. Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap. Tenangkan anak setiap kali dia memerlukannya. Tunjukkan kepada anak cara menenangkan diri. Dia akan menirunya. Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadi. Sediakan hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. Anak-anak yang datang dari persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain. Mungkin anak bukan terima pengajaran pada kali pertama belajar. Mereka mungkin perlu diajar lebih daripada sekali.
Luangkan masa bersama anak ketika di luar rumah. Pegang tangan anak-anak apabila berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan ibu bapa. Dengarlah mimpi ngeri anak-anak. Mimpi itu begitu real dalam dunia mereka. Hargailah permainan kesayangan anak-anak. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan ibu bapa. Elakkan membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian. Jangan biarkan anak-anak anda tidur tanpa ucapan salam dan selamat malam. Ibu bapa bukan sempurna. Ini akan mengurangkan stres menjadi ibu bapa. Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga. Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka. Dua puluh tahun dari sekarang kita pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Ketika itu anak-anak anda sibuk mendengar tangisan anak-anak mereka sendiri. [Wanita Idaman]
Bukan mudah pada zaman ini untuk membesarkan anak-anak. Jika anak kita baik, mungkin anak lain yang rosakkannya. Jika anak kita jahat, dia sendiri merosakkan yang baik.Jadikan iktibar terhadap apa juga ketelanjuran yang dilakukan oleh mereka yang tersasar ketika mendidik anak-anak. Jangan biar kesalahan yang itu dilakukan oleh anak-anak kita pula. Apapun ingatlah bahawa ""Kata-kata hikmah boleh melembutkan hati yang sekeras batu.Kata-kata kesat boleh mengeraskan hati yang selembut sutera." [Imam al-Ghazali]

Tuesday, August 25, 2015

Makam Baqi

Pemandangan ini telah dihancurkan pada 8 Syawal 1345H bersamaan 21 April 1925 oleh Ibnu Saud dan Muhammad bin Abdul Wahab serta Para Pembenci.[Almawlid]
Kebenaran seakan sudah tidak kelihatan lagi. Iblis laknatullah bukan tidak nampak kebenaran tetapi dihijab oleh kesombongannya. Yahudi Zionis Israel bukan tidak nampak kebenaran tetapi dihijab oleh kedengkiannya. Wahabi bukan tidak nampak kebenaran tetapi dihijab oleh kedegilannya. Syiah bukan tidak nampak kebenaran tetapi dihijab oleh ketaksubannya. Mohonlah kepada Allah S.W.T. supaya kita diberi petunjuk dan hidayah-Nya dan terhindar dari hijab yang berlapis-lapis ini.[Kifli Abdul]
-----
-----
-----[Foto makam kredit Almawlid]

Gunakan Masa Untuk Pahala

Ketika usia semakin meningkat, banyak perkara yang digemari suatu masa dahulu tidak lagi menyeronokkan. Selera makan semakin kurang, ertinya Allah mahu kita memperbanyakkan puasa sunat atau puasa qada ke atas puasa yang pernah ditinggalkan. Tidur pula kerap terjaga di waktu malam dan mata sukar lelap kembali. Hikmahnya Allah mahu kita bangun berqiamulail sebelum berakhir usia. Program di televisyen sudah tidak lagi menarik perhatian, kecuali rancangan-rancangan agama. Al-Quran yang dahulu tinggal sepi di atas rak, kini kembali dibaca, dihayati dan ditadabbur. Waktu lapang dipenuhi dengan menghadiri majlis-majlis ilmu dan membaca bahan-bahan ilmiah. Hati sangat terpaut pada surau dan masjid, solat berjemaah menjadi begitu menyeronokkan.Sedekah dan waqaf dilakukan semata-mata kerana ingin meraih ganjaran pahala.Sesungguhnya masa usia meningkat adalah hadiah bonus dari Allah. Gunakan sebaik-baiknya supaya tiada penyesalan di belakang hari.
Lilin menyala dan mencerahkan keadaan di sekelilingnya. Kehadirannya tidak mengubah susun atur yang ada. Ia hanya menjadi dirinya yang sebenar iaitu sebagai PENERANG - menonjolkan kelebihannya di samping memperbaiki kekurangannya.Begitulah keadaan seorang HAMBA ALLAH yang menerangi keadaan sekelilingnya, baik keluarga ataupun masyarakatnya.Perkara pertama yang dilakukannya ialah pembaikan dirinya sendiri sehingga cahayanya mulai disedari oleh orang lain.Kalau baik dirinya, maka baiklah keadaan orang-orang di sekelilingnya.Dia membaiki LISAN supaya apa sahaja yang terpacul dari lidahnya hanya yang berbentuk AMAL MAKRUF. Jiwa dan akhlak yang sihat adalah teladan utama setiap pembaikan. Akhlak yang mulia adalah jaminan bertahannya binaan peradaban iaitu RUKUN ISLAM.
Orang tidak tahu,kemudian diberitahu, itu maksudnya 'menyampaikan'. Orang sudah tahu, kemudian diberitahu lagi, itu maksudnya 'mengingatkan'. Insan bukan sahaja menyampaikan tetapi juga mengingatkan. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Asr ayat 1 - 3: 'Demi Masa!Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".

Urusan Solat Jenazah

Kaum Adam harus belajar solat jenazah.Alangkah beruntungnya jika dapat menjadi imam solat jenazah ibubapa dan ahli keluarga sendiri.Dan bertuahnya ibubapa yang mendapat anak soleh sebagai hartanya dunia dan akhirat.
Ramai dari generasi muda yang tidak tahu cara-cara menguruskan jenazah dan hanya menyerahkan sepenuhnya kepada generasi yang lebih tua dari mereka untuk melaksanakannya. Bayangkanlah suatu hari nanti ayah atau ibu meninggal dunia. Tergamakkah kita membiarkan orang lain menguruskannya sedangkan diri kita hanya melihat tanpa sebarang ilmu. Kasihanlah mereka.Kita harus bertanggungjawab menjaga aib mereka.Samalah juga jika kita yang meninggal nanti.Takkanlah kita sanggup orang lain yang tidak kita kenali memandikan,mengkafankan, menyolatkan, sedangkan kita ada anak.Biarpun mayat tidak mampu berkata-kata,itulah cara kita menghargai dan menghormati mereka untuk kali terakhir sebelum mereka hilang dari pandangan kita.

Monday, August 24, 2015

Hukum Solat Ketika Azan

Penjelasan Dr Mohd Azhar Abdullah, Timbalan Ketua Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kolej Antarabangsa Sultan Ismail Petra mengenai solat ketika azan sedang berkumandang. Katanya, antara syarat sah solat adalah solat yang dilakukan sebaik sahaja masuk waktu solat dan mengerjakan solat ketika azan waktu solat baharu sahaja berkumandang menjadikan solat tersebut sah.Bagaimanapun mengerjakan solat ketika azan adalah makruh bagi lelaki kerana perbuatan itu menyebabkan ‘tercicirnya’ lelaki tersebut daripada jemaah yang bakal menunaikan solat bersama, manakala wanita pula disunatkan untuk menunggu selesai azan sebelum mengerjakan solat.Dari sudut sunnah para sahabat Nabi, solat dilakukan selepas usai azan kedengaran. Mengerjakan solat selepas azan membolehkan kita melakukan beberapa prinsip seperti menjawab azan ketika azan berkumandang dan melakukan solat sunat dua rakaat selepas azan. Perbuatan solat ketika azan akan menyebabkan hilangnya kemanisan dalam mengerjakan ibadah tersebut. Islam tidak menghalang umatnya bersolat ketika azan masuk waktu, namun ia akan menyebabkan makruh. Makruh itu bermakna kita melakukan perkara-perkara yang ALLAH tidak suka. Kita masih peroleh pahala, tetapi pahala itu tidak cantik.
Solat yang didirikan dipenghujung waktu sehingga masuk waktu solat fardhu lain juga masih dikira sah.Sebagai contoh, kita solat Asar dihujung waktu, tiba-tiba azan Maghrib kedengaran, maka solat kita perlu diteruskan. Tidak ada sebab untuk menghentikan ibadah.Solat masih sah sekurang-kurangnya satu rukuk. Solat di akhir waktu itu (sama ada) qada atau tunai adalah sempat rukuk atau tidak pada rakaat yang pertama, jika ia solat Asar dan rukuk dan sempat tamakninah seketika dalam rukuk dan tiba-tiba azan maghrib, maka dikira solat asar sebagai tunai, jika tidak sempat rukuk maka dikira qada.

Saturday, August 22, 2015

Syirik Bidaah Khurafat Membawa Sesat

Musim haji telah bermula. Sana-sini orang sibuk menyediakan persiapan bagi menunaikan rukun kelima. Sama ada sedar atau tidak, terdapat sesetengah orang telah melakukan beberapa perkara khurafat. Contoh, bila sudah berada dalam kenderaan dan didapati ada barang yang tertinggal di rumah, mereka tidak mahu berpatah balik untuk mengambilnya kerana takut meninggal dunia di Makkah dan tidak pulang ke rumah lagi. Padahal berapa ramai orang yang asyik buat umrah berulangkali semata-mata kerana ingin mati di Makkah, tempat yang suci!!! Ada pula yang mengadakan upacara khas “bawa turun ke Makkah” sebelum berangkat ke haji, sedangkan Nabi s.a.w dan para sahabat yang berangkat dari Madinah ke Makkah hanya mengamalkan doa dan adab-adab musafir.Jemaah haji dari sesetengah negara dilihat mengusap batu, bukit dan apa sahaja binaan di Makkah dan Madinah yang menimbulkan kekaguman dalam jiwanya. Ada pula yang semasa tawaf cuba mengoyak kelambu Kiswah Kaabah untuk disimpan kerana kononnya ada keajaiban. Padahal kelambu tersebut adalah tenunan masa kini dan sering ditukar ganti. Mencuri kelambu atau apa sahaja harta awam adalah berdosa dan merosakkan ibadah haji yang sedang dikerjakan.
Pada masa ini syirik, khurafat dan bidaah dibungkus dan dilariskan atas jenama agama sehingga orang awam tidak dapat mengesan bahawa ia adalah kemungkaran yang wajar dijauhi. Mudarat yang dibawa oleh syirik dan bidaah jauh lebih besar berbanding maksiat seperti rasuah, judi, arak, zina dan sebagainya. Pelaku maksiat yang memiliki akidah yang sejahtera dan ibadah yang menepati sunnah Nabi yang sahih memiliki masa depan yang cerah untuk mendapatkan keredhaan Allah sekaligus memasuki syurga-Nya, berbanding mereka yang giat beribadah dan menjauhi maksiat namun akidah sarat dengan najis syirik dan ibadah berlumuran dengan lumpur bidaah. Ahli bidaah tidak menyenangi ilmu hadis dan amat fobia dengan Firman Allah, dan sabda Nabi s.a.w. Mereka memusuhi dan memperlekah ahli hadis serta ulama yang tutur katanya dihiasi “Firman Allah, dan sabda Nabi s.a.w.”. Ahli hadis dan ulama adalah benteng kemurnian ajaran Islam. Mereka melabelkan Ahli Sunnah dengan pelbagai gelaran dan menuduh Ahli Sunnah "wahabi".
Mereka mempunyai kepercayaan melampau yang sangat ditegah dalam Al-Quran dan Sunnah. Ajaran tarekat dan mendewakan malah mempertuhankan segala unsur yang mereka kagumi, termasuk guru-guru dan imam-imam. Ada sesetengah ajaran tarekat, gurunya secara terang-terangan mengaku bahawa dia adalah Wali Allah dan ditambah lagi dengan kelebihan lain seperti dilantik sebagai Wakil Allah. Oleh kerana ajaran Quran dan Sunnah tidak mungkin memihak kepada kumpulan-kumpulan ajaran sesat, mereka terpaksa mencari helah lain bagi mengaburi mata para pengikut, seperti berhujah dengan mimpi gurunya!!!
Saudara yang dikasihi, dalam apa jua ibadah, fahamilah akidah dengan sebenar-benarnya supaya tidak tersasar. Alangkah rugi segala masa dan amalan jika semua itu melanggar syariat yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. lalu berakhir di Jahannam. Na’uzubillah min zalik!!!

Ikhlaskah Kita?

Apa perasaan bila budi yang ditabur tidak dikenang atau dibalas? Apa rasa hati bila kebajikan yang dibuat dibalas dengan kejahatan? Perasaan yang timbul itulah penentu mudah untuk tahu kita ini ikhlas atau tidak.Hati belum benar-benar ikhlas jika ianya sakit bila budi kita dilupakan. Hati belum benar-benar ikhlas jika rasa geram saat kebajikan dibalas kejahatan.Manusia selalu menganggap kebaikan yang dibuat adalah dari dia dan untuk dia, dibuat kerana kemurahan hatinya dan kebaikan itu mesti kembali kepada dirinya. Kembali dengan cara mengucapkan terima kasih kepadanya.Kenangkan apa yang dia buat.Sebar-sebarkan cerita kebajikan yang dia buat pada orang lain.Jangan tolak bila dia minta berbuat sesuatu dan sebagainya.
Kebaikan kita pada orang sebenarnya adalah dari Allah. Allah menjadikan kita sebagai ‘saluran’ untuk Dia menyampaikan nikmat-Nya kepada manusia.Sebagaimana Allah telah melantik Nabi dan Rasul sebagai wakil-Nya untuk menyampaikan ajaran-Nya. Begitulah Allah telah ‘melantik’ kita sebagai ‘wakil’ untuk menyebar nikmat kurniaan-Nya kepada manusia lain. Bila seseorang itu lupa kebaikan yang dibuatnya pada orang lain, bila hati orang itu tidak terasa apa-apa, malah tidak kesal bila madu dibalas dengan tuba, itulah tanda hati telah ikhlas.
Maka kita tidak sepatutnya bangga dengan kebaikan yang kita buat. Kita hanya melaksanakan amanah untuk mengagih-agihkan nikmat Allah kepada sesama manusia. Kita sepatutnya bersyukur kerana Allah telah mengagihkan nikmat-Nya melalui kita.Memang susah hendak menjaga hati ikhlas ini.. Namun kita boleh merasakan keikhlasan bilamana setiap kebaikan yang kita lakukan kita anggap, "Saya sedang buat kebaikan kerana Allah, bukan kerana manusia. Biarlah apa orang nak kata. Yang penting kerjasama bersama dengan Allah." In sya Allah ... ikhlas. [Dr. Prof Rizzuan Amir]
Tidak ada yang buruk di alam semesta ini. Yang ada hanyalah kegagalan kita melihat segalanya dengan rasa syukur.Di mana pun kita berada, betapa indah pun keadaan yang sedang kita lalui, ataupun ataupun saat itu sedang dipenuhi dengan kesulitan, sebenarnya kita sedang digerakkan oleh Allah S.W.T. ke arah kemuliaan. Yang bergerak bersama kesulitan bakal memperoleh ganjaran pahala. Yang bergerak bersama kesenangan tetapi penuh rasa syukur tetap berada di dalam pandangan kasih sayang Allah S.W.T.
Dalam mencapai kepentingan dunia, jangan lupa mengamalkan perintah agama. Jangan sesekali memperalatkannya. Elakkan sikap seperti pisau yang bermata dua. Bibir santun berbicara namun ada khianat tersembunyi di jiwa.

Friday, August 21, 2015

Kedudukan Wang Haram

WANG RASUAH adalah wang haram (wang tidak patuh syariah), dan oleh itu tidak boleh di gunakan untuk urusan peribadi. Imam Al-Nawawi menyelesaikan harta haram dengan menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mesti diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan pula untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserahkan (dibelanjakan) untuk tujuan maslahah umum seperti membiayai pembinaan jambatan, jalan raya, membaiki longka ng pecah, pondok bas rosak, tandas awam dan sebagainya. Ia boleh diberikan kepada fakir miskin bukan niat sedekah.
Manakala Syeikh Atiyyah Saqar, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar menyatakan kaedah melupuskan harta haram ketika bertaubat adalah dengan memulangkan kembali harta itu kepada si pemilik asal atau waris pemilik. Jika tidak diketahui pemilik asal, harta tersebut hendaklah diserahkan kepada fakir miskin bagi memisahkan dirinya daripada harta haram yang diperolehinya. Penyerahan harta tersebut kepada fakir miskin bukanlah untuk mendapatkan pahala daripada serahan tersebut. Hal di atas bersandarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Barangsiapa yang menzalimi kehormatan atau apa sahaja harta saudaranya hendaklah ia meminta halal daripadanya pada hari ini sehingga jangan berbaki satu dinar atau dirham. Jika tidak, sekiranya dia mempunyai amal soleh, maka akan diambil amal solehnya dengan kadar kezaliman yang dilakukannya, dan kiranya tiada lagi kebaikan, maka akan dipertanggungjawabkan kejahatan orang yang dizaliminya itu pula.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari).
Berkenaan dengan kedudukan WANG FAEDAH, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya "Fatawa Mu’asirah" memutuskan wang faedah yang diperolehi secara haram adalah haram secara yakin untuk ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional. Ia seolah-olah seperti menolong bank-bank konvensional yang akan menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak. Tidak harus seseorang menggunakan wang faedah tersebut kerana ia termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan sebagainya.
Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki. Sebaliknya ia menjadi milik maslahah umum seperti dibelanjakan kepada perkara kebajikan seperti membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya yang bersifat kebajikan.
Timbul persoalan sekiranya wang yang halal dan wang yang haram bercampuraduk dan tidak dapat dibezakan, contoh, wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama. Menurut kaedah fiqh, apabila berkumpul perkara yang halal dengan perkara yang haram, maka ia dikira haram. Dalam konteks ini, sesuatu yang halal (wang pokok) boleh digunakan manakala yang haram itu (faedah) dilupuskan dengan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahah umum. Namun sekiranya nilai yang halal dan haram itu tidak dapat dipastikan, maka kaedah berijtihad nilai (al-ihtiyath) boleh digunakan bagi menentukan pembahagian yang betul antara kedua-duanya.Dengan cara ini, perkara yang halal dapat diasingkan daripada perkara yang haram dan masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya.[Hairul Nizam Ijam]

Peritnya Sakaratul Maut

Betapa sukarnya saat sakaratul maut yang menjelang, saat sukarnya nyawa di tenggorok, saat pucat kelatnya pipi menuju kematian, saat mengetapnya bibir menuju ke-dalam, lidah menjadi kaku untuk mengadap Tuhan Allah.. sendi sendi longlai tiada lagi harapan.. saat itu hanya amalan yang akan dibawa menuju ke hadapan.. Istiqamahlah dengan amalan, agar kita tersenyum indah melihat syurga yang dijanjikan.
Kematian paling menakutkan bagi yang belum mempunyai persiapan akhirat. Ia lebih menakutkan daripada gergaji yang menebang pohon. Andai mayat dihidupkan kembali, apa yang diceritakannya tentu akan membuat ramai nyeyak tidur. Dikisahkan seseorang sering bertanya kepada orang-orang yang sakit tentang azab sakitnya. Kemudian dia ditakdirkan sakit. Maka orang bertanya kepadanya tentang rasa sakit saat mendekati ajal, dia menyatakan bahawa sakitnya bagaikan langit menindih bumi, seperti dirinya dipaksa keluar dari lubang jarum.
Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:"Kematian yang mendadak adalah kenikmatan bagi seorang muslim. Tapi kematian merupakan petaka dan azab bagi orang yang bermaksiat." Umar Khattab menuturkan: "Kematian ibarat sebuah ranting yang berduri yang menikam tubuh seseorang."
Begitulah gambaran sakitnya sakratul maut. Melihat malaikat maut bagi orang bermaksiat cukup menakutkan. Nabi Ibrahim pernah meminta Malaikat Maut memperlihatkan rupanya ketika mencabut nyawa orang yang bermaksiat. Malaikat Maut menunjukkan wajah hitam dengan rambut yang tegak berdiri, berbau busuk dan berpakaian hitam. Dari mulutnya pula keluar semburan api dan asap busuk.Nabi Ibrahim langsung pengsan. Ketika sedar kembali dilihatnya Malaikat Maut telah kembali ke wajah asal.
Kata Nabi Ibrahim a.s.: "Andainya orang bermaksiat hanya melihat wajah dan keadaan saja sudah cukup menakutkan, belum lagi balasan azab pedihnya. Kemudian, Nabi Ibrahim a.s. meminta Malaikat Maut menunjukkan wajahnya ketika mencabut nyawa orang mukmin. Lalu Nabi Ibrahim pun melihat seorang yang berpakaian yang indah dan harum. Semoga Allah memberikan kita keringanan di saat sakaratulmaut sebagai seroang mukmin sejati.

Amalan Orang Awam Dihadiah Buat Si Mati

Menghadiahkan bacaan Al Fatihah, Surah Yaasiin, atau zikir, sedekah, atau mengqadha puasanya dan lain-lain, semua itu sampai kepada orang yang telah meninggal Dunia.Kata Sheikh Nuruddin Al Banjari Al Makki, "Jika kita hantar mesej dari Facebook ke Amerika Syarikat melalui teknologi manusia yang serba lemah pun sampai, masakan amalan baik yang dihantar melalui teknologi Allah Yang Maha Agung tidak sampai pula?"
Dalam Sahih Muslim hadis no.1149, “Seorang wanita bersedekah untuk ibunya yang telah wafat dan diperbolehkan oleh Rasulullah s.a.w.” Dalam riwayat Bukhari dan Muslim pula, "Seorang sahabat menghajikan untuk ibunya yang telah wafat”. Rasulullah S.A.W. pernah menghadiahkan sembelihan Baginda S.A.W ketika hari raya Eidul Adha untuk dirinya dan untuk ummatnya, doa Nabi “Wahai Allah terimalah sembelihan ini dari Muhammad dan keluarga Muhammad dan dari Ummat Muhammad” (Shahih Muslim hadits no.1967).
Mengenai hadis yang mengatakan,"Bila wafat keturunan Adam, maka terputuslah amalnya terkecuali 3 iaitu Sedekah Jariah, Ilmu yang bermanfaat, dan anak yang berdoa untuknya, maka orang orang lain yang mengirim amal, zikir dan lain-lain untuknya ini jelas bukanlah amal perbuatan si mati kerana Rasulullah s.a.w. menjelaskan TERPUTUSNYA AMAL SI MATI, BUKAN AMAL ORANG LAIN YANG DIHADIAHKAN UNTUK SI MATI, dan juga sebagai hujjah baahwa Allah memerintahkan di dalam Al Quran untuk mendoakan orang yang telah wafat : "WAHAI TUHAN KAMI AMPUNILAH DOSA-DOSA KAMI DAN BAGI SAUDARA-SAUDARA KAMI YANG MENDAHULUI KAMI DALAM KEIMANAN", (QS Al Hasyr-10).
Berkata Imam Ali bin Almuwaffiq rahimahullah, “Aku 60 kali melaksanakan haji dengan berjalan kaki, dan kuhadiahkan pahala dari itu 30 haji untuk Rasulullah saw”. Dan berkata pula Imam Abul Abbas Muhammad bin Ishaq Atssaqafiy Assiraaj, “Aku mengikuti Ali bin Almuwaffiq, aku lakukan 7 kali haji yang pahalanya untuk Rasulullah s.a.w. dan aku menyembelih korban 12.000 ekor untuk Rasulullah s.a.w., dan aku khatamkan 12.000 kali khatam Al Quran untuk Rasulullah s.a.w., dan kujadikan seluruh amalku untuk Rasulullah s.a.w.” Beliau adalah pelajar Imam Bukhari rahimahullah, dan dia menyimpan 70 ribu masalah yang dijawab oleh Imam Malik. Beliau lahir pada 218 H dan wafat pada 313H. Berkata Imam Abu Ishaq Almuzakkiy, "Aku mengikuti Abul Abbas dan aku haji pula 7 kali untuk Rasulullah s.a.w., dan aku mengkhatamkan Al Quran 700 kali khatam untuk Rasulullah s.aw. (Tarikh Baghdad Juz 12 hal 111).