Wednesday, May 2, 2012

Kaum Mandailing Membuka Kuala Lumpur?


serenemaklong.blogspot.com




                      Hotel Mandarin Kuala Lumpur di Jalan Ampang


BILA dan siapa sebenarnya yang membuka Kuala Lumpur masih menjadi soalan yang terbuka.


Pada mulanya dikatakan Yap Ah Loy yang telah mengasaskan Kuala Lumpur. Kini sudah pasti bukan Yap Ah Loy yang membuka Kuala Lumpur kerana dia adalah Kapitan Cina Kuala Lumpur yang ketiga. Kalau ada orang Cina yang layak dipanggil pengasas Kuala Lumpur tentulah dianya Kapitan Cina Kuala Lumpur yang pertama.


Dalam pusingan kedua, Raja Abdullah diiktiraf secara rasmi sebagai 'pengasas sebenar' Kuala Lumpur. Raja Abdullah yang dikatakan raja Melayu itu sebenarnya adalah raja Bugis dari Riau.


Sebelum Raja Abdullah dan Raja Jumaat membuka kelian bijih timah di Ampang pada 1857 dengan pertolongan buruh-buruh Cina upahan mereka, Sutan Puasa sudahpun tinggal dekat dengan Ampang.


Menurut Raja Yacob Nasution, pengarang Tarikh Raja Asal dan Keluarganya
kaum  Mandailinglah yang membuka Ampang diketuakan pada awalnya oleh Raja Bernang dan akhirnya Raja Banding.


Ini masuk akal kerana pada ketika itu, penduduk di pendalaman negeri Selangor adalah orang-orang dari Sumatra. Orang-orang Mandailing dan Batu Bara meneroka kawasan pendalaman Hulu Kelang kerana orang-orang Bugis dan Melayu sudah menetap di pesisiran pantai sebelum kurun ke-19.


Semasa kawasan pelombongan dibuka di sekitar Ampang dan Kuala Lumpur, kaum  Mandailing sudah berkelian bijih timah di situ, di samping membuat relau, membeli timah dan berniaga. Raja-raja Bugis memungut cukai dari kaum Mandailing di pengkalan sungai.


Malah nama "Ampang" itu sendiri mungkin diambil sempena empangan yang dibina oleh kaum Mandailing dalam kerja-kerja berkelian timah. Air dipakai untuk mengeluarkan bijih dari karang.


Ketika Sutan Puasa di Ampang, anak raja Mandailing itu berurusan dengan pedagang Tionghua, Hiu Siew dan rakannya Ah Sze Keledek dari Lukut. Kedua-dua pedagang Tionghua suku Hakka itu pindah ke Ampang setelah diberitahu oleh Sutan Puasa bahawa mereka boleh cepat mengaut untung di Ampang.


Setiba di Ampang, mereka memilih tempat sebatu yang jauhnya dari pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Kelang sebagai tapak kedai mereka pada 1859. Muara kedua-dua sungai itu kemudiannya dipanggil Kuala Lumpur - berlumpur kerana kerja-kerja berkelian bijih timah di hulu kedua-dua sungai tersebut.


Jelaslah bahawa Sutan Puasa, Hiu Siew dan Ah Sze Keledek memainkan peranan dalam pembukaan Kuala Lumpur. Hiu Siew kemudiannya menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur yang pertama dengan sokongan Sutan Puasa.


Sebagai "the leading Sumatran trader of Kuala Lumpur" (pedagang utama anak-anak Sumatra di Kuala Lumpur Sutan Puasalah yang memperkenalkan Hiu Siew dan Ah Sze Keledek kepada pengusaha-pengusaha timah Sumatra di Kuala Lumpur.


Penabalan Yah Ah Loy


Sutan Puasa dan Raja Asal adalah "sahabat baik" dan rakan perkongsian Yap Ah Loy. Apabila Yap Ah Loy dipilih menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur yang ketiga, Sutan Puasa memberi sokongannya. Istiadat yang meriah telah diadakan untuk mengiktiraf perlantikan Yap Ah Loy, dan upacara penabalannya disempurnakan oleh Raja Mahdi, seorang raja Bugis.


Sewaktu Yap Ah Loy 'ditabalkan', Sutan Puasa dan Raja Asal diberi tempat istimewa. Penabalan itu berlaku pada Jun 1869. Tuan Guru yang mengajar Raja Asal "ilmu kebal" telah meramalkan bahawa genap seratus tahun dari hari keramaian itu akan berlaku satu pergaduhan besar di Kuala Lumpur. Ini membayangkan tragedi 13 Mei 1969.


Di akhir Perang Kelang, persahabatan dan perkongsian mereka terungkai kerana Yap Ah Loy menyokong Tunku Kudin manakala Sutan Puasa dan Raja Asal menyebelahi Raja Mahdi. Kuala Lumpur, sebuah kampung pada 1860an, hangus dijilat api dalam peperangan itu, dan hanya dibangunkan semula setelah perang tamat.


Kubu Sutan Puasa di Bukit Nenas


Menurut Wan Muhammad Amin bin Wan Muhammad Sa'id, pengarang Pesaka Selangor, di penghujung Perang Kelang, "Orang2  Mandeleng serta ketua2 mereka seperti Raja Asal dan lain2 yang di-Kuala Lumpur itu sudah undor masok ka-negeri Perak, tetapi sa-tengah-nya ada juga lagi dudok di-Kuala Lumpur dalam kubu Bukit Nanas."


Seorang ahli sejarah Inggeris berkata, "the traditional seat of Malay authority in Kuala Lumpur was a stockade, originally built in the 1860's on Bukit Nenas, and known after the civil war as 'Sutan Puasa's stockade' from the Malay headman who had once occupied it."


"Tampuk tradisional kekuasaan Melayu (baca Mandailing) di Kuala Lumpur adalah sebuah kubu, mulanya dibina pada 1860an di atas Bukit Nenas, dan dikenali sesudah perang saudara (di Selangor) sebagai 'kubu Sutan Puasa' sempena (nama) kepala Melayu yang pernah mendudukinya."


Seperti kebanyakan ahli-ahli sejarah Barat mahupun tempatan, ahli sejarah Inggeris itu tidak tahu membezakan antara beratus-ratus suku pribumi di kepulauan Nusantara. Sutan Puasa yang bermarga Lubis itu bukan "kepala Melayu" tetapi kepala Mandailing.


Nama asal Bukit Nenas ialah Bukit Gombak. Menurut riwayat lisan orang-orang Mandailing, semasa Perang Kelang, nenas ditanah di atas bukit itu seakan dawai berduri bagi menghadapi kemaraan musuh.


Pedagang Timah Yang Disegani


Sutan Puasa melarikan diri selepas kekalahan Raja Mahdi kalah dan cuma kembali ke Kuala Lumpur ketika Inggeris berkuasa. Dia terus menjadi pedagang timah di Kuala Lumpur.


Menurut Pasqual, seorang pegawai British yang bertemu dengan Sutan Puasa, pedagang-pedagang Mandailing dianggap amanah dan tidak mengurangkan timbangan dacing-dacing mereka, dan kerana itu pelombong-pelombong Tionghua lebih suka timah mereka disukat oleh Sutan Puasa daripada bangsa mereka sendiri.


“The Malay tin dealers gave their customers a square deal and were noted for not tempering with their "daching" or weighing scale. As no two dachings weighed alike, showing a difference of one per cent more or less on the heavy or light side, it was a common practice when a Chinese miner consigned his tin to a Chinese shop-keeper who was financing his mine from Kuala Lumpur, for the miner to stipulate that his tin be weighed in with the daching of Sutan Puasa or Thamby Dollah or any of the other Malay merchants he fancied.”


"Peniaga Melayu (baca Mandailing) berurusan dengan pelanggan-pelanggan mereka dengan saksama dan terkenal kerana tidak memalsukan dacing mereka atau timbangan mereka. Lantaran timbangan dua dacing tidak sama, berbeza lebih kurang satu peratus, lebih berat atau lebih ringan, maka sudah menjadi kebiasaan bagi seorang pelombong Cina yang meletakkan timahnya kepada seorang pekedai Cina di Kuala Lumpur yang membiayai keliannya, untuk mensyaratkan supaya timahnya ditimbang oleh dacing Sutan Puasa atau Thamby Dollah atau mana-mana saudagar Melayu (baca Mandailing) yang disenanginya."


“Old and infirm when I first made his acquaintance, the old warrior peaceably settled down in Ampang Street as a tin merchant, buying the tin produced by the Chinese miners.”


"Tua dan tidak berdaya bila saya (Pasqual) mula-mula mengenalinya, pendekar tua itu duduk aman di Jalan Ampang sebagai pedagang timah, membeli timah yang dikeluarkan oleh pelombong-pelombong Cina."


“He was somewhat reticent by nature and never talked about his exploits nor the hidden "gharone" of tin ingots which were buried away during the "Perang Mahdi", of which he owned several but could not locate their whereabouts...”


"Sifatnya semacam berat mulut dan dia tidak pernah bercakap mengenai penglibatannya (dalam Perang Kelang) atau mengenai harta karun bijih timah yang disembunyikan (ditanamkan) dalam Perang (Raja) Mahdi, ada beberapa kepunyaannya tetapi tidak dapat dikesan di mana..."


Khabar mengenai harta karun itu telah menyebabkan ramai orang mencarinya tetapi tidak berjaya.


Di akhir hayatnya, Sutan Puasa menetap di Kampung Rawa (Jalan Melayu sekarang) sebelum berpindah ke sebuah perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit.


Sutan Puasa yang dahulunya orang Mandailing terkaya di Kuala Lumpur, jatuh miskin seleapas perang. Bekas sahabat karib dan rakan perkongsiannya, Yap Ah Loy menjadi pelombong paling kaya dan berkuasa di Kuala Lumpur.


Sutan Puasa menghembus nafasnya terakhir pada 1326 Hijrah (c. 1909 Masihi) di rumah sahabatnya, seorang lagi Kapitan Cina, dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang. Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment